8hb. Ogos, 2005 (Isnin): 8:00 pagi.
Kementerian Kewangan, Putrajaya
Y.B Datuk Ng Yen Yen
Timbalan Menteri Kewangan I
YBM Dato' Tengku Putera Tengku Awang
Timbalan Menteri Kewangan II
Y.B Datuk Dr Hilmi Yahaya
Setiausaha Parlimen
Y.Bhg Dato' Izzudin Dali
Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Tan Sri-Tan Sri
Datuk-Datuk
Saudara dan saudari sekalian
Assalamu'alaikum w.b.t dan Selamat Pagi.
Alhamdullliah, dapat kita sekali lagi berkumpul pada pagi ini. Saya ingin menyampaikan salam Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kini berada di Amerika Syarikat untuk bersama-sama dengan Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Endon Mahmood yang sedang menjalani rawatan di sana. Marilah kita bersama-sama berdoa semoga Allah s.w.t memulihkan kesihatan Datin Seri.
Saudara dan saudari sekelian,
2. Baru-baru ini banyak diperkatakan dan dibincangkan mengenai Wawasan 2020. Apabila kita memperkatakan konsep negara maju, dalam konteks Wawasan 2020, ianya bermaksud sebuah negara yang maju dalam semua dimensi: ekonomi, politik, sosial, kerohanian, saikologi dan budaya. Kita hendaklah maju sepenuhnya dalam kesatuan kebangsaan dan keselamatan sosial, kestabilan politik, kualiti hidup, nilai sosial dan kerohanian, etika korporat, semangat kekitaan dan berkeyakinan. Pada pagi ini, saya ingin menumpukan perhatian kepada satu aspek yang penting iaitu: nilai dan etika.
3. Saya rasa adalah tepat pada masanya kita menumpukan perhatian kepada soal etika bagi memastikan kita tidak terlencong dalam perjalanan kita ke tahun gemilang 2020.
4. Sejarah telah memperlihatkan betapa tamadun demi tamadun yang pernah gemilang pada eranya akhirnya hilang ditelan zaman kerana kerapuhan dan kemerosotan nilai dan etika murni dalam kehidupan mereka. Tamadun Rom, Greek, Parsi dan Sparta semuanya pupus atas sebab yang sama. Masyarakatnya maju dan telah memberikan sumbangan yang besar kepada sejarah dalam beberapa aspek. Tetapi malangnya, hidup mereka sentiasa dikongkong oleh gejala-gejala seperti kecenderungan kepada kepentingan peribadi dan mementingkan keseronokan serta kemewahan. Kelonggaran nilai-nilai murni dalam prinsip hidup inilah yang menyebabkan empayar-empayar tersebut akhirnya lenyap.
Saudara dan saudari sekelian,
5. Dalam konteks sumbangan kakitangan awam kepada Wawasan 2020, saya berpendapat bahawa kita harus mempunyai pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan kerajaan yang sentiasa merujuk kepada Tuhan sebagai sumber asasi dalam pengurusan manusia dan organisasi yang mengenali dan menghayati fitrah kejadian manusia, selain meletakkan pencapaian matlamat ke arah kehidupan yang lebih abadi. Sifat ini amat penting dalam aspek pertanggungjawaban (accountability) dan demi menggelakkan unsur penyelewengan dalam pengurusan.
6. Tidak boleh dinafikan bahawa ciri-ciri ilmu dan kemahiran adalah unsur-unsur yang penting dalam melengkapkan seseorang pentadbir dalam menjalankan sesuatu tanggungjawab. Tetapi adalah tidak tepat jika kita menyatakan bahawa hanya unsur-unsur ini sebagai perlu dalam mewujudkan pentadbiran yang cekap dan berkesan. Kita patutnya menekankan unsur-unsur agama, etika dan moral sebagai unsur-unsur penting dalam pentadbiran. InsyaAllah dengan pegangan kita kepada nilai dan etika yang murni dalam kesemua aspek pentadbiran, tidaklah sukar untuk kita mencapai Wawasan 2020.
7. Untuk memastikan supaya negara kita sentiasa maju ke hadapan, kita harus belajar daripada sejarah empayar Islam silam yang makmur kerana sikap keterbukaan mereka kepada pemikiran-pemikiran yang inovatif ketika itu. Contohnya, sejarah kesultanan al-Andalus (kini Sepanyol), yang mencapai kejayaan dari segi sains dan teknologi kerana menggalakkan kemasukan ilmu baru.
8. Kita harus mengambil iktibar daripada contoh al-Andalus untuk membina kemajuan negara dalam bidang teknologi maklumat, dan mengambil nikmat bioteknologi untuk dilaksanakan dalam sektor pertanian. Dalam masa yang sama, kita juga ingin melihat pengusaha membangunkan syarikat bertaraf antarabangsa yang bertapak kukuh di Malaysia tetapi pada masa yang sama mempunyai rangkaian luas dan global.
9. Dalam era globalisasi ini, yang akan menang adalah mereka yang terbuka kepada pengaruh luar tetapi pada masa yang sama mampu untuk meninggalkan jejaknya yang tersendiri ke atas dunia. Jati diri sesuatu bangsa itu harus mantap bagi membolehkan ia menyaring semua kebaikan globalisasi dan meninggalkan yang buruk.
10. Bagi warga Kementerian Kewangan yang mempunyai anak, saya ingin menegaskan bahawa usaha melahirkan anak yang berbudi pekerti adalah tanggungjawab kita. Ianya tidak syak lagi bermula di rumah dengan ibu bapa mendidik anak-anak berkelakuan baik dan menghormati orang tua serta adik-beradik mereka. Kita patut mendalami kebenaran kata perpatah Melayu, iaitu Melentur buluh biar daripada rebungnya. Kita harus mengajar anak-anak kita menghargai buku; juga diajar pentingnya bermusyawarah dan bergotong-royong tanpa mengira bangsa, agama dan taraf kedudukan. Semua nilai ini jika dipupuk sejak awal lagi, pasti memudahkan kita mewujudkan masyarakat yang hidup saling perlu memerlukan serta sanggup bekerjasama dalam semua bidang bagi memperbaiki lagi persekitaran dan membina semangat kejiranan serta persaudaraan. Sebagai ibu bapa, kita harus selalu menunjukkan contoh-contoh terbaik terutama dari segi keperibadian, amalan harian serta tutur-kata.
Saudara dan saudari sekelian,
11. Mengenai kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa, saya menyarankan supaya semua kakitangan Kementerian Kewangan mengambil langkah segera bagi penjimatan tenaga elektrik. Selain mengurangkan sedikit suhu hawa dingin pejabat, amalan menutup lampu semasa waktu rehat adalah langkah yang bijak.
12. Akhir kata, marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Allah s.w.t semoga negara kita terus mendapat petunjuk dan hidayahnya dalam menghadapi semua cabaran yang mendatang.
Sekian, Wabillahitaufik wal hidayah
Wassalamualaikum w.b.t
8 Ogos 2005