Bon Pelaksanaan

 1. Apakah yang dimaksudkan dengan Bon Pelaksanaan?
  Bon Pelaksanaan ialah suatu bentuk jaminan yang perlu dikemukakan oleh kontraktor yang mendapat kontrak daripada Kerajaan, yang boleh dipegang oleh Kerajaan bagi melindungi kepentingannya dan memastikan kontraktor melaksanakan semua obligasi di bawah sesuatu kontrak.
   
2. Adakah bon pelaksanaan diperlukan bagi semua kontrak atau kontrak bernilai melebihi RM50,000 sahaja?
  Bon pelaksanaan diperlukan untuk kontrak bernilai melebihi RM200,000.00 sahaja.
   
3. Adakah kontrak yang bernilai di bawah RM200,000 dikecualikan daripada sebarang jaminan atau bon pelaksanaan?
  Kontrak yang bernilai kurang daripada RM200,000 tidak dikenakan syarat Bon Pelaksanaan. Jika kontraktor/syarikat gagal melaksanakan obligasinya di bawah kontrak, laporan perlu dibuat kepada Kementerian Kewangan / CIDB untuk tindakan tatatertib.
   
4. Kontrak telah diadakan dengan pembekal yang berdaftar tetapi tiada bon pelaksanaan dikenakan. Jika pembekal berdaftar ini tidak memberikan perkhidmatan yang memuaskan, apakah tindakan-tindakan yang patut diambil?
  Pembekal hendaklah diberi surat peringatan dan jika perkhidmatan masih tidak memuaskan surat amaran dikeluarkan. Jika tiada kemajuan juga, kontrak hendaklah ditamatkan. Laporan hendaklah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan selanjutnya.
   
5. Apakah bentuk-bentuk bon pelaksanaan yang boleh diterima untuk kontrak Kerajaan?
  Bon pelaksanaan boleh diberi dalam bentuk seperti berikut:
  (a) Jaminan Bank yang dikeluarkan oleh bank-bank berlesen di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 yang beroperasi di Malaysia; atau
  (b) Jaminan Insurans yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat insurans yang berlesen di bawah Akta Insurans 1996 yang beroperasi di Malaysia; atau
  (c) Jaminan Syarikat Kewangan yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat kewangan berlesen di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 yang beroperasi di Malaysia; atau
  (d) Jaminan Bank yang dikeluarkan oleh bank-bank berlesen di bawah Akta Bank Islam 1983 yang beroperasi di Malaysia; atau
  (e) Jaminan Takaful yang dikeluarkan oleh pengendali takaful yang berdaftar di bawah Akta Takaful 984 yang beroperasi di Malaysia; atau
  (f) Jaminan yang dikeluarkan oleh Bank Pembangunan & Infrastruktur Malaysia Berhad (BPIMB); atau
  (g) Wang Jaminan Pelaksanaan (untuk kerja sahaja).
     
6. Berapakah kadar bon pelaksanaan?
  Kadar bon pelaksanaan adalah seperti berikut:
  (a) 2.5% daripada nilai kontrak bagi kontrak bekalan/perkhidmatan yang bernilai RM200,000.00 hingga RM500,000.00.
  (b) 5% daripada nilai kontrak bagi kontrak bekalan/perkhidmatan yang melebihi RM500,000.
  (c) Bagi kontrak bekalan/perkhidmatan bermasa yang berkuatkuasa bagi tempoh dua (2) tahun atau lebih, peratus dan amaun bon pelaksanaan dikira mengikut anggaran nilai kontrak setahun sahaja. Walau bagaimanapun, bon Pelaksanaan yang dikemukakan oleh kontraktor hendaklah meliputi keseluruhan tempoh kontrak bermasa.
  (d) 5% daripada nilai kontrak bagi kontrak kerja yang bernilai melebihi RM200,000.
     
7. Berapa lamakah tempoh sah laku bon pelaksanaan?
  Tempoh sah laku bon pelaksanaan adalah seperti berikut:
  (a) Perolehan Kerja
    Dua belas (12) bulan selepas tamat tempoh tanggungan kecacatan.
  (b) Perolehan Bekalan
    Dua belas (12) bulan selepas penghantaran terakhir atau tarikh tamat kontrak yang mana terkemudian.
  (c) Perolehan Perkhidmatan
    Dua belas (12) bulan selepas tarikh tamat kontrak.
     
8. Sebagai ganti untuk bon pelaksanaan, bolehkah jaminan koporat diterima untuk perolehan kerajaan?
  Tidak boleh. Rujuk bentuk bon pelaksanaan di atas.
     
9. Kontraktor Syarikat Pembinaan MSN telah berjaya dipilih untuk projek membina sebuah sekolah di daerah Kemaman yang bernilai RM10 juta. Berapakah kadar bon pelaksanaan yang dikenakan?
  Kadar bon pelaksanaan yang dikenakan adalah sebanyak 5% (kadar untuk semua jenis kerja melebihi RM200,000.00).
     
10. Bagaimanakah contoh pengiraan Bon Pelaksanaan bagi kontrak perolehan bekalan/perkhidmatan?
     
    CONTOH 1 (Bekalan/Perkhidmatan)
   
(i) Tempoh Kontrak : 3 tahun
(ii) Nilai Kontrak : RM 4.5 juta
(iii) Kadar Bon : 5%
  (berdasarkan anggaran nilai satu tahun RM1.5 juta)
(iv) Jumlah (RM15 juta X 5%) = RM750,000.00
     
    CONTOH 2 (Bekalan/Perkhidmatan)
   
(i) Nilai Kontrak : RM 800,000.00
(ii) Tempoh Kontrak : 2 tahun
(iii) Kadar Bon : 2.5%
  (berdasarkan anggaran nilai satu tahun RM400,000.00)
(iv) Jumlah (RM400,000.00 X 2.5%) = RM10,000.00
  (bukan RM800,000 X 5%=RM40,000 atau RM400,000 X 5% =RM20,000)
   
 11.   Bagaimanakah contoh pengiraan Bon Pelaksanaan bagi kontrak perolehan kerja?
   
    CONTOH 1 (KERJA)
   
(i) Tempoh Kontrak/Siap : 3 tahun/36bulan
(ii) Nilai Kontrak : RM 15 juta
(iii) Kadar Bon : 5%
  (5% daripada nilai keseluruhan kontrak)
(iv) Jumlah (RM15 juta X 5%) = RM750,000.00