
| Majlis Perhimpunan Kementerian Kewangan Malaysia |
|
|
|
Majlis Perhimpunan Kementerian Kewangan Malaysia 11hb. September 2006 (Isnin): 8:00 pagi.
YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Yang Berhormat Dato' Dr. Ng Yen Yen, Yang Berhormat Datuk Dr. Awang Adek bin Hussin, Yang Berhormat Datuk Hilmi b. Yahaya, Yang Berbahagia Tan Sri Izzuddin bin Dali,
2. Saya juga memanjatkan kesyukuran saya ke hadrat Allah kerana penyediaan dan pembentangan Bajet 2007 telah dapat kita laksanakan dengan baik dan sempurna. Di sini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan yang telah bekerja kuat dengan mengorbankan masa serta tenaga bagi menjayakannya. Semangat dedikasi, komitmen yang tinggi, dan sikap amanah yang telah tunjukkan itu harus dicontohi dan terus dikekalkan sebagai satu budaya korporat Kementerian Kewangan Malaysia. Tahniah dan syabas saya ucapkan. 3. Bajet 2007 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri adalah bajet pertama selepas pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan. Bajet 2007 yang memperuntukkan RM159.4 bilion itu, akan bertindak sebagai pemacu pelaksanaan Misi Nasional dan telah mendapat sambutan yang baik semua pihak terutama sektor swasta. Kebanyakan mereka menganggap bahawa bajet kali ini sebagai pragmatik dengan mengambil kira keperluan serta cabaran semasa bagi memastikan pembangunan berterusan ekonomi negara selain memberikan kelegaan kepada semua lapisan masyarakat. Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian, 4. Pertumbuhan ekonomi negara tahun ini dijangka terus kukuh dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang pada kadar 5.8 peratus. Jangkaan ini adalah satu pencapaian yang baik jika diambil kira keadaan global dan geopolitik yang tidak menentu. Selain itu, pelaburan swasta dijangka meningkat 10.1 peratus manakala penggunaan sektor swasta kekal kukuh pada kadar 7.1 peratus. Kita juga bersyukur kerana pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan ini diiringi oleh kedudukan imbangan pembayaran negara yang baik, paras tabungan dan tahap kecairan yang tinggi serta nilai ringgit yang kukuh. 5. Kerajaan akan terus memberikan subsidi minyak dan kehilangan cukai yang dijangka berjumlah RM19 bilion tahun ini, berbanding RM16 bilion pada 2005. Berasaskan andaian harga minyak dalam lingkungan US$70 satu tong tahun depan, Kerajaan akan memastikan bahawa harga barangan terus stabil dengan mempertingkatkan penguatkuasaan. Walaupun pertumbuhan ekonomi yang kukuh telah menyumbang kepada kualiti hidup rakyat yang lebih tinggi, kebajikan mereka yang berpendapatan rendah terus diberikan pembelaan. Antaranya termasuklah, menambah kemudahan perumahan, menaikkan kadar bantuan bulanan murid sekolah, memansuhkan semua yuran peperiksaan persekolahan, meningkatkan kualiti pengangkutan awam, dan bagi kakitangan kerajaan selain bonus, mereka diberikan kenaikan Elaun Tetap Khidmat Awam dan Kos Sara Hidup (COLA). 6. Saya berharap ganjaran diberikan oleh Kerajaan akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan menjadi insentif untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian kerja masing-masing. Kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang telah kita dicapai malah harus melipatgandakan usaha bagi menghadapi pelbagai cabaran globalisasi. 7. Saya berdoa semoga Allah s.w.t akan merestui serta memberkati segala usaha kita demi kejayaan dan kecemerlangan negara di masa akan datang. Sekian,
|
| Terakhir Dikemaskini Isnin, 13 Februari 2012 09:51 |






