Skim Ex-Gratia Bencana Kerja


1.


Apakah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja Bagi Anggota Perkhidmatan Awam?
Skim Ex-Gratia Bencana Kerja adalah skim yang memberi pampasan kepada Anggota Perkhidmatan Awam yang ditimpa bencana kerja semasa menjalankan tugas rasmi hingga menyebabkan hilang upaya kekal atau kematian termasuk yang teraniaya disebabkan perbuatan balas dendam akibat daripada tindakan semasa menjalankan tugas rasmi.

2.


Apakah tujuan skim ini diwujudkan?
Skim diwujudkan bertujuan menjaga kebajikan Anggota Perkhidmatan Awam dan orang tanggungan sekiranya terjadi sesuatu bencana semasa pegawai melaksanakan tugas rasmi memandangkan Anggota Perkhidmatan Awam dikecualikan daripada mencarum kepada skim yang ditubuhkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969.

3.


Apakah yang dimaksudkan dengan Bencana Kerja?
Bencana Kerja adalah bencana yang dialami oleh seseorang pegawai yang disebabkan oleh kemalangan semasa menjalankan tugas rasmi atau suatu penyakit khidmat.

4.


Apakah yang dimaksudkan dengan tugas rasmi?
Tugas yang berkaitan dengan jawatan pegawai dan termasuk menghadiri kursus yang dibenarkan oleh Ketua Jabatan.

5.


Apakah yang dimaksudkan dengan tempat bertugas?

Tempat bertugas bermaksud mana-mana tempat yang diarahkan oleh Ketua Jabatan untuk menjalankan tugas rasmi.


6.


Apakah pegawai dilindungi sepanjang masa oleh Skim Ex-Gratia Bencana Kerja?

Tidak. Pegawai dilindungi dalam tempoh masa berikut:-

  1. semasa dalam perjalanan pergi dan balik bertugas dari rumah ke tempat bertugas;
  2. semasa perjalanan pergi dan balik dari tempat bertugas ke tempat kediaman pada waktu makan yang diluluskan; dan
  3. sepanjang masa semasa bertugas rasmi.

7.

Semasa menjalankan tugas rasmi di luar pejabat, adakah pegawai diliputi oleh skim ini sepanjang masa?

Skim ini meliputi pegawai sepanjang masa menjalankan tugas rasmi selagi aktiviti yang dijalankan semasa bencana berlaku adalah berkaitan dengan tugas rasmi dan bukannya urusan peribadi.


8.


Bilakah skim ini mula berkuat kuasa?

Skim ini berkuat kuasa mulai 20 Oktober 1994 melalui Pekeliling Perbendaharaan Bil. 13 Tahun 1994 dan penambahbaikan melalui Pekeliling Perbendaharaan Bil. 7 Tahun 2001 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2001.


9.


Siapakah yang diliputi di bawah skim ini?

Semua anggota lantikan tetap, kontrak (contract of service) dan sementara Perkhidmatan Awam Persekutuan.


10.


Adakah pegawai kontrak bukan warganegara juga turut dilindungi di bawah skim ini?

Tidak, kerana skim ini hanyalah bagi warganegara Malaysia sahaja.  Pegawai kontrak bukan warganegara tertakluk kepada syarat-syarat perjanjian kontrak masing-masing.


11.


Apakah faedah pampasan yang disediakan di bawah skim ini?

Bayaran Ex-Gratia Pukal, Ex-Gratia Bulanan, Elaun Layanan Sentiasa dan Ex-Gratia Orang Tangungan Bulanan.


12.

 


Apakah yang dimaksudkan dengan Ex-Gratia Pukal?

Ex-Gratia Pukal adalah bayaran sekali gus.


13.


Adakah anggota Perkhidmatan Awam Lantikan Negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan diliputi di bawah skim ini?

Anggota Perkhidmatan Awam lantikan Perkhidmatan Negeri, Badan Berkanun Persekutuan/Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan diliputi oleh Skim ini dengan syarat skim ini diterima pakai oleh pihak berkuasa masing-masing.


14.


Bagaimana Perkhidmatan Awam Negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan menerima pakai skim ini?

Dengan mengemukakan kepada Pihak Berkuasa/Lembaga Pengarah masing-masing.


15.


Bolehkah Panel Perubatan ditubuhkan di hospital/klinik swasta?

Tidak, Panel Perubatan hendaklah ditubuhkan di hospital Kerajaan.


16.


Perlukah pegawai Kerajaan mencarum kepada skim ini?

Tidak perlu.


17.


Sekiranya pegawai mempunyai lebih dari seorang isteri, adakah perjalanan lazim mengambil kira perjalanan dari rumah isteri-isterinya?

Ya. Dengan syarat perkahwinan tersebut didaftarkan.


18.


Adakah pegawai yang telah diberi kebenaran untuk pulang awal ke rumahnya dari waktu bertugas biasa menemui kemalangan diliputi di bawah skim ini?

Ya.


19.


Sekiranya pegawai mendapat kebenaran keluar pejabat atas urusan peribadi dan mendapat kemalangan dalam perjalanan, adakah beliau dilindungi oleh Skim?

Tidak.


20.


Adakah pegawai yang mengalami kemalangan jalan raya dalam perjalanan dari tempat bukan rumahnya ke tempat bertugas layak mendapat bayaran di bawah skim ini?

Pegawai tidak layak mendapat bayaran di bawah skim ini kerana perjalanan hendaklah bermula dari rumahnya sendiri dan tidak dari lain-lain tempat.


21.


Apakah syarat yang melayakkan seseorang pegawai membuat tuntutan?

Syarat yang melayakkan seseorang pegawai mengemukakan tuntutan ialah apabila ia mendapat kecederaan ke tahap hilang upaya kekal atau kematian semasa menjalankan tugas rasmi.


22.


Bagaimanakah pegawai membuat tuntutan?

Pegawai atau waris hendaklah mengisi Bahagian ‘A’ iaitu borang BTX. Borang ini boleh diperolehi melalui laman web Perbendaharaan (www.treasury.gov.my) di dalam Panduan Skim Bayaran Ex-Gratia Bagi Anggota Perkhidmatan Awam di bawah Pekeliling Perbendaharaan Bil. 7 Tahun 2001. Borang yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada Ketua Jabatan.


23.


Apakah tindakan yang perlu diambil oleh Ketua Jabatan setelah menerima permohonan?

Ketua Jabatan hendaklah menyiasat dan menyediakan laporan mengenai bencana tersebut serta mengisi Bahagian ‘B’ borang permohonan. Seterusnya kemukakan borang tersebut beserta dokumen-dokumen yang diperlukan ke Kementerian masing-masing.


24.


Apakah dokumen-dokumen yang perlu disertakan oleh Ketua Jabatan?

Salinan senarai tugas, arahan bertugas, kad perakam waktu/daftar bertugas, lakaran kasar laluan yang menunjukkan tempat kemalangan jalan raya (bagi kes kemalangan jalan raya), laporan polis, laporan penyiasatan polis, salinan kenyataan perkhidmatan pegawai dan dokumen lain yang berkaitan. Kesemua salinan hendaklah disahkan sebagai salinan yang benar.


25.


Adakah pegawai layak menuntut sekiranya kemalangan berlaku di rumah?

Tidak.  Kemalangan di rumah tiada kaitan dengan tugas rasmi.


26.


Adakah pegawai yang mengalami kemalangan jalan raya dalam perjalanan dari rumah ke tempat bertugas tetapi menggunakan jalan di luar perjalanan lazim layak mendapat bayaran di bawah skim ini?

Perjalanan dari rumah ke tempat bertugas dan sebaliknya mestilah melalui laluan lazim dengan tiada apa-apa lencongan ataupun pemberhentian yang bersifat peribadi.  Walau bagaimanapun, jika terdapat lebih daripada satu laluan lazim, ia boleh dipertimbangkan tertakluk kepada syarat jarak perjalanan yang munasabah dari rumah ke tempat bertugas dan sebaliknya


27.


Adakah pegawai layak menuntut sekiranya kemalangan berlaku di luar waktu pejabat dan beliau tidak menjalankan tugas rasmi pada waktu itu?

Pegawai tidak layak membuat tuntutan sekiranya kemalangan berlaku di luar waktu pejabat dan pegawai tidak melakukan tugas rasmi.


28.


Apakah yang dimaksudkan dengan gaji?

Gaji di bawah skim ini bermaksud gaji pokok yang layak diterima oleh pegawai pada masa kejadian.


29.


Apakah elaun-elaun yang diambil kira untuk menghitung bayaran?

Imbuhan Tetap Khidmat Awam, Imbuhan Tetap Keraian dan Imbuhan Tetap Perumahan.


30.


Apakah tanggungjawab seorang penerima bayaran di bawah skim ini?

Penerima bayaran hendaklah memaklumkan kepada Perbendaharaan ataupun Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam sekiranya hilang kelayakan atau sebarang perubahan dan pertukaran alamat.


31.


Bilakah tarikh bayaran berkuatkuasa?

Bayaran berkuat kuasa sehari selepas kematian bagi kes kematian. Bagi kes hilang upaya kekal, bayaran berkuatkuasa pada hari pegawai ditimpa bencana.


32.


Adakah pegawai atau waris yang menerima faedah persaraan di bawah Undang-undang Pencen layak menerima bayaran di bawah skim ini?

Ya. Skim ini adalah kemudahan yang berasingan daripada faedah persaraan di bawah undang-undang pencen.


33.


Siapakah yang boleh dihubungi untuk mendapatkan penjelasan/maklumat tambahan berhubung skim ini?

Pegawai di Seksyen Dasar Saraan, Bahagian Dasar Saraan, Wang Awam dan Khidmat Pengurusan, Kementerian Kewangan.

 

Alamat:

 

Aras 4, Blok Tengah, Kompleks Kementerian Kewangan, Presint 2,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62592 PUTRAJAYA.

Tel: 03-8882 3108/3366/4394,
Faks: 03- 88824135

 

 

SOALAN-SOALAN BERKAITAN HILANG UPAYA KEKAL


34.


Apakah yang dimaksudkan dengan hilang upaya kekal?

Sebarang hilang upaya yang berkekalan hingga menghilangkan atau mengurangkan upaya seseorang pekerja menjalankan kerja atau aktiviti harian yang beliau boleh jalankan sebelum kemalangan yang mengakibatkan hilang upaya itu.


35.


Apakah faedah yang layak diperolehi oleh pegawai yang mengalami Hilang Upaya Kekal (HUK) ?

Bergantung kepada tahap HUK, pegawai layak mendapat  bayaran Ex-Gratia Pukal, Ex-Gratia Bulanan dan Elaun Layanan Sentiasa.


36.


Adakah pegawai layak membuat tuntutan sekiranya hilang upaya yang dialami tidak kekal?

Pegawai yang mengalami hilang upaya sementara tidak layak membuat tuntutan kerana tidak melibatkan kehilangan anggota badan/penggunaan anggota tersebut.


37.


Sekiranya berlaku hilang upaya kekal kepada beberapa anggota badan. Adakah pegawai layak menuntut bayaran Ex-Gratia berdasarkan peratusan tahap hilang upaya kekal bagi kedua-dua kecederaan itu?

Pegawai layak menuntut bayaran berdasarkan peratusan tahap hilang upaya kekal bagi kedua-dua kecederaan tertakluk kepada maksimum hilang upaya kekal 100% sahaja.


38.


Adakah pegawai yang sedang menerima bayaran untuk sesuatu tahap hilang upaya kekal layak mendapat bayaran tambahan sekiranya tahap hilang upaya kekal tersebut meningkat?

Tidak layak. Penetapan kadar bayaran hanya berdasarkan tahap hilang upaya kekal semasa pegawai ditimpa bencana.


39.


Apakah faedah yang disediakan di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja kepada  pegawai yang mengalami hilang upaya kekal tidak melebihi 20%?

Bayaran pampasan Ex-Gratia Pukal sahaja.


40.


Apakah yang dimaksudkan dengan Ex-Gratia Bulanan?

Ex-Gratia Bulanan adalah bayaran secara bulanan.


41.


Apakah yang melayakkan pegawai mendapat Ex-Gratia Bulanan?

Pegawai layak mendapat Ex-Gratia Bulanan sekiranya mengalami hilang upaya kekal melebihi 20%.


42.


Adakah bayaran dihentikan sekiranya seseorang kakitangan yang sedang menerima bayaran bulanan di bawah skim ini meletak jawatan?

Tidak. Bayaran bulanan di bawah skim ini akan diteruskan sepanjang hayat pegawai.


43.


Sekiranya pegawai yang sedang menerima bayaran Ex-Gratia Bulanan meninggal dunia, adakah bayaran diteruskan kepada warisnya?

Tidak.


44.


Apakah yang dimaksudkan dengan Elaun Layanan Sentiasa?

Bayaran secara bulanan kepada pegawai yang mengalami 100% hilang upaya kekal dan sentiasa memerukan layanan tersendiri daripada orang lain.

 

 

SOALAN-SOALAN BERKAITAN KEMATIAN

45.

Apakah faedah yang disediakan di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja kepada waris pegawai yang meninggal dunia?

Bayaran Ex-Gratia Orang Tanggungan Bulanan.


46.


Apakah yang dimaksudkan dengan Ex-Gratia Orang Tanggungan Bulanan?

Bayaran secara bulanan yang dibayar kepada orang tanggungan bagi pegawai yang meninggal dunia akibat  bencana kerja.


47.


Siapakan orang tanggungan yang ditakrifkan dalam Skim ini?

Bagi pegawai berkeluarga orang tanggungan adalah isteri/suami dan anak-anak manakala bagi pegawai bujang orang tanggungan merupakan ibu dan bapa pegawai.


48.


Apakah dokumen-dokumen yang perlu disertakan semasa waris mengemukakan tuntutan bagi kes kematian pegawai?

Laporan polis, salinan sijil kematian, salinan sijil lahir pegawai, salinan kad pengenalan balu/duda/anak/ibu bapa (mengikut mana yang berkenaan), salinan sijil lahir anak, salinan sijil nikah dan salinan dokumen pengajian untuk anak yang berumur 21 tahun ke atas.


49.


Adakah waris layak membuat tuntutan sekiranya pegawai mengalami bencana dan dianggap mati tetapi mayatnya tidak dijumpai?

Waris layak membuat tuntutan tetapi bayaran akan hanya dilakukan selepas dari tarikh bencana selepas mahkamah mengeluarkan perintah dan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan sijil kematian.  Walau bagaimanapun, bayaran berkuat kuasa dari tarikh bencana.


50.


Bagaimanakah pembahagian bayaran kepada orang tanggungan?

Balu menerima 3/5 dan anak 2/5 daripada kelayakan.  Jika tiada balu/duda, anak akan menerima 3/5.  Sekiranya pegawai bujang, ibu/bapa akan menerima 2/5.


51.


Berapa lamakah balu akan menerima bayaran di bawah skim ini?

Balu akan menerima bayaran sepanjang hayat atau sehingga berkahwin semula mana yang terdahulu.


52.


Mengapakah bayaran untuk balu diberhentikan sekiranya berkahwin  semula?

Balu menerima bayaran di bawah skim ini sebagai orang tanggungan kepada pegawai.  Sekiranya balu tersebut telah berkahwin semula, maka beliau bukan lagi orang tanggungan pegawai berkenaan.  Oleh itu, beliau tidak layak menerima bayaran orang tanggungan.


53.


Bagaimanakah pembahagian bayaran sekiranya terdapat lebih dari seorang balu?

Bahagian untuk balu dibahagi sama rata kepada balu-balu yang layak.


54.


Bagaimanakah sekiranya salah seorang balu berkahwin semula?

Balu yang berkahwin semula akan hilang kelayakan dan pembahagian tidak diagihkan semula. Balu yang masih layak terus mendapat bahagiannya yang sedia ada.


55.


Apakah yang dimaksudkan dengan duda yang dikatakan sebagai orang tanggungan pegawai?

Duda yang bergantung sepenuhnya atau sebahagian besar kepada pendapatan isteri.


56.


Bagaimana seseorang duda disahkan bergantung kepada pendapatan isteri?

Pengesahan dibuat berdasarkan penyiasatan dan laporan Ketua Jabatan ke atas pendapatan dan perbelanjaan seisi rumah pegawai yang meninggal dunia. Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuat lawatan (home visit) dan mengesahkan maklumat Ketua Jabatan.


57.


Apakah yang dimaksudkan dengan anak?

Anak kandung, anak tiri yang disara dan tinggal bersama pegawai semasa bencana, anak tak sah taraf, anak angkat di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan anak posthumous (anak yang dilahirkan selepas pegawai meninggal dunia dengan syarat anak dikandung semasa pegawai masih hidup dan lahir dalam tempoh 280 hari kandungan biasa).


58.


Berapa lamakah anak yang layak akan menerima bayaran dibawah skim ini?

Anak layak menerima bayaran di bawah skim ini sehingga  berumur 21 tahun atau berkahwin mengikut mana yang lebih awal.  Sekiranya masih belajar di pusat pengajian tinggi, bayaran akan diteruskan sehingga mendapat ijazah pertama atau berkahwin mengikut mana yang lebih awal. Bagi anak yang terencat akal atau cacat anggota dan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, bayaran akan diteruskan selama anak itu tidak berupaya menyara kehidupannya.


59.


Adakah anak kandung yang telah diserahkan hak penjagaannya kepada orang lain layak menerima faedah skim?

Tidak. Hanya anak dibawah tanggungan pegawai sahaja yang layak menerima faedah skim.


60.


Adakah anak yang telah mencapai umur 21 tahun dan telah ditamatkan bayaran dan kemudian mengalami kecacatan akal/anggota layak menerima semula bayaran?

Tidak. Anak tersebut telah melebihi umur kelayakan dan kecacatan yang dialami berlaku selepas kematian pegawai.


61.


Bagaimanakah pembahagian bayaran kepada anak-anak pegawai?

Bahagian anak dibahagikan sama rata kepada semua anak yang layak.


62.


Bagaimanakah sekiranya salah seorang anak hilang kelayakan?

Pembahagian anak tidak diagihkan semula dan anak-anak yang masih layak terus mendapat bahagiannya yang asal.


63.


Apakah yang dimaksudkan dengan ibu bapa?

Ibu bapa kandung, ibu bapa tiri atau ibu bapa angkat yang pertalian kekeluargaan adalah sah disisi undang-undang.


64.


Bagaimanakah pembahagian bayaran kepada ibu dan bapa pegawai bujang?

Sekiranya kedua-dua ibu dan bapa masih hidup semasa kematian pegawai, pembayaran dibahagi sama rata. Jika salah seorang sahaja masih hidup, pembayaran masih atas kadar 2/5 daripada kelayakan sebenar pegawai .


65.


Bagaimanakah sekiranya ibu bapa yang sedang menerima bayaran meninggal dunia?

Pembahagian tidak diagihkan semula dan ibu atau bapa yang masih hidup akan terus menerima bahagiannya sahaja.

 

 

SOALAN-SOALAN BERKAITAN PENYAKIT KHIDMAT


66.


Apakah yang dimaksudkan dengan Penyakit Khidmat?

Penyakit yang terbit daripada atau dalam masa pekerjaan seseorang pegawai seperti yang disenaraikan di Lampiran ‘C’ Pekeliling Perbendaharaan Bil. 7 Tahun 2001.


67.


Adakah penyakit yang dihidapi oleh pegawai akibat pekerjaannya yang hanya dapat dikesan selepas pegawai berhenti kerja, layak membuat tuntutan dibawah Penyakit Khidmat?

Ya, jika penyakit itu berkaitan dengan pekerjaan pegawai dan pegawai itu telah mendapat penyakit itu dalam tempoh enam puluh bulan selepas berhenti kerja.


68.


Adakah kematian yang disebabkan oleh penyakit yang dihidapi layak menuntut bayaran di bawah skim ini?

Tidak. Kematian yang berpunca dari penyakit yang dihidapi seperti penyakit jantung, lelah dan lain-lain tidak diliputi di bawah skim ini. Begitu juga bunuh diri dan perbuatan cuba membunuh diri.