Integrated Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam
  MAKLUMBALAS BARU   SOALAN LAZIM
  SEMAK MAKLUMBALAS   PEGAWAI DAFTAR
picture PROSES MEMBUAT ADUAN    
Aduan dipantau oleh Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri
Majlis Perasmian Wisma Amanahraya dan Pelancaran Buku Pewarisan Amanahraya Cetak Emel


MAJLIS PERASMIAN WISMA AMANAHRAYA

&

PELANCARAN BUKU PEWARISAN AMANAHRAYA

 

 

UCAPAN

OLEH 


TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP

MENTERI KEWANGAN II


DEWAN UTAMA

 HOTEL HILTON KUALA LUMPUR

 18 OGOS 2006





Menghadap
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail

Menghadap
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong
Tuanku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid


 Terlebih dahulu patik dan seluruh warga AmanahRaya dengan penuh takzim mengambil kesempatan ini untuk merafak sembah dan merakam ucapan setinggi penghargaan dan menjunjung kasih di atas limpah perkenan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat ke majlis Perasmian Wisma AmanahRaya dan Pelancaran Buku Pewarisan AmanahRaya.

2. Sesungguhnya, keberangkatan Tuanku berdua pada malam ini amat patik sekalian nantikan dan sanjungi, ianya telah menyemarakkan lagi semangat semua warga AmanahRaya untuk terus berkhidmat kepada rakyat dengan lebih gigih lagi.


Ampun Tuanku,

3. Keberangkatan hadir Seri Paduka Baginda Tuanku berdua juga telah memberi erti yang amat bermakna buat patik sekalian dan sudah tentu sekali ianya menyerikan suasana majlis pada malam ini.  Ianya kelak menjadi satu kenangan abadi buat patik sekalian.

4. Patik ingin menyembah maklum dan rasa bertuah bahawa pada malam ini adalah aturcara kemuncak bagi AmanahRaya, iaitu majlis Perasmian Wisma AmanahRaya yang akan dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sendiri dan Pelancaran Buku Pewarisan AmanahRaya oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri.

Ampun Tuanku,

5. Seterusnya patik memohon limpah perkenan Tuanku untuk patik menyampaikan ucapan kepada hadirin sekalian.




Y.Bhg. Dato' Haji Dusuki bin Ahmad
Pengerusi AmanahRaya

Y.Bhg. Dato' Ahmad Rodzi Pawanteh
Pengarah Urusan AmanahRaya

Tan Sri-Tan Sri, Dato'-Dato' dan Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati.

6. Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan taufik dan hidayah-Nya, dapat kita bersama di Majlis Perasmian Wisma AmanahRaya dan Pelancaran Buku Pewarisan AmanahRaya, sempena sambutan ulang tahun yang ke-85 AmanahRaya. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada  semua warga ARB yang telah berjaya menganjurkan Majlis yang penuh bersejarah pada  malam ini.

7. Amanah Raya Berhad telah ditubuhkan pada tahun 1921, iaitu 85 tahun yang dahulu. Sesungguhnya, AmanahRaya mempunyai sejarah begitu lama yang perlu kita abadikan.  Dalam hal ini, saya  merakamkan setinggi-tinggi  tahniah kepada pihak AmanahRaya yang telah berusaha untuk melancarkan Buku Pewarisan AmanahRaya, yang dapat dijadikan sebagai dokumen kenangan perjalanan sejarah 85 tahun wujudnya AmanahRaya.   Saya percaya, semua warga AmanahRaya, dahulu dan sekarang, boleh berbangga dengan titik-titik sejarah yang telah dilalui begitu lama, serta sumbangan mereka ke arah kejayaan yang  telah diperolehi selama ini.

8. Pernah dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia, AmanahRaya telah diperbadankan pada 1995, bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya. Semenjak ianya diperbadankan, AmanahRaya telah berkembang pesat, daripada sebuah organisasi yang terlibat hanya dalam pengurusan harta pusaka dan pentadbiran amanah kepada aktiviti-aktiviti berkaitan, termasuklah penyediaan perkhidmatan pengurusan aset dan pengurusan hartanah.

9. Selain daripada itu, AmanahRaya juga telah mempelbagaikan penglibatan dalam aktiviti berkaitan pelaburan di pasaran modal. AmanahRaya adalah pemegang amanah kepada 85 dana saham amanah, yang bernilai lebih 72 bilion ringgit, serta pemegang amanah bagi bon dan pelbagai instrumen kewangan dan pengurusan pelaburan.

10. AmanahRaya juga telah mula menceburi pengurusan pelaburan  global melalui usahasama strategik dengan institusi kewangan antarabangsa. Saya dimaklumkan bahawa AmanahRaya telah dilantik oleh Morgan Stanley untuk menguruskan potfolio pelaburan ekuitinya di Malaysia.

11. Selaras dengan dasar Kerajaan untuk mempastikan amalan tadbir urus terbaik, AmanahRaya telah mengambil inisiatif untuk menyediakan Pelan Integriti Korporat Syarikat, sejajar dengan Pelan Integriti Nasional Malaysia yang telah dilancarkan oleh Kerajaan. Saya percaya inisiatif ini akan terus menyumbang kepada  kecemerlangan syarikat dalam mencapai visi AmanahRaya.

12. Pada malam ini, kita juga akan menyaksikan perasmian Ibu pejabat AmanahRaya, iaitu  Wisma AmanahRaya, yang terletak  di lokasi strategik di pusat perniagaan dan kewangan Bandaraya Kuala Lumpur. Saya berharap dengan adanya kemudahan yang lebih baik di Wisma AmanahRaya ini, akan merangsangkan lagi warga AmanahRaya untuk bertugas dengan penuh berdedikasi dan lebih efisien, serta berkeupayaan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

Hadirin Sekalian,

13. Melangkah ke hadapan, saya berharap semua warga AmanahRaya akan terus berusaha memantapkan lagi peranan dan tanggungjawab mereka  ke arah mencapai kecemerlangan yang berterusan.


Ampun Tuanku,

14. Sebelum patik mengakhiri ucapan, mohon izin untuk mengambil  kesempatan di sini untuk merakamkan penghargaan kepada para hadirin sekalian serta warga AmanahRaya yang telah menjayakan Majlis Perasmian Wisma AmanahRaya dan Pelancaran Buku Pewarisan AmanahRaya pada malam ini.

Ampun Tuanku,

15. Patik sekali lagi dengan penuh kesyukuran dan takzim menjunjung kasih di atas keberangkatan Tuanku berdua ke Majlis yang bersejarah ini.

Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufiq Walhidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.




Kementerian Kewangan
Putrajaya
18 Ogos 2006

Terakhir Dikemaskini Isnin, 13 Februari 2012 09:39
 

Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox 3.6 dan Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1024x768.
Anda memerlukan perisian Adobe Flash Player   dan Adobe Acrobat Reader untuk paparan sesetengah aplikasi di portal ini.
Hak Cipta © 2011, MOF. Hakcipta Terpelihara
Dibangun dan disenggarakan oleh Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Perbendaharaan Malaysia.


logo