Jenis dan Cara Perolehan Kerajaan

  • Pembelian Terus

    Pembelian setiap jenis item yang melibatkan jumlah perbelanjaan tahunan sehingga RM50 ribu boleh dibuat secara pembelian terus dengan mana-mana pembekal yang berdaftar atau tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan sama ada bertaraf Bumiputera atau bukan Bumiputera.

    Agensi hendaklah membuat kajian pasaran dan tidak tertumpu kepada pembekal tertentu selaras dengan prinsip-prinsip perolehan.

    Agensi hendaklah memastikan bahawa pembekal yang dipilih bagi bidang khusus mempunyai lesen/permit yang sah atau keperluan lain yang disyaratkan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

  • Lantikan Terus

    Bagi kerja yang tidak melebihi RM20 ribu, agensi dibenarkan melantik terus kontraktor kelas F dari daerah yang berkaitan.

  • Sebut Harga

    Had nilai perolehan secara sebut harga telah dinaikkan daripada RM200 ribu kepada RM500 ribu.

    Bagi bekalan dan perkhidmatan yang bernilai RM50 ribu hingga RM100 ribu hendaklah dipelawa secara sebut harga di kalangan sekurang-kurangnya lima (5) syarikat bertaraf Bumiputera yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan.

    Bagi bekalan dan perkhidmatan yang bernilai melebihi RM100 ribu hingga RM500 ribu hendaklah dipelawa di kalangan sekurang-kurangnya lima (5) pembuat/pembekal tempatan yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan dalam kod bidang berkaitan.

  • Kerja-kerja yang menggunakan Jadual Kadar Kejuruteraan Awam dan Bangunan

    Bagi kerja-kerja tidak melebihi RM100 ribu yang menggunakan Jadual Kadar Kejuruteraan Awam dan Bangunan, agensi adalah dibenarkan melantik kontraktor secara undian, giliran/pusingan atau sebut harga.

  • Tender

    Bagi perolehan melebihi RM500 ribu setahun hendaklah dipelawa secara tender. Tender boleh dibahagikan kepada:-
i. Tender Terbuka

Tender ini terbuka untuk ditandingi oleh semua syarikat/kontraktor/pembekal yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan bagi bekalan dan perkhidmatan dan berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi kerja.
   
ii. Tender Terbuka Yang Dikhaskan Kepada Kontraktor Bumiputera

Tender ini dilaksanakan dengan mempelawa hanya kontraktor-kontraktor Bumiputera untuk mengambil bahagian.
   
iii. Tender Terbuka Berasaskan Pra-kelayakan

Peraturan pra-kelayakan adalah bertujuan untuk menapis kontraktor-kontraktor supaya mereka yang mempunyai pengalaman, kebolehan teknikal, kewangan dan pengurusan bagi melaksanakan sesuatu projek sahaja dibenarkan mengambil bahagian di dalam sesuatu tender yang diadakan setelah agensi mendapat kelulusan khas Perbendaharaan Malaysia.
   
iv. Tender Terhad

Tender terhad bagi bekalan, perkhidmatan dan kerja tidak melebihi RM10 juta boleh dilaksanakan setelah agensi mendapat kelulusan Lembaga Perolehan Agensi. Tender terhad melebihi nilai RM10 juta perlu mendapat kelulusan Perbendaharaan Malaysia.