Integrated Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam
  MAKLUMBALAS BARU   SOALAN LAZIM
  SEMAK MAKLUMBALAS   PEGAWAI DAFTAR
picture PROSES MEMBUAT ADUAN    
Aduan dipantau oleh Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri
Majlis Makan Malam Silaturrahim Sempena Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1427(H) Cetak Emel


PERSATUAN MELAYU PULAU PINANG
(PEMENANG)

MAJLIS MAKAN MALAM SILATURRAHIM SEMPENA

MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI 1427 (H)/2006 (M)


UCAPTAMA
MEMPERKASAKAN MASYARAKAT MELAYU PULAU PINANG



OLEH

YB TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP
MENTERI KEWANGAN KE II

PADA HARI ISNIN 20HB NOVEMBER 2006

GURNEY HOTEL & RESIDENCES, PERSIARAN GURNEY, PULAU PINANG



Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Yang saya muliakan, saudara Pengerusi Majlis,

Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas
dan Toh Puan Datin Seri Hajjah Majimor bt. Shariff.

Yang Amat Berhormat, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dato' Dr. Koh Tsu Koon dan Puan Sri Chui Kah Peng.

Yang Berbahagia, Dato' Seri Haji Mohd. Yusof Latiff, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG),

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bersama-sama hadir serta meraikan Majlis Makan Malam Aidilfitri yang meriah ini.  Saya amat berbesar hati dan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur di atas kesudian menjemput saya untuk sama-sama meraikan majlis yang diberkati ini. 
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

2. Sempena bulan Syawal yang mulia ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan memohon berbanyak maaf sekiranya ada terdapat salah dan silap di pihak saya.

3. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada PEMENANG kerana berjaya memperlihatkan kesepakatan serta hubungan yang kukuh di kalangan masyarakat Melayu di Pulau Pinang, seterusnya mengukuhkan semangat muhibbah di antara pelbagai kaum di Pulau Pinang ini.  Saya berdoa dan berharap agar semangat muhibbah ini dapat berterusan serta diperhebatkan di masa akan datang.

4. Seperti yang semua orang tahu, Melayu di Pulau Pinang ini sangatlah unik dan istimewa. Asal-usul Pulau Pinang sebagai pusat perdagangan dan juga pusat pentadbiran British telah mengakibatkan ramai pedagang-pedagang Islam dari negara Arab, India, China, Indonesia telah datang ke sini untuk berdagang, seterusnya ramai di antara mereka yang terus bermastautin di pulau ini, dari generasi ke generasi sehinggalah ke hari ini.  Sebab itulah, orang-orang Melayu Pulau Pinang yang hadir pada malam ini, mancung-mancung belaka. Sebab hidung-hidung yang mancung inilah, anak-anak mami Pulau Pinang laku.  Kalau tidak, takkan P.Ramlee gilakan Chombee anak mami.

5. Orang-orang Melayu Pulau Pinang patut bersyukur kerana kita mempunyai tokoh-tokoh yang hebat, yang berjiwa besar dan berpandangan jauh untuk membawa orang-orang Melayu ke mercu kejayaan.  Hasil daripada usaha tokoh-tokoh ini, dapatlah kita  menikmati apa yang kita ada hari ini.  Nama-nama besar ini haruslah dijulang dan jasa mereka tetap dikenang.  Antaranya, Allahyarham Tan Sri Syed Abbas Al-Habshee, Allahyarham Datuk Haji Abdul Rahim Khan, Datuk CM Hashim, Datuk Syed Mohamed Aidid dan ramai lagi.  Yang turut ada bersama-sama dengan kita pada malam ini Datuk Haji Yusof Latif, Datuk Azmi Merican. Jasamu semua tetap dikenang. 

Kain perai baju perai
Pakaian anak YamTuan Muda
Hancur badan tulang bercerai
Budi yang baik dikenang juga

Kait kelapa kukur kelapa
Kupas ubi buat pengat
Hendak kulupa tak terlupa
Kerana budi sudah terpahat

6. Yang DiPertua PEMENANG yang pertama, pada tahun 1927 adalah seorang Profesor, yang merupakan seorang doktor perubatan.  Semenjak tahun 20-an, sudah ada anak Pulau Pinang bergelar profesor.  Kemungkinan besar, Dr. A.O. Merican merupakan seorang doktor perubatan yang pertama di Malaya.  Sungguhpun komuniti Melayu di Pulau ini agak kecil bilangannya, akan tetapi sumbangan kita sejak dahulu sehingga kini amat besar.  Dua orang anak Melayu Pulau Pinang pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.  Sekarang ini Perdana Menteri kita adalah anak Melayu Pulau Pinang.  Bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir, walaupun beliau berasal dari Kedah, akan tetapi bapa beliau adalah anak kelahiran Pulau Pinang.  Maka Tun Dr. Mahathir bolehlah dikira sebagai "Semi Penangite".

7. Dua bekas Menteri Besar Perlis juga merupakan anak Melayu Pulau Pinang.  Sheikh Ahmad, iaitu ayah kepada Dato' Seri Radzi, kini menteri yang juga Setiausaha Agung UMNO adalah anak kelahiran Pulau Pinang.  Seorang lagi bekas Menteri Besar Perlis yang berasal dari Pulau Pinang adalah Dato' Seri Dr. Hamid Pawanteh, yang kini menjadi speaker Dewan Negara.  Dua orang bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur yang terkemuka, iaitu Datuk Elyas Omar dan Datuk Kamarulzaman Shariff juga merupakan anak Pulau Pinang.  CEO-CEO syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan atau GLCs yang terkenal juga merupakan anak Pulau Pinang.  CEO TNB, Datuk Che Khalib, orang Bayan Lepas.  Datuk Azmi, CEO SME Bank, orang seberang.  Datuk Bakke Salleh CEO Felda, Dato' Ahmad Rozi Pawanteh CEO Amanah Raya Berhad, Saudara Wahab, CEO MIMOS, semuanya anak Pulau Pinang.  Bukan sahaja itu, KSU-KSU Kementerian juga ada yang orang Pulau Pinang.  Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Izzuddin Dali, anak Balik Pulau.  KSU Kementerian Perumahan, Datuk Fuad Ismail anak Nibong Tebal.  Datuk Siti Balkis, KSU Kementerian Peneranganpun, anak mami Pulau Pinang.
 
8. Begitu hebat sumbangan serta kejayaan orang Melayu Pulau Pinang sejak zaman-berzaman.  Tetapi mengapa orang Melayu di Pulau Pinang kini terpinggir?  Hari ini kita melihat banyak perkampungan Melayu di Pulau Pinang digantikan dengan projek perumahan serta komersil.  Akibatnya, sedikit demi sedikit, orang Melayu terpaksa berpindah ke kawasan-kawasan yang kurang strategik.  Walaupun terdapat ramai usahawan-usahawan Melayu yang kini lahir dan berkembang, pada masa yang sama ramai lagi usahawan Melayu terpaksa gulung tikar.  Kita ada "Lebuh Melayu" atau "Malay Street" di bandaraya Georgetown.  Tetapi malangnya beberapa kerat sahaja orang Melayu yang tinggal di situ.  Dimanakah silap kita?

9. Dalam perkara ini, saya bersetuju dengan pendapat Dr. Nungsari Ahmad Radhi bahawa punca utama peminggiran Melayu Pulau Pinang ialah tahap pendapatan yang tidak setimpal dengan kos pemilikan aset.  Ketidakmampuan memiliki rumah merupakan kesan utama peminggiran orang Melayu.  Kawasan pembangunan baru hampir kesemuanya tidak mampu dimiliki oleh orang Melayu.  Oleh kerana penduduk Melayu semakin ramai, semakin ramailah orang Melayu yang tinggal sebagai setinggan di kawasan yang belum dibangunkan.  Muncullah "urban slums" kawasan ala kampung di kawasan bandar.  Kualiti prasarana fizikal dan sosial tempat sebegini adalah juga mundur  tidak menyokong pembangunan masyarakat Melayu.  Akhirnya, membawa kepada pelbagai masalah sosial, terutamanya di kalangan generasi muda.

10. Seperti juga yang disebutkan oleh Dr. Nungsari, kesan peminggiran yang kedua ekoran daripada tidak mampu memiliki rumah ialah orang Melayu rata-rata tidak memiliki aset di dalam bentuk hartanah.  Ini menjejaskan kekayaan mereka yang berpunca daripada kekurangan pendapatan mereka.  Oleh kerana kadar peningkatan harga aset hartanah di pulau adalah jauh lebih tinggi daripada kadar peningkatan pendapatan, jurang ekonomi di antara orang Melayu dan bukan Melayu semakin melebar dengan masa. 

11. Jurang kekayaan ini menjejaskan juga kemampuan orang Melayu menyertai bidang perniagaan.  Mengikut Dr. Nungsari, mereka tidak memiliki aset untuk dijadikan modal perniagaan.  Pendapatan mereka yang rendah juga tidak memungkinkan mereka mengumpul tabungan yang banyak untuk dijadikan modal.

12. Melayu Pulau Pinang semacam terperangkap dalam satu kitaran ganas (vicious cycle) yang menghindarkan mereka untuk memperbaiki kedudukan ekonomi mereka.  Kitaran ganas ini bermula dengan pendapatan rendah yang menjadikan mereka tidak mampu memiliki aset, khasnya rumah, dan pada masa yang sama mereka tidak mampu memberikan tumpuan kepada aspek pendidikan anak-anak mereka.  Persekitaran kediaman yang tidak selesa tidak mewujudkan suasana yang kondusif bagi anak-anak kita untuk belajar di rumah.  Ini adalah di antara sebab yang mendorong anak-anak kita untuk melepak terutamanya di pusat-pusat membeli belah.  Kemunduran dalam pendidikan telah menyebabkan anak-anak tidak mendapat pekerjaan yang boleh menjamin pendapatan yang lumayan dan oleh yang demikian, sekali lagi generasi ini tidak berkemampuan memiliki aset, khasnya rumah.  Dengan demikian kitaran ganas ini berterusan. 


13. Kitaran ganas ini mesti diberhentikan dan digantikan dengan kitaran kebaikan (virtuous cycle), di mana pencapaian pendidikan yang lebih tinggi akan menjurus kepada peningkatan pendapatan lebih tinggi, dan ini pula akan membolehkan peningkatan dalam pemilikan aset, khasnya rumah. Kitaran kebaikan ini akan dapat menjamin kesejahteraan masyarakat Melayu Pulau Pinang. 

14. Dalam hal ini, peranan Kerajaan akan ditumpukan kepada usaha menyediakan peluang ekonomi di Pulau Pinang dan mempastikan masyarakat Melayu Pulau Pinang berupaya untuk memanfaatkan peluang-peluang ini.  Untuk memperkukuhkan keupayaan masyarakat Melayu, Kerajaan akan mempergiatkan pembangunan modal insan serta menyediakan perumahan berkualiti yang mampu dimiliki.

15. Alhamdulillah, YAB Perdana Menteri, yang kita sayangi telah mengambil langkah tegas untuk memecahkan kitaran ganas ini dengan mewujudkan kitaran kebaikan melalui perlaksanaan secara fast track beberapa projek besar di Pulau Pinang dalam tempoh yang terdekat.  Yang pertama, ialah Jambatan Pulau Pinang Kedua yang telahpun dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada 12 November 2006.  Kerajaan Pulau Pinang juga telah memberi jaminan untuk memudah dan mempercepatkan proses kelulusan dan pengambilan tanah.

16. Pembinaan Jambatan Kedua ini, yang melibatkan kos yang melebihi RM 3 bilion ringgit, sudah tentunya akan menyediakan banyak peluang kerja kepada kontraktor Pulau Pinang, khususnya kontraktor Melayu.  Adalah dijangkakan kontrak bernilai RM 800 juta akan ditawarkan kepada kontraktor tempatan , terutamanya kontraktor-kontraktor Melayu dalam tempoh lebih kurang 3 tahun.  Ini akan memberi manfaat kepada 20 kontraktor Kelas A, B dan C, 50 kontraktor kelas D dan E dan 200 kontraktor kelas F.  Di samping itu, profesional Melayu seperti jurutera, arkitek, jurukur dan akauntan akan juga dapat manfaat daripada pembinaan projek ini.

17. Dua lagi projek utama yang akan dilaksanakan iaitu projek monorail dan Penang Outer Ring Road (PORR), akan juga menyediakan peluang untuk kontraktor dan profesional Melayu.

18. Selain daripada langkah-langkah untuk menyediakan peluang ekonomi, Kerajaan akan juga melaksanakan secara langsung projek-projek perumahan untuk masyarakat Melayu Pulau Pinang. Projek perumahan ini akan tertumpu di pulau supaya masyarakat Melayu dapat mengambil manfaat daripada peluang yang disediakan.

19. Yang Pertama ialah projek perumahan di Tanjung Tokong yang diusahakan oleh UDA.  Pembinaan projek ini dibahagikan kepada dua, iaitu Warisan Tanjung yang melibatkan kawasan seluas 22 ekar dan Tanjung West yang melibatkan 45 ekar.  Di Warisan Tanjung, UDA akan membina 1,200 rumah kos rendah dengan keluasan 800 kaki persegi tiap-tiap unit. Sejumlah 95 peratus penghuni  akan terdiri daripada orang Melayu.  Ini juga melibatkan penempatan semula penduduk asal kampung tersebut. Di Tanjung West, kita akan memastikan bahawa sebahagian besar daripada 1,200 unit rumah dan kondominium dan 150 unit kedai dimiliki oleh Melayu Pulau Pinang. 

20. Yang Kedua, Yayasan Pelaburan Hartanah Bumiputera telah mengenalpasti 3 bidang tanah yang dimiliki oleh GLC untuk dibangunkan rumah-rumah dan kondominium, yang kebanyakannya akan dimiliki oleh masyarakat Melayu Pulau Pinang.  Jumlah keluasan yang terlibat ialah 120 ekar.  Tanah-tanah lain, termasuk tanah yang dimiliki oleh Majlis Agama Pulau Pinang, juga akan dimajukan untuk perumahan secara fast track. 

21. Saya ingin beralih kepada satu aspek yang lain yang tidak kurang pentingnya dalam agenda melayu Pulau Pinang.  Aspek ini ialah pendidikan.  Aspek pendidikan itu kritikal.  Bila kita bercakap tentang perkara ini, ianya sering dikaitkan dengan modal insan dan seterusnya dengan ekonomi. Faktor utama yang menentukan samada masyarakat Melayu Pulau Pinang dapat memanfaatkan peluang ekonomi yang disediakan adalah kecemerlangan pendidikan.  Kita harus memiliki kelayakan dan kemahiran yang menepati keperluan pekerjaan. 

22. Sungguhpun pendidikan berhubung kait dengan ekonomi, kita harus juga memahami pendidikan dalam ertikata sebenar, iaitu pendidikan adalah untuk membentuk insan yang berakhlak dan berilmu. Jadi apa yang hendak dilahirkan oleh pendidikan ialah bukan sahaja modal insan untuk dijadikan aset ekonomi, tetapi lebih daripada itu, iaitu kemampuan intelektual dan moral. Aspek moral ini harus diberi penekanan memandangkan aspek ini penting untuk memastikan masyarakat melayu Pulau Pinang tidak luntur semangat perjuangan.

23. Bagi menyokong pembangunan modal insan, beberapa GLC akan melaksanakan beberapa program tanggungjawab sosial korporat  (Corporate Social Responsibility CSR) di Pulau Pinang.  Untuk ini satu mesyuarat telahpun diadakan dengan GLC pada 12 Oktober 2006 khas untuk melaksanakan program sekolah angkat.

24. Program ini tidak menjurus kepada aspek fizikal seperti bangunan baru. Tumpuan program sekolah angkat ini adalah kepada pembangunan modal insan dan melibatkan program seperti  mengadakan kelas tuisyen bagi mata pelajaran Inggeris, matematik, sains dan komputer, serta memberi bantuan bagi perolehan buku, di samping melaksanakan lawatan sambil belajar dan ceramah motivasi. Adalah diharapkan penglibatan syarikat GLC dapat memberi pendedahan mengenai peluang pekerjaan dan kerjaya selain memerangsangkan semangat dan cita-cita pelajar. Wanita UMNO Pulau Pinang telah mengenal pasti 26 sekolah yang akan diberi keutamaan iaitu dua bagi setiap bahagian untuk menyertai program ini.

25. Di samping itu, UEM akan bekerjasama dengan kolej komuniti untuk menyediakan latihan kemahiran manakala Sime Darby akan juga menyediakan program yang sama dibawah initiatif  Pembangunan Koridor Utara.

26. Akan berjayakah kita dalam misi memartabatkan dan mempertahankan masyarakat Melayu Pulau Pinang? Belum tentu lagi, sungguhpun banyak projek besar akan dilaksanakan.  Samada kita berjaya atau tidak, samada kita mula berjalan ke arah kehidupan dalam dunia terang benderang atau berjalan terus dalam remang-remang senja bergantung kepada diri kita sendiri.  Kita harus sanggup berjalan terus mencari dunia baru dengan nilai-nilai baru.  Kalau tidak, kita akan terus menjadi seperti sebutir batu kecil berlumpur dalam masyarakat.
27. Nilai terpenting ialah keyakinan diri sendiri.  Kita harus sedar bahawa masyarakat Melayu Pulau Pinang pernah menjadi bangsa yang kuat dan berwawasan.   Kita pernah membina masjid sendiri, madarasah sendiri dan sekolah sendiri tanpa peruntukan Kerajaan atau subsidi Kerajaan walaupun dalam zaman penjajahan. Memang sejarah telah membuktikan bahawa masyarakat Melayu Pulau Pinang merupakan bangsa yang bersifat dinamik dan berdaya tahan.  Jangan sekali kita lemah semangat dan getar dalam menghadapi rintangan yang mendatang.  Dalam tahun-tahun yang mendatang, ini yang merupakan tahun-tahun yang begitu kritikal dalam survival masyarakat Melayu Pulau Pinang, kita akan menghadapi banyak cabaran.  Kita harus memastikan bahawa jiwa kita tidak terombang-ambing di hempas-hempas badai.  Laksana batu karang yang dihempas badai.  Terpukul terus menerus, tetapi tetap kukuh, tak berkisar.

28. Kita harus berusaha menarik diri kita tinggi ke atas, mencapai bintang, melepas pandangan jauh dan luas ke hadapan.

29. Kelemahan utama orang Melayu di Pulau Pinang bukannya berpunca daripada golongan lain tetapi adalah kelemahan yang ada pada diri kita sendiri.  Kekuatan intelektual dan moral adalah penting untuk mengubah nasib Melayu Pulau Pinang.  Pada masa kini mentaliti remeh temeh serta sikap tidak serius adalah ciri-ciri kelemahan intelektual dan moral kita.

30.   Adalah juga penting bahawa kita, di semua peringkat, dapat membezakan antara kepentingan diri sebagai individu dengan kepentingan masyarakat.  Saya dapati bahawa proses ini sudahpun bermula dan banyak pemimpin-pemimpin Melayu di Pulau Pinang, di semua peringkat, telah mula berusaha sebagai satu pasukan untuk kepentingan masyarakat.

Dari barat pergi ke Kampar
Kapal belayar dengan lajunya
Kita ibarat  telur sesangkar
Pecah sebiji pecah semuanya.

Tuan-tuan & Puan-puan,

31. Akhirkata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada usaha-usaha PEMENANG di masa hadapan.  Saya juga sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam yang hadir pada malam ini.  Maaf Zahir dan Batin.
32.  Saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan 3 rangkap pantun:-

RMK-9 telah dilancarkan
Oleh Kerajaan membina insan
Amaran pada yang sayang keturunan
Jangan jual kuasa di tangan

Jalan usaha beribu-ribu
Rajin bertanya jangan malu
Keluhan isteri akan berlalu
Tangis anak jadi lagu

PEMENANG penjana generasi impian
Berusaha berbakti meneruskan perjuangan
Tidak gentar dibuai godaan
Untuk mengangkat martabat kemuliaan.


Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi Wabarokatuh.


Kementerian Kewangan
20hb. November, 2006.

Terakhir Dikemaskini Isnin, 13 Februari 2012 10:19
 

Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox 3.6 dan Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1024x768.
Anda memerlukan perisian Adobe Flash Player   dan Adobe Acrobat Reader untuk paparan sesetengah aplikasi di portal ini.
Hak Cipta © 2011, MOF. Hakcipta Terpelihara
Dibangun dan disenggarakan oleh Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Perbendaharaan Malaysia.


logo