
| Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke - 10 Majlis Penasihat Syariah (MPS) Pelancaran "Buku Keputusab MPS Suruhanjaya Sekuriti Edisi Kedua" |
|
|
|
MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA ULANG TAHUN KE - 10 MAJLIS PENASIHAT SYARIAH (MPS) UCAPAN OLEH TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP LE MERIDIEN HOTEL Bismillahirrahmanirrahim Y Bhg. Dato' Zarinah Anwar Ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Hadirin yang dihormati sekalian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan rahmatNya dapat kita bersama meraikan ulangtahun ke-10 penubuhan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti pada majlis makan malam ini. Pada Majlis malam ini, kita juga akan menyaksikan pelancaran Buku Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Edisi Kedua. Saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan setinggi tahniah kepada Suruhanjaya Sekuriti yang telah berusaha menganjurkan Majlis malam ini. 2. Kita sangat bertuah pada malam ini dengan kehadiran para jemputan yang terdiri daripada Ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah, dahulu dan sekarang, yang telah banyak menyumbang kepada penubuhan dan perjalanan Majlis Penasihat Syariah. Sesungguhnya, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti merupakan sebuah badan rujukan tertinggi yang memainkan peranan amat penting dalam memberi panduan dan membuat keputusan berhubung isu-isu pematuhan Syariah kepada peserta pasaran modal negara. Kepada mereka, saya merakamkan penghargaan dan ucapan setinggi terima kasih yang tidak terhingga di atas segala sumbangan yang telah di berikan. 3. Alhamdulillah, syukur kita kerana dengan usaha dan sumbangan semua pihak terlibat, pasaran modal Islam negara telah mencapai pertumbuhan yang sungguh ketara dan kemajuan yang membanggakan. Kemajuan yang telah dicapai bukan sahaja dari segi meningkatkan lagi saiz pasaran, tetapi juga dari segi usaha untuk membangunkan produk-produk baru dan berinnovatif. Usaha berterusan kita untuk mempelbagaikan lagi produk di pasaran telah berhasil mewujudkan pelbagai produk berasaskan syariah untuk memenuhi keperluan dan pilihan pelabur tempatan dan luar negara. 4. Usaha gigih ini telah dapat menghasilkan pembangunan pasaran bon Islam negara yang telah mencatatkan peningkatan ketara. Kini, bon Islam negara berjumlah 121 billion ringgit atau 55 peratus daripada keseluruhan jumlah bon korporat yang diterbitkan. Aset dana amanah Islam pula hampir mencecah 9 bilion ringgit. Di peringkat global, Malaysia juga merupakan negara penerbit bon Islam terbesar di dunia. Kita boleh berbangga kerana lebih 70 peratus daripada bon Islam yang diterbitkan di pasaran modal Islam global berjumlah 41 bilion dolar Amerika, telah diterbitkan di Malaysia. 5. Kemajuan yang telah kita capai ini telah memberi keyakinan kepada beberapa penerbit bon asing untuk menerbitkan bon mereka di dalam matawang ringgit dan di pasaran modal negara. Ini termasuk International Finance Corporation, dengan terbitan sebanyak 500 juta ringgit; dan Bank Dunia, sebanyak 2 bilion ringgit. 6. Kerajaan terus bergiat untuk memperkukuhkan lagi kedudukan negara untuk menjadi pusat kewangan Islam terkemuka antarabangsa. Kita yakin, dengan infrastruktur kewangan yang efisien dan rangka regulatori yang menyokong pembangunan pasaran modal Islam, Malaysia kini mampu mencapai matlamat ini. Oleh yang demikian, adalah penting bagi kita meningkat dan memesatkan lagi usaha mempromosi dan menarik lebih banyak pelabur ke negara ini. 7. Di pihak Kerajaan, pelbagai insentif telahpun diperkenalkan bagi mempastikan perkembangan pasaran modal Islam. Di dalam Bajet 2007 yang dibentangkan baru-baru ini, Kerajaan telah menambah baik insentif yang diberikan dengan mencadangkan beberapa insentif khusus, antaranya ialah pengecualian duti setem tambahan sebanyak 20 peratus diberi ke atas surat cara yang terlibat dalam pembiayaan kewangan Islam bagi mempastikan tax neutrality antara pembiayaan kewangan konvesional dan Islam, pengecualian cukai pendapatan selama 10 tahun kepada pengurus dana tempatan dan asing yang mengurus dana Islam bagi pelabur asing, serta potongan cukai ke atas perbelanjaan menubuhkan firma broker saham Islam. Di samping itu, potongan cukai ke atas perbelanjaan menerbitkan bon Islam dilanjutkan sehingga 2010. 8. Selain itu, untuk menggalakkan usaha mempelbagaikan lagi produk, kadar cukai ke atas dividen yang diterima oleh pelabur individu tempatan dan asing serta unit amanah tempatan daripada Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) yang tersenarai, diturunkan daripada 28 peratus kepada 15 peratus, dan 20 peratus bagi pelabur institusi asing. Insentif ini dijangka akan dapat menarik lebih ramai pelabur tempatan dan asing, terutamanya pelabur di Asia Barat untuk melabur dalam REIT Islam. 9. Untuk ini, adalah penting bagi Malaysia, sebagai peneraju sistem kewangan Islam, memberi tumpuan yang sewajarnya kepada isu-isu berkaitan dengan penerimaan produk kewangan Islam di kalangan peserta pasaran asing, terutamanya dari Asia Barat. Ini amat penting bagi mempastikan produk-produk Malaysia boleh dipasar dan diterima di pasaran modal Islam global. Di sini, peranan pakar Syariah amat penting bagi mempastikan keseluruhan produk yang dihasil benar-benar mematuhi rangkakerja Syariah. Justeru, saya berharap ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah akan terus maju ke hadapan dalam menyumbang kepada usaha Kerajaan untuk mengukuhkan lagi pembangunan pasaran modal Islam negara. 10. Selain itu, dalam proses mengharmonikan keputusan Syariah, setiap pencapaian Majlis Penasihat Syariah perlu disebarkan bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa. Dialog yang berterusan dengan badan-badan utama, seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh memantapkan panduan dan keputusan yang dibuat. 11. Di peringkat antarabangsa, penglibatan ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah dalam persidangan dan dialog antarabangsa serta dalam bidang penulisan akan meningkatkan lagi keberkesanan Majlis. Dalam hal ini, Kerajaan mengalu-ngalukan usaha beberapa ahli Majlis Penasihat Syariah yang telah melibatkan diri secara aktif dalam pertubuhan antarabangsa, seperti Accounting and Auditing Organization For Islamic Financial Institutions, Islamic Development Bank, Dow Jones Islamic Market Index dan sebagainya. Usaha-usaha ini semua, InsyaAllah, akan menyumbang lagi kepada proses pengharmonian dan penerimaan keputusan Syariah di peringkat tempatan dan global.
12. Pelancaran buku Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Edisi Kedua pada malam ini merupakan satu testimoni pencapaian cemerlang Majlis Penasihat Syariah. Saya percaya buku ini akan menjadi rujukan utama kepada peserta pasaran, penasihat Syariah dan masyarakat akademik dalam mencari keputusan tentang isu-isu Syariah dalam pasaran modal Islam di Malaysia dan antarabangsa. Oleh itu, saya yakin penerbitan buku ini bukan sahaja akan mendapat sambutan yang baik daripada peserta pasaran, bahkan akan menyumbang kepada pengukuhan momentum pertumbuhan pasaran modal Islam negara. Insya Allah. 13. Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Suruhanjaya Sekuriti dan khususnya, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti, dan berharap kerjasama erat yang telah terjalin akan terus menyumbang kepada kecemerlangan pasaran modal Islam negara. Sekian, terima kasih.
11 September 2006 |
| Terakhir Dikemaskini Isnin, 13 Februari 2012 10:12 |






