Ucaptama Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam Kali Ke-4 Y.B Dato’ Seri Hj. Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan II Malaysia, Hotel Nikko Kuala Lumpur
UCAPTAMA MUZAKARAH PENASIHAT SYARIAH KEWANGAN ISLAM KALI KE-4 Y.B DATO’ SERI HJ. AHMAD HUSNI HANADZLAH, MENTERI KEWANGAN II MALAYSIA, 2 NOVEMBER 2009 (ISNIN) HOTEL NIKKO KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Waramatullahi Wabarakatuh
YBhg En Abdul Aziz Abd Jalal – Pengarah, 6th Kuala Lumpur Islamic Finance Forum (KLIFF 2009)
YBhg Dr Mohd Daud Bakar – Pengerusi, Muzakarah Penasihat Shariah Kewangan Islam KLIFF Kali Ke 4
YBhg Dato’ Seri Jamil Bidin – Ketua Pegawai Eksekutif, Halal Development Corporation (HDC)
YM Tengku Dato’ Hasmuddin Tengku Othman – Penasihat, Muzakarah Penasihat Shariah Kewangan Islam KLIFF Kali Ke 4
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kuala Lumpur Islamic Finance Forum (KLIFF) kerana sudi menjemput saya pada hari ini. Saya bersyukur, Alhamdulillah, kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya kita berkumpul di Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam yang Ke 4 ini.
Tuan-tuan dan puan-puan
Industri kewangan Islam di negara ini telah membangun dengan pesatnya. Sejak lima tahun yang lalu, sektor perbankan Islam di Malaysia telah mencatat pertumbuhan dua angka dengan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 20% dari segi aset. Pada suku kedua tahun 2009, bahagian aset perbankan Islam daripada jumlah aset sektor perbankan keseluruhan telah berkembang hingga mencapai 18.9% berbanding hanya 10.5% pada tahun 2004. Industri takaful juga mencatat prestasi yang membanggakan dengan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 25.1% dari segi caruman dalam tempoh yang sama. Jumlah caruman industri takaful juga mencatatkan penguasaan yang lebih besar dalam keseluruhan sektor insurans hingga mencapai 9.25% pada suku tahun kedua 2009. Malaysia juga kekal sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia dengan mencakupi 62% daripada seluruh terbitan sukuk global . Sesungguhnya, pasaran modal, takaful dan perbankan Islam kita adalah antara yang termaju di dunia.
Baru-baru ini saya berada di Istanbul, Turki, bersempena Persidangan Tabung Kewangan Antarabangsa/Bank Dunia. Semasa di sana, salah satu dari institutsi kewangan terbesar di Turki telah menyatakan hasrat mereka untuk mengadakan hubungan kerjasama dengan bank kewangan Islam dari negara kita. Walaupun pada suatu masa dulu Turki adalah satu-satunya negara tamaddun Islam yang bertaraf kuasa dunia, sekarang mereka memerlukan kerjasama dari kita untuk melaksanakan sistem kewangan Islam.
Sesungguhnya, kepakaran kita di iktirafi di peringkat antarabangsa. Adalah jelas juga kewangan Islam sekarang tertera, terpahat didalam penjenamaan kita sebagai sebuah negara. Penampilan negara ini sebagai negara yang terulung di dalam bidang kewangan Islam seharusnya di ambil peluang dengan sepenuhnya oleh institusi-instiusi kewangan Malaysia untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara.
Cara paling baik untuk institusi-institusi kewangan Malaysia mengembangkan sayap ke luar negara adalah dengan mendirikan perniagaan usaha-sama. Dengan cara ini, tanggungan risiko dapat dikurangkan tetapi pulangan dari segi pengenalan jenama dan maklumat pasaran (market intelligence) dapat diperolehi. Sebagai sesebuah institusi yang memileki kelebihan langkah pertama (first mover advantage), institusi-institusi kewangan Malaysia dapat meraut pasaran yang sebelumnya tidak dipenuhi.
Tuan-tuan dan puan-puan
Di dalam usaha kita mengembelingkan perhatian dan tumpuan kita untuk meningkat ke tahap antarabangsa, institutsi-institusi kewangan harus membina kapasiti mereka. Perancangan yang strategik adalah diperlukan, dari membina jenama yang kukuh, menaikkan kemahiran teknikal dan ICT dan penting sekali, membina tenaga bakat modal insan yang sasa. Adalah kritikal juga untuk ahli-ahli perbankan kewangan Islam melabur didalam kajian dan pembangunan (research and development) untuk melahirkan produk-produk baru yang berinovasi dan bernilai tambah tinggi.
Tuan-tuan dan puan-puan ahli-ahli majlis penasihat syariah sekalian,
Peranan tuan-tuan dan puan-puan adalah amat penting dan kritikal. Dibahu tuan-tuan dan puan-puanlah letaknya kemajuan, rentak nada perkembangan kewangan Islam. Sesungguhnya, saya bangga dengan penguasaan ilmu oleh para ulama dan cendekiawan Islam pada hari ini, mampu memenuhi permintaan dunia dan suasana semasa kerana sesungguhnya Islam adalah rahmat bagi seluruh alam dan sepanjang masa.
Di dalam usaha kita mengantarabangsakan industri kewangan Islam, dan dengan hadirnya penyertaan serta penglibatan para cendiakawan Islam luar negara dalam institusi-institusi kewangan Islam tempatan, lahirlah kepelbagaian corak pandangan dalam perlaksanaan kewangan Islam di negara ini. Saya yakin dengan adanya pertukaran pandangan dan perdebatan yang membina, maka sumbangan nasihat para ahli-ahli penasihat yang berteraskan pengetahuan ekonomi, kewangan dan perundangan yang kukuh dan mengabungkan kefahaman Syariah yang menyeluruh akan terus memacu inovasi dan meningkatkan prestasi dan daya saing industri kewangan Islam negara ini ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
Tuan-tuan dan puan-puan
Dalam merencanakan perancangan masa depan, kita juga harus mempelajari dari pengalaman lalu. Malaysia merupakan negara yang pertama memulakan industri halal di dalam konteks rangkaian nilai perindustrian moden. Kerajaan telah menyediakan insentif dan galakan yang pelbagai untuk menyemarakkan pembangunan industri halal. Malang sekali momentum awal itu hilang dan sekarang kita mendapati negara-negara jiran sudah bergiat memasuki pasaran halal antarabangsa dengan agresifnya. Kita melepaskan kelebihan langkah pertama kita.
Untuk mengembalikan momentum ke industri halal kita, Kerajaan telah mengstrukturkan semula Halal Development Corporation (HDC). Dibawah naungan Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa, HDC boleh mengambil kesempatan untuk mengunakan rangkaian pejabat-pejabat promosi MIDA dan MATRADE yang berjumlah lebih dari lima puluh lima buah diseluruh dunia.
Begitulah juga dengan industri kewangan Islam dinegara ini. Adalah harapan saya kelebihan langkah pertama kita jangan hilang begitu sahaja. Sebagaimana sedia maklum, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia telah pun membina prasana yang kukuh untuk membangunkan industri kewangan Islam, baik dari segi perundangan mahupun mendirikan institusi-institusi dan inisiatif-inisiatif sokongan.
Komitmen Kerajaan untuk membangunkan industri kewangan adalah berterusan. Dalam Bajet 2010, Kerajaan telah mencadangkan untuk melanjutkan galakan cukai yang sedia ada sehingga tahun 2015 manakala skop galakan tersebut diperluaskan lagi. Ini bertujuan untuk memperkasakan lagi struktur dan perkembangan industri kewangan Islam.
Sungguhpun begitu, peranan pihak awam di dalam ekonomi Negara adalah seharusnya terhad. Tanggungjawab Kerajaan dalam menyediakan suasana dan rangka struktur yang kondusif sebagai pemakin industri kewangan Islam sudah terserlah. Disini saya menyaran institusi-institusi kewangan supaya mengambil penuh kesempatan dan galakan yang sedia ada supaya kedudukan kita sebagai hub kewangan Islam bertaraf antarabangsa akan terus kekal lagi lestari.
Tuan-tuan dan puan-puan
Kita sekarang berada di peringkat masa yang amat menarik dan mencabar. Dengan melandanya krisis ekonomi global setahun lalu, jalan perkembangan kewangan Islam nampaknya terbuka luas. Sejak bermulanya pergerakan pembangunan kewangan Islam di dalam konteks sejarah ekonomi dunia pasca Perang Dunia Kedua, tidak pernah terluang sebegitu luas peluang untuk kewangan Islam mengembang di persada dunia.
Bergoncangnya sistem kewangan antarabangsa baru-baru ini kerana terdapatnya produk-produk yang berasaskan kiraan model-model matematik yang hasilnya tidak berbeza dari balingan beberapa buah dadu. Pengiraannya tidak berasaskan secara lansung aktiviti di alam ekonomi maya. Dari pergolakan di pusat-pusat kewangan antarabangsa ini, timbullah pula perdebatan hangat sama ada pertaruhan yang bernilai berbilion dolar ini membawa kebaikan ekonomi dan sosial (economic and social good) kepada masyarakat dan komuniti seluruhnya.
Saya yakin bahawa pergolakan kewangan sistem konvensional ini adalah takdir susunan Allah SWT jua. Dengan adanya rasa gusar dan kurang keberkeyakinan terhadap sistem konvensional itu sendiri memberi peluang untuk sistem kewangan Islam memposisikan diri untuk mengambil peranan yang lebih penting di dalam arkitektur kewangan global.
Tuan-tuan dan puan-puan
Nilai-nilai tunggak tiang kewangan Islam universal di dalam aplikasinya. Nilai-nilai murni ini sejagat. Tiada ugama utama dunia menyeru para penganutnya membuat perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan yang fundamental. Sistem kewangan Islam adalah murni dan boleh dipakai terima secara global jika kita dapat meyakinkan dunia bahawa sistem kewangan tanpa riba ini merangkumi prinsip-prinsip utama yang membawa kepada kekukuhan dan kemantapan keseluruhan sistem kewangan itu sendiri. Penekanan kewangan Islam di dalam mewajibkan setiap transaksi itu adalah adil dan saksama kepada setiap pemegang hak yang berkaitan dengan transaksi itu adalah tidak jauh, malah selari dengan arus nilai-nilai korporat barat yang melaungkan program-program tadbiran korporat dan tanggung jawab sosial mereka.
Ruang kesempatan ini hanya terbuka untuk tempuh waktu yang terhad. Peralihan arus-arus dinamik global adalah pantas. Masa tidak menunggu kita. Saya menyeru institusi-institusi kewangan Islam menampilkan diri kehadapan melaksanakan perkembangan industri kewangan Islam dengan memperluaskannya merentasi ras agama dan kebudayaan, menjadikan kewangan Islam unggul dan terulung dipasaran dunia.
Tuan-tuan dan puan-puan
Sekali lagi saya ingin menyatakan betapa pentingya peranan ahli-ahli penasihat syariah di dalam usaha mertabatkan taraf industri kewangan Islam kita ke peringkat dunia. Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan tidak boleh di ukur dengan kayu sedepa. Peranan tuan-tuan dan puan-puan dalam membuahkan pandangan luas yang lahir dari pengetahuan serba bidang adalah penting.
Saya yakin dengan himpunan minda pada hari ini maka akan kukuhlah lagi semangat dan kemampuan kita untuk bukan sahaja melangkah setapak kehadapan tetapi meraut perjalanan yang diberkati Yang Maha Esa, membina tamaddun Islam untuk abad yang kedua puluh satu, untuk kebaikan dan kemakmuran manusia sejagat.
Maka ini, dengan lafaz Bismmil-Laahir-Rahmaanir-Raheem dan di iringi dengan doa semoga persidangan ini diberkati Allah SWT, saya dengan resminya membuka Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam yang Kali Ke 4.
Penafian:- Kerajaan Malaysia dan Kementerian Kewangan adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini. Syarikat-syarikat yang dirujuk dalam laman web ini tidak boleh dianggap sebagai agen ataupun syarikat yang disyorkan oleh Kementerian Kewangan.