
| Majlis Perasmian Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur |
|
|
|
MAJLIS PERASMIAN
TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP
Y Bhg. Tan Sri Abdul Halil bin Abd. Mutalib Y Berusaha Dato’ Mohd. Rajion bin Mat Idin Y Bhg. Dato’-Dato’ Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua warga Kastam, khasnya Kastam Diraja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sempena perasmian Kompleks Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelana Jaya pada pagi ini. 2. Pembinaan Kompleks Kastam Kelana Jaya yang indah ini merupakan satu daripada usaha Kerajaan untuk menyediakan kemudahan pejabat yang lengkap untuk faedah dan kebaikan, bukan sahaja kepada kakitangan Kastam, tetapi juga kepada orang ramai yang mengunjungi pejabat Kastam untuk mendapatkan perkhidmatan. 3. Selain daripada bangunan pejabat, Kompleks ini juga mempunyai unit-unit perumahan yang mencukupi untuk semua kakitangan daripada setiap peringkat. Di samping itu, ianya dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan dan prasarana seperti surau, padang permainan dan tempat letak kereta. Semuanya ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menyediakan kemudahan perumahan dan persekitaran yang selesa bagi kakitangan Kerajaan, terutamanya bagi kakitangan beruniform. 4. Saya berharap dengan semua kemudahan pejabat dan perumahan yang disediakan ini akan dapat meningkatkan lagi produktiviti serta menjadikan tenaga kerja Kastam lebih berdedikasi, komited dan efisien. 5. Di samping kemudahan pejabat yang disediakan, lokasi Kompleks ini yang strategik akan juga memudahkan para pelanggan untuk berurusan dengan Jabatan Kastam. Dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai, saya berharap semua warga Kastam akan meningkatkan lagi amalan mesra pelanggan, mengutamakan kualiti perkhidmatan serta memberikan perkhidmatan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Dengan menghayati budaya kerja ini akan memudahkan lagi orang ramai berurusan dengan Kastam, di samping menjamin kepuasan para pelanggan dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan. Dengan ini juga, dapat kita menambah kesedaran orang ramai mengenai tanggungjawab mereka untuk membayar cukai. Hadirin sekalian, 6. Kastam DiRaja bertanggungjawab memungut hasil cukai tak langsung atau indirect taxes, seperti duti ekspot, import dan eksais serta cukai jualan dan perkhidmatan, yang merupakan sumber yang kedua besar dalam penjanaan hasil Kerajaan. Dalam hal ini, saya ingin merakamkan penghargaan Kerajaan kepada Kastam Diraja yang telah berjaya memungut hasil sebanyak 12.2 bilion ringgit dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu merupakan peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding dengan 10.3 bilion ringgit dalam tempoh yang sama tahun 2004. Sudah tentunya, peningkatan ini akan menyumbang kepada penambahan sumber kewangan Kerajaan untuk membiyaai pembangunan ekonomi negara. 7. Saya percaya Kastam DiRaja akan terus melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan cekap, produktif dan senantiasa mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi. Sesungguhnya, dengan dedikasi dan komitmen serta gabungan tenaga yang lebih mantap dari semua warga Kastam, tanggungjawab ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih cemerlang lagi. 8. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kastam Diraja Malaysia sempena Majlis Perasmian Kompleks Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pagi ini.
Kementerian Kewangan |






