Integrated Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam
  MAKLUMBALAS BARU   SOALAN LAZIM
  SEMAK MAKLUMBALAS   PEGAWAI DAFTAR
picture PROSES MEMBUAT ADUAN    
Aduan dipantau oleh Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri
Cetak Emel
1. Sebut Harga telah dipelawa untuk sesuatu perolehan. Tawaran terendah adalah RM518,600. Bolehkah tawaran sebut harga tersebut dipilih oleh Jawatankuasa Sebut Harga?
Tidak boleh. Had nilai kuasa Jawatankuasa Sebut Harga adalah sehingga RM500,000 sahaja. Tawaran sebut harga tersebut hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Perolehan untuk dipertimbangkan.
2. Anda adalah ahli Jawatankuasa Sebut Harga. Semasa Jawatankuasa Sebut Harga bersidang anda tidak bersetuju dengan Pengerusi dan seorang ahli lain mengenai pemilihan syarikat ABC untuk pengindahan kawasan luar pejabat. Bolehkah perolehan diteruskan dengan syarikat ABC kerana keputusan majoriti adalah untuk memilih syarikat ABC?
Tidak boleh. Semua keputusan hendaklah sebulat suara. Keputusan majoriti adalah tidak mencukupi. Justeru, keputusan yang tidak sebulat suara hendaklah dirujuk kepada Lembaga Perolehan untuk diputuskan.
3. Apakah kaedah pengedaran sebut harga? Selain daripada mengedarkan sebut harga apakah lagi tindakan yang perlu dibuat oleh jabatan?
Pelawaan/notis sebut harga boleh dihantar secara terus kepada pembekal/ kontraktor yang berdaftar melalui Lampiran Q. Pelawaan/notis tersebut hendaklah dihantar melalui pos berdaftar atau serahan tangan. Di samping itu, bagi agensi yang mempunyai laman web, notis sebut harga boleh disiarkan dalam laman web. Jika dihantar melalui serahan tangan, bukti penghantaran dan penerimaan hendaklah disimpan. Satu daftar hendaklah diselenggarakan mengenai penghantaran sebut harga. Senarai syarikat yang dijemput dan syarikat yang mengemukakan tawaran hendaklah dijadikan lampiran pada kertas pertimbangan Jawatankuasa Sebut Harga. Agensi hendaklah menentukan bahawa cara yang sama digunakan bagi setiap urusan sebut harga. Salinan pelawaan sebut harga hendaklah juga dikirimkan kepada Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Malaysia (DPPM) di negeri masing-masing untuk membolehkan maklumat sebut harga disebarkan kepada ahli-ahlinya. Di samping mengedar notis sebut harga, notis pelawaan sebut harga juga hendaklah dipamer di papan kenyataan Kementerian/Jabatan sepanjang masa sehingga sebut harga ditutup. Sekiranya ada kontraktor/pembekal yang berminat, ia hendaklah dibenarkan mengambil bahagian.
4. Apakah tempoh minimum untuk pelawaan/notis sebut harga?
Tempoh minimum pelawaan sebut harga adalah sekurang-kurangnya tujuh (7) hari berturut-turut.
5. Jabatan saya telah menjemput tujuh (7) syarikat untuk menyebut harga bagi membekal peralatan teknikal pejabat. Setelah sebut harga ditutup, terdapat hanya dua (2) syarikat yang telah mengemukakan tawaran. Bolehkah urusan memilih tawaran ini diteruskan?
Boleh, kerana syarat mempelawa sekurang-kurangnya lima (5) sebut harga telah dipatuhi. Walau bagaimanapun, tawaran hendaklah memenuhi spesifikasi. Senarai syarikat yang telah dijemput dan yang telah dijawab hendaklah disertakan kepada Jawatankuasa Sebut Harga. Bukti serahan tangan atau bukti pos hendaklah diberikan sekali supaya Jawatankuasa Sebut Harga berpuashati dengan pelawaan sebut harga.
6. Apakah maklumat yang perlu dimasukkan dalam notis sebut harga?
Maklumat yang perlu dimasukkan di dalam notis sebut harga termasuklah nama dan alamat Jabatan yang mempelawa, tajuk sebut harga, syarat/kelayakan penyebutharga, bidang/kelas/kepala/sub kepala pendaftaran yang dikehendaki, tempat dan alamat sebut harga perlu dihantar, tarikh dan waktu sebut harga diterima dan ditutup. Sebut harga hendaklah dimasukkan dalam sampul surat berlakri dan ditulis nombor rujukan sebut harga.
7. Bolehkah Jawatankuasa Sebut Harga memutuskan sebut harga bagi perolehan melalui peruntukan mengurus dan peruntukan pembangunan atau kuasanya terhad kepada peruntukan mengurus sahaja?
Jawatankuasa Sebut Harga yang dilantik oleh Pegawai Pengawal boleh memutuskan mana-mana sebut harga tidak kira sama ada sebut harga adalah bagi perolehan daripada peruntukan belanja mengurus atau pembangunan. Adalah terpulang kepada Pegawai Pengawal semasa melantik Jawatankuasa Sebut Harga menetapkan had-had kuasa tertentu jika perlu.
8. Siapakah yang boleh menganggotai Jawatankuasa Penilaian Harga?
Keahlian jawatankuasa hendaklah tidak kurang daripada dua (2) orang, iaitu seorang pengerusi dan seorang ahli, di mana salah seorang daripadanya hendaklah terdiri daripada pegawai Kumpulan dan Profesional atau setaraf.
9. Apakah syarat-syarat untuk seseorang pembekal mengambil bahagian dalam urusan sebut harga yang dianggarkan bernilai RM90,000.00?
Pembekal hendaklah mempunyai sijil/perakuan pendaftaran dengan Kementerian Kewangan dalam bidang dan kod bidang yang berkaitan. Pembekal juga hendaklah mempunyai sijil taraf Bumiputera.
10. Apakah had nilai untuk sebut harga?
Sebut harga bagi bekalan, perkhidmatan dan kerja adalah tertakluk kepada had nilai seperti berikut:

i) Perolehan Bekalan /Perkhidmatan
(a) Had nilai umum sebut harga bagi perolehan bekalan/perkhidmatan adalah di antara RM50,000 hingga RM200,000
 
(b) Perolehan bekalan/perkhidmatan yang bernilai melebihi RM50,000 hingga RM100,000 hendaklah dipelawa di kalangan sekurang-kurangnya lima (5) pembekal/syarikat bertaraf Bumiputera yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan; dan
 
(c) Perolehan bekalan/perkhidmatan yang bernilai melebihi RM100,000 hingga RM500,000 hendaklah dipelawa daripada sekurang-kurangnya lima (5) pembekal/syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan dan terbuka kepada syarikat Bumiputera/Bukan Bumiputera.
ii) Perolehan Kerja-Kerja Kecil
(a) Bagi perolehan kerja-kerja kecil atau pembaikan yang tidak mengubah struktur asal yang dianggarkan bernilai melebihi RM20,000 hingga RM100,000 perolehan bolehlah dibuat berdasarkan Jadual Kadar Harga Kejuruteraan Awam. Pemilihan kontraktor hendaklah dibuat secara adil seperti undian atau pusingan atau sebut harga di kalangan kontraktor Gred G1 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan mempunyai Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) dan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) dengan gred, kategori dan pengkhususan yang berkaitan serta Sijil Taraf Bumiputera (STB) yang dikeluarkan oleh Pusat Khidmat Kontraktor (PKK);
 
(b) Bagi perolehan kerja-kerja kecil atau pembaikan yang tidak mengubah struktur asal dan yang tidak mempunyai Jadual Kadar Kejuruteraan Awam yang bernilai melebihi RM20,000 hingga RM500,000 Agensi hendaklah mempelawa sebut harga di kalangan kontraktor Gred G1 (sehingga RM200,000) dan Gred G2 (melebihi RM200,000 sehingga RM500,000) yang berdaftar Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan mempunyai Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) dan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) dengan gred, kategori dan pengkhususan yang berkaitan serta Sijil Taraf Bumiputera (STB) jika berkaitan; dan
 
(c) Bagi kerja-kerja bukan requisition yang bernilai melebihi RM20,000 hingga RM500,000 hendaklah dipelawa secara sebut harga di kalangan kontraktor Gred G1 (sehingga RM200,000) dan Gred G2 (melebihi RM200,000 sehingga RM500,000) yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan mempunyai Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) dan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) dengan gred, kategori dan pengkhususan yang berkaitan serta Sijil Taraf Bumiputera (STB) jika berkaitan. Agensi adalah dilarang memecah kecilkan perolehan bagi mengelakkan pelawaan sebut harga.
11. Apakah borang yang boleh digunakan untuk mempelawa sebut harga?
Sebut harga boleh dipelawa dengan menggunakan borang Lampiran Q kepada Arahan Perbendaharaan bagi bekalan dan perkhidmatan. Bagi kerja, borang/format JKR/JPS boleh digunakan. Borang-borang tersebut boleh diubahsuai mengikut keperluan Jabatan.
12. Siapakah yang layak menyertai urusan Sebut harga?
Kontraktor/pembekal yang layak menyertai urusan sebut harga adalah seperti berikut:
(a) Kerja
Bagi kerja sehingga RM200,000, kontraktor/syarikat yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di bawah Gred G1 dengan gred, kategori dan pengkhususan yang berkaitan dan mempunyai Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) dan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) serta Sijil Taraf Bumiputera (STB) yang dikeluarkan oleh Pusat Khidmat Kontraktor (PKK);

Bagi kerja melebihi RM200,000 hingga RM500,000, kontraktor/syarikat yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di bawah Gred G2 Gred G1 (sehingga RM200,000) dan Gred G2 (melebihi RM200,000 sehingga RM500,000) dan mempunyai Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) dan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK)
(b) Bekalan/Perkhidmatan
Bagi sebut harga melebihi RM50,000 hingga RM100,000, pembekal/syarikat yang bertaraf Bumiputera dan berdaftar dengan Kementerian Kewangan di bawah kod bidang berkaitan.

Bagi sebut harga melebihi RM100,000 hingga RM500,000, pembekal/syarikat (Bumiputera/Bukan Bumiputera) yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan di bawah kod bidang berkaitan
13. Berapakah bilangan minimum sebut harga yang perlu dipelawa?
Bagi urusan perolehan, sekurang-kurangnya lima (5) pembekal/kontraktor hendaklah dipelawa bagi setiap urusan sebut harga. (Bagi urusan pelupusan sekurang-kurangnya sepuluh sebut harga hendaklah dipelawa - rujuk SPP Bil, 2 Tahun 1997).
14. Bagaimanakah peti tawaran perlu disediakan?
Peti tawaran hendaklah disediakan dengan dilabelkan tajuk sebut harga, tarikh dan waktu peti tawaran ditutup. Peti tawaran hendaklah dikunci dengan dua kunci yang berasingan dan anak kuncinya hendaklah dipegang oleh dua orang pegawai kanan yang berasingan.
15. Bilakah peti tawaran perlu ditutup?
Peti tawaran hendaklah ditutup pada waktu yang ditetapkan (12.00 tengahari) dan dilakri pada tarikh tutup sebut harga.
16. Bilakah peti sebut harga perlu dibuka?
Peti sebut harga hendaklah dibuka dengan secepat mungkin selepas sebut harga ditutup. Ketua Jabatan ketika melantik Jawatankuasa Pembuka Sebut Harga secara bertulis hendaklah menetapkan tarikh dan waktu sebut harga perlu dibuka.
17. Siapakah yang boleh membuka peti sebut harga?
Sebut harga hendaklah dibuka oleh Jawatankuasa Pembuka Sebut Harga yang dilantik oleh Ketua Jabatan secara bertulis.
18. Siapakah yang boleh dilantik sebagai Jawatankuasa Pembuka Sebut Harga?
Jawatankuasa Pembuka Sebut Harga hendaklah terdiri daripada sekurang-kurangnya dua (2) pegawai yang mana seorang daripadanya hendaklah terdiri daripada Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
19. Apakah tugas-tugas Jawatankuasa Pembuka Sebut Harga?
Tugas-tugas Jawatankuasa Pembuka Sebut Harga adalah seperti berikut:
(i) Membuka peti tawaran pada tarikh dan waktu yang ditetapkan;
(ii) Memberi nombor kod untuk setiap dokumen tawaran sebut harga;
(iii) Menandatangani ringkas pada lembaran yang menyatakan harga dan pada apa-apa pindaan tulisan atau taipan bertindih dalam tawaran sebut harga;
(iv) Merekod pada borang Jadual Sebut Harga dengan mencatatkan nama penyebut harga, kod penyebut harga, harga yang ditawarkan, tempoh siap/tempoh penyerahan dan menandatangani borang tersebut:
(v) Memastikan bahawa tawaran harga dan tawaran teknikal telah dikemukakan dalam dua (2) sampul surat yang berasingan dan berlakri bagi sebut harga bekalan dan perkhidmatan. Bagi sebut harga kerja memadai tawaran dikemukakan dalam satu (1) sampul surat berlakri sahaja;
(vi) Mengesahkan penyebut harga telah mengemukakan semua dokumen yang diperlukan seperti dalam Senarai Semakan; dan
(vii) Jawatankuasa Pembuka Sebut Harga juga boleh mencatatkan di Jadual Sebut Harga jika penyebut harga tidak mematuhi syarat-syarat sebut harga seperti menawarkan tawaran alternatif, mencatat tanda pengenalan syarikat pada dokumen teknikal dan sebagainya.
 

Penutupan peti sebut harga pada waktu yang ditetapkan bukan merupakan tugas Jawatankuasa Pembuka Sebut Harga. Ia adalah sebahagian daripada tugas Urusetia Sebut Harga.

20. Bolehkah sebut harga yang diterima lewat dibuka/dipertimbangkan?
Sebut harga yang diterima lewat selepas tarikh dan waktu tutup tidak boleh diterima/dibuka atau dipertimbangkan.
21. Siapakah yang boleh mempertimbangkan/membuat keputusan mengenai sesuatu sebut harga?
Semua keputusan sebut harga hendaklah diputuskan oleh Jawatankuasa Sebut Harga yang dianggotai oleh tiga (3) orang ahli yang dilantik oleh Pegawai Pengawal. Jawatankuasa tersebut hendaklah dipengerusikan oleh Pemegang Waran Peruntukan atau mana-mana pegawai yang dilantik oleh Pegawai Pengawal.
22. Bolehkah Jawatankuasa Sebut Harga membuat keputusan secara edaran tanpa bermesyuarat?
Tidak boleh. Jawatankuasa Sebut Harga hendaklah bersidang. Perbincangan dan keputusan Jawatankuasa Sebut Harga hendaklah dicatatkan dalam minit dan ditandatangani oleh Pengerusi dan ahli Jawatankuasa Sebut Harga. Asas-asas pemilihan tawaran yang dipilih hendaklah dicatatkan dengan jelas. Semua keputusan Jawatankuasa Sebut Harga hendaklah sebulat suara.
23. Apakah tindakan yang perlu diambil jika keputusan Jawatankuasa Sebut Harga tidak sebulat suara?
Keputusan Jawatankuasa Sebut Harga yang tidak sebulat suara hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Perolehan agensi berkenaan untuk diputuskan.
24. Jika semua sebut harga yang diterima melebihi nilai RM500 ribu, bolehkah Jawatankuasa Sebut Harga menimbang dan membuat keputusan?
Dalam keadaan di mana tawaran yang dibuat melalui urusan sebut harga melebihi nilai RM500 ribu, Jawatankuasa Sebut Harga hendaklah membuat perakuan dan mengemukakan sebut harga berkenaan untuk pertimbangan dan disetuju terima oleh Lembaga Perolehan Agensi berkenaan.
25. Bolehkah salah seorang ahli Jawatankuasa Sebut Harga terdiri daripada seorang yang bukan pegawai Kerajaan?
Pengerusi dan semua ahli Jawatankuasa Sebut Harga hendaklah terdiri daripada pegawai-pegawai Kerajaan yang tertakluk kepada Arahan-Arahan Perbendaharaan, Pekeliling Perbendaharaan, Surat-Surat Pekeliling Perbendaharaan dan Perintah-Perintah Am.
26. Berapakah bilangan minimum pembekal/kontraktor yang perlu dipelawa untuk sesuatu urusan sebut harga?
5 pembekal/kontraktor
27. Apakah tempoh untuk penilaian sebut harga?
Proses penilaian sebut harga hendaklah dilaksanakan seboleh-bolehnya tidak melebihi tempoh empat belas (14) dari tarikh tawaran sebut harga dikemukakan kepada Jawatankuasa Penilaian.
28. Bolehkah tempoh sah laku sebut harga dilanjutkan?
Tempoh sah laku sebut harga tidak boleh dilanjutkan. Jika tempoh sah laku tawaran telah tamat atau keputusan tidak dibuat dalam tempoh sah laku tawaran, sebut harga hendaklah dipelawa semula.
29. Bolehkah kontrak yang diuruskan melalui sebut harga bernilai kurang daripada RM200,000.00 dilanjutkan?
Tidak boleh, hanya kontrak yang bernilai melebihi RM200,000.00 boleh dilanjutkan.
Terakhir Dikemaskini Jumaat, 28 Disember 2012 13:02
 

Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox 3.6 dan Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1024x768.
Anda memerlukan perisian Adobe Flash Player   dan Adobe Acrobat Reader untuk paparan sesetengah aplikasi di portal ini.
Hak Cipta © 2011, MOF. Hakcipta Terpelihara
Dibangun dan disenggarakan oleh Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Perbendaharaan Malaysia.


logo