Integrated Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam
  MAKLUMBALAS BARU   SOALAN LAZIM
  SEMAK MAKLUMBALAS   PEGAWAI DAFTAR
picture PROSES MEMBUAT ADUAN    
Aduan dipantau oleh Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri
Jemputan Merasmi dan Menyampaikan Sumbangan Zakat dan Bantuan Hari Raya 2005, UMNO Cheras, Wilayah Persekutuan Cetak Emel

 

Jemputan Merasmi dan Menyampaikan Sumbangan Zakat dan Bantuan Hari Raya 2005, UMNO Cheras, Wilayah Persekutuan

 

 

 

14hb. Oktober, 2005 (Jumaat)
6:00 petang
Kompleks Darul Puteri, Kuala Lumpur

 

 


Oleh

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop,
Menteri Kewangan II

 

Y.B Senator Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee
Ketua UMNO Bahagian Cheras merangkap Setiausaha UMNO Wilayah Persekutuan


Y.Bhg Datuk Mahadi Haji Shukor
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Cheras


Y.Bhg Datuk Mohd Nasir Ghani
Naib Ketua UMNO Bahagian Cheras


Y.Bhg Datuk Faridah Abu Hassan
Ketua Wanita UMNO Bahagian Cheras


Y.Bhg Tuan Syed Mehdar Syed Abdullah
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Cheras


Y.Bhg Puan Norlaili Mohamad
Ketua Puteri UMNO Bahagian Cheras


Tetamu-tetamu kehormat,


Datuk-Datuk,


Datin-Datin,


Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

 

 

Assalamu'alaikum w.b.t dan salam sejahtera,

 

Alhamdullliah, segala puji bagi Allah s.w.t yang menemukan kita di bulan Ramadhan al-Mubarak yang mulia ini. Bulan Ramadhan merupakan kesempatan yang paling baik untuk kita mempertingkatkan amalan, memperkukuhkan persaudaraan dan memperkasakan keimanan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UMNO Bahagian Cheras yang sudi menjemput saya bagi menjayakan majlis pada petang yang mulia ini.

2. Saya ingin mengucapkan takziah kepada YB Senator Syed Ali Al-Habshee di atas pemergian ke rahmatullah bonda yang dikasihi. Saya dapat merasakan kesedihan YB Datuk, namun sesungguhnya Allah s.w.t lebih mengasihi Allahyarhamah dan berdoa semoga Allah s.w.t menempatkan Allahyarhamah di kalangan mereka yang tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t.

3. Nabi Muhammad s.a.w sendiri, hanya berkesempatan merasai sembilan kali Ramadhan semasa hayat Baginda. Bulan Ramadhan dikatakan madrasah; khusus kerana semangat tarbiyyah yang sepatutnya dilalui setiap umat pada bulan ini. Ibadat berpuasa, jika dilaksanakan secara sempurna, semenangnya mampu menjadikan kita seorang insan yang yang lebih baik daripada yang sebelumnya, Insyaallah. Saya amat mengalu-alukan program yang sebegini bentuknya - yang penuh ikhlas memberikan sumbangan kepada kelompok masyarakat yang memerlukan. Inilah jiwa dan semangat teras Ramadhan yang perlu sama-sama kita hayati dan laksanakan. Sehubungan itu, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada kepimpinan UMNO Bahagian Cheras yang begitu prihatin terhadap kebajikan masyarakat yang sangat memerlukan. Saya secara peribadi amat mengkagumi kepimpinan YB Senator Datuk Syed Ali yang terkenal sebagai pemimpin yang berkelibar dan berwibawa yang tanpa penat jemu mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Keluarga YB Senator Datuk Syed Ali Al-Habshee, terutamanya Allahyarham ayahanda beliau, Tan Sri Datuk Syed Abass Al-Habshee telah banyak berbakti pada agama, bangsa dan agama.
 
4. Di bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita saling ingat mengingati agar setiap amalan kita, fikrah kita, nilai kita, rasa sayang dan kasih kita mestilah dapat menyumbang kepada kekuatan ummah. Umat Islam tidak akan menjadi umat yang berjaya, sekiranya asas kekuatan semasa ummah tidak diberikan perhatian. Umat Islam akan menjadi umat yang berjaya sekiranya asas kekuatan semua ummah diberikan fokus, asas-asas ekonomi diperteguhkan, kaedah melaksanakan muamalat diperkasakan dan pegangan nilai diperketatkan. Dalam suasana ekonomi yang global, semua ini menjadi penentu samada kita mampu berjaya dalam gelombang yang sangat deras ini. 

Hadirin dan hadirat yang dihormati,

5.  Rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t kita panjatkan kerana dengan keredhaannya, Malaysia masih lagi mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik. Bajet 2006 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini adalah manifestasi terhadap apa yang telah dan akan kerajaan laksanakan. Pelbagai peruntukan di dalam bajet tersebut menjurus kepada penambahan belanjawan kepada kumpulan masyarakat yang memerlukan. Pada petang ini, kita dapat menyaksikan bahawa semangat yang sama diteruskan oleh UMNO Bahagian Cheras dalam berbakti kepada masyarakat. Inilah contohnya apabila ekonomi sesebuah negara menjadi makmur, maka lebih ramai di kalangan rakyat yang dapat merasai kesan kemakmuran yang ada. 

 


Hadirin dan hadirat yang dihormati,

6. Kita harus membina kelompok peniaga serta usahawan yang lebih besar kerana mereka inilah juga yang bakal menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara. Kita belajar daripada Sirah Nabawiyyah, gerakan dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w banyak ditunjangi oleh kelompok peniaga serta usahawan pada ketika itu. Sebagai contohnya, Abdul Rahman Auf adalah warga korporat yang bersedia menyumbang kepada usaha-usaha peneguhan umat dan gerakan Islam pada ketika itu. Hari ini, kita juga sedia maklum, ramai di kalangan pemimpin dan ahli UMNO Bahagian Cheras ini juga terdiri daripada peniaga serta usahawan yang berjaya seperti YB Datuk Syed Ali dan Y.Bhg Datuk Muhamad Muis.

Hadirin dan hadirat yang dihormati,

7. Majlis ini memberi peluang untuk kita bermuhasabah kerana sudah tentu ada hati yang tersentuh, ada jiwa yang meruntun mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah s.w.t.  Dalam amalan adab Islam, kita sering menyebut betapa ketika menjalankan sesuatu perkara, kita akan menyatakan bahawa sesuatu yang baik itu datang daripada Allah s.w.t, apa yang buruk adalah atas kelemahan kita. Ini kerana sifat kesempurnanan hanya pada ada Khalik sementara kelemahan atau ketidaksempurnaan adalah pada Makhluk. Jadi setiap kali kita menyebut perkara ini ketika merangcang atau melaksanakan sesuatu, ia menjadi ingatan kita tentang kelemahan dan tanggungjawab kita untuk memperbaikinya. Ia merupakan semangat muhasabah yang bukan sekadar disebut-sebut tetapi adalah bagi menilai diri untuk memperbaiki dan mendatangkan kebajikan kepada masyarakat.

9.  Saya mendoakan agar ibadat puasa kita pada tahun ini mampu menjadikan kita sebagai umat Islam yang lebih baik. Saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada UMNO Bahagian Cheras yang dapat menyahut syiar Ramadhan Al-Mubarak dengan melakukan amalan yang lebih luas.  

 


Sekian, Wabillahitaufik wal hidayah
              Wassalamualaikum w.b.t

 

 

14hb. Oktober 2005

 

Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox 3.6 dan Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1024x768.
Anda memerlukan perisian Adobe Flash Player   dan Adobe Acrobat Reader untuk paparan sesetengah aplikasi di portal ini.
Hak Cipta © 2011, MOF. Hakcipta Terpelihara
Dibangun dan disenggarakan oleh Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Perbendaharaan Malaysia.


logo