Perasmian Pesta Sukan Kementerian Kewangan Malaysia ke-31 2005

 

Perasmian Pesta Sukan Kementerian Kewangan Malaysia
ke-31 2005
  


Oleh
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
20hb. Ogos 2005
Kompleks Sukan Maybank, Bangi

 


Y.Bhg Tan Sri Md Nor Yusof
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti

Y.Bhg Dato' Izuddin bin Dali
Yang Dipertua Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kementerian Kewangan (MKSAKK)

Dato'-Dato', Datin-Datin

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.


Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan rahmatnya dapat kita bertemu kembali di acara tahunan Pesta Sukan Kementerian Kewangan kali yang ke-31 bermula 6 Ogos hingga 21 Ogos 2005.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Sekuriti kerana bersedia menerima cabaran untuk mengelolakan pesta sukan ini dan menjadi tuah rumahnya. Pengelolaan ini adalah satu pengiktirafan di atas kebolehan dan kemampuan suruhanjaya ini untuk mengurus serta mengendalikan satu acara yang besar. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa pengelola di atas jemputan kepada untuk merasmikan majlis pada petang ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

3. Pesta sukan yang berlangsung hari ini adalah kesinambungan usaha yang berterusan sejak tiga dekad lalu. Saya yakin penganjuran pesta sukan seperti ini mampu memupuk semangat kerjasama serta setiakawan dalam suasana yang penuh muhibah di kalangan pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di jabatan-jabatan di bawah naungan Kementerian Kewangan. Pesta sukan ini juga telah menjadi salah satu landasan penting untuk kakitangan Kementerian Kewangan untuk saling bermesra dan untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Sememangnya tujuan ini amat baik dan dialu-alukan kerana adalah penting bagi semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan dapat berfungsi sebagai sebuah pasukan yang mantap dan bersatu-padu.

 4. Selain itu, pesta sukan ini akan dapat melahirkan kakitangan  yang cergas, sihat dan berdisiplin. Kementerian Kewangan sebagai peneraju jentera pentadbiran kewangan negara tentunya memerlukan tenaga kerja di semua peringkat perkhidmatan yang sihat, baik dari segi fizikal maupun mental supaya dapat memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan.

5. Sesungguhnya kehadiran Tan-Sri-Tan Sri, Dato'-Dato', tuan-tuan dan puan-puan yang mewakili agensi dan jabatan masing-masing pada hari ini akan dapat menyemarakkan lagi semangat berpasukan seperti ini. Harus diingatkan bahawa tanpa kerjasama erat dan bersatu-padu daripada semua agensi serta jabatan, segala program yang dirancang tidak akan berjaya mencapai matlamatnya.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

6. Saya menyokong penuh usaha program pembangunan insan dalam bentuk pengamalan aktiviti kecergasan di negara ini. Sesungguhnya, sumber tenaga manusia adalah aset yang perlu diberikan keutamaan supaya ianya akan lebih produktif, inovatif dan berkeupayaan tinggi. Tenaga manusia yang sihat dan cergas sudah tentu akan menjadi jentera yang aktif untuk mengambil bahagian dalam semua aspek amalan hidup khususnya ke arah Malaysia maju. Oleh yang demikian, saya menyarankan supaya kita bersama terus mengaktifkan diri sama ada secara individu atau berkumpulan, bukan hanya dalam kejohanan sukan sahaja tetapi menjadikannya sebagai sebahagian daripada amalan harian kita.

7. Selain itu, walaupun pesta sukan ini hanya membabitkan kakitangan-kakitangan kementerian sahaja, saya berpendapat ianya masih boleh dijadikan satu kegiatan yang disertaikan oleh semua ahli keluarga. Mungkin di tahun-tahun akan datang boleh dimasukkan elemen-elemen sukan yang memerlukan penyertaan semua ahli keluarga. Marilah sama-sama kita fikirkan bagaimana untuk memasukkan elemen kekeluargaan supaya pesta sukan kelak akan menjadi lebih meriah, menyeluruh dan bermakna.

8. Akhir kata, saya berharap semua kakitangan kementerian akan mengambil kesempatan daripada perhimpunan sukan seperti ini untuk menjalinkan hubungan kerja yang lebih erat bagi menjurus ke arah peningkatan mutu kerja di Kementerian Kewangan. Saya berdoa semoga pesta sukan ini akan berjalan dengan meriah dan sempurna, berlandaskan semangat kesukanan yang tulen.

9. Dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim saya merasmikan Pesta Sukan Kementerian Kewangan kali ke-31 ini.

Selamat Bertanding dan Selamat Maju Jaya.

20hb. Ogos 2005