
| Penyenaraian Pt Malindo Feedmill Di Bursa Effek Jakarta |
|
|
|
PENYENARAIAN PT MALINDO FEEDMILL DI BURSA EFFEK JAKARTA UCAPAN OLEH
MENTERI KEWANGAN II
2. Kerjasama erat di antara Indonesia dan Malaysia kini jelas telah berkembang pesat dan telah menyumbang kepada memperkukuhkan lagi ekonomi kedua negara. Jumlah perdagangangan Malaysia dengan negara Indonesia telah mencecah lebih 7 bilion dolar Amerika pada tahun 2005, tidak termasuk barter trade yang dianggarkan dalam lingkungan 600 juta dolar Amerika. Ini merupakan peningkatan hampir dua kali ganda bagi tempoh lima tahun yang lalu. Semenjak 12 tahun kebelakangan ini, lebihan perdagangan juga telah terus memihak kepada Indonesia. 3. Sebahagian besar, iaitu lebih 40 peratus, daripada jumlah perdagangan adalah bagi barangan keluaran kimia, elektronik, petroleum dan minyak kelapa sawit. Sudah tiba masanya bagi kita berusaha dengan lebih giat untuk mempelbagaikan lagi perdagangan kedua negara. Bidang-bidang baru perlu diterokai, terutamanya sektor IT, pertanian moden, khususnya pengeluaran makanan, dan juga perkhidmatan kewangan dan bukan kewangan. 4. Dari segi pelaburan pula, jumlah pelaburan Malaysia di negara ini bagi tempoh lima tahun yang lalu dianggar telah mencapai hampir 4 billion dolar Amerika. Sebahagian besar pelaburan ini adalah dalam sektor perladangan, pembuatan dan industri petroleum. Antara syarikat-syarikat besar Malaysia yang kini giat terlibat dalam pelaburan di Indonesia termasuk Petronas, Telekom Malaysia, Kumpulan Guthrie, Astro, Maxis dan Leong Hup Holdings. 5. Malaysia terus yakin dengan potensi untuk menceburi bidang-bidang pelaburan baru, di samping mengembangkan lagi pelaburan sedia ada di negara ini. Bidang-bidang baru yang berpotensi berkembang pesat termasuk perkhidmatan kewangan, industri automobil, penjanaan kuasa elektrik dan infrastruktur, seperti pembinaan jalanraya dan lapangan terbang. 6. Melangkah kehadapan, kita perlu mempesatkan lagi kerjasama rapat yang telah terjalin supaya kedua negara sama-sama mendapat manfaat daripada penjanaan pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak. Selain daripada usaha menerokai pasaran domestik kedua negara, kita juga perlu mengambil peluang daripada pasaran serantau yang lebih besar. Syarikat- syarikat negara kita yang berminat menerokai pasaran serantau dan global untuk meraih niche opportunities seharusnya digalak dan dibantu mengadakan lebih banyak partnership dan alliances untuk mendapatkan akses kepada pasaran yang lebih diversified dan luas. 7. Dalam hal ini, dengan jumlah penduduk melebihi setengah bilion, pasaran ASEAN boleh menjadi satu daripada pasaran serantau yang penting di dunia. Sebagai antara negara-negara utama di dalam ASEAN, pelabur dan masyarakat perniagaan di Indonesia dan Malaysia perlu mengambil peluang daripada wujudnya Kawasan Bebas Perdagangan ASEAN atau AFTA. Mereka perlu bersungguh-sungguh menjalin perkongsian strategik untuk menjadi lebih kompetitif dalam mengeluar dan mengeksport barangan dan perkhidmatan di pasaran serantau ini. Kejayaan ini pula akan boleh dijadikan landasan yang kukuh bagi mereka terus berjaya menerokai peluang-peluang di pasaran global. 8. Jelas potensi ini boleh dicapai. Leong Hup Holdings, iaitu syarikat induk PT Malindo Feedmill, yang tersenarai di Bursa Malaysia, merupakan sebuah syarikat terbesar di Malaysia dalam industri penternakan ayam berintegrasi. Selain di Indonesia, ia juga mempunyai rangkaian operasi di Philippines dan Singapura. Syarikat ini berpotensi meperluaskan lagi operasinya, terutamanya di negara-negara ASEAN yang lain, dan seterusnya, ke peringkat global. 9. Oleh itu, penyenaraian PT Malindo Feedmil di Bursa Effek Jakarta memberi peluang kepada pelabur-pelabur negara ini untuk melabur dalam sebuah syarikat yang mempunyai rangkaian operasi yang luas dirantau ini. Di samping itu, penyenaraiannya membolehkan syarikat tersebut mendapatkan sumber pembiayaan dari pasaran modal domestik Indonesia untuk meningkatkan lagi kapasiti operasi serantaunya. Hadirin yang dihormati, 10. Akhir kata, marilah kita sama-sama memperkukuhkan lagi komitmen serta berusaha melipat gandakan semangat kerjasama yang telah terjalin erat selama ini, agar ekonomi kedua-dua negara kita akan terus maju dan menjadi lebih dinamik. Saya yakin negara kita akan dapat mencapai kejayaan yang lebih pesat lagi selaras dengan aspirasi kita untuk membawa kemakmuran dan kesejahteran kepada rakyat. Sekian, terima kasih.
|
| Terakhir Dikemaskini Isnin, 13 Februari 2012 11:25 |






