There are no translations available.
PELANCARAN SKIM PINJAMAN PERUMAHAN BERJAMIN
BANK SIMPANAN NASIONAL (BSN) DAN BANK ISLAM MALAYSIA BHD (BIMB)
UCAPAN
YB TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP
MENTERI KEWANGAN II
KEMENTERIAN KEWANGAN
PUTRAJAYA
15 JANUARI 2008
Y Bhg. Dato Seri Abdul Azim Mohd Zabidi
Pengerusi
Bank Simpanan Nasional
Y Bhg. Dato' Zukri Samat
Pengarah Urusan
Bank Islam
Y Berusaha Encik Adinan Maning
Pengurus Besar/Ketua Eksekutif
Bank Simpanan Nasional
Y Berusaha Encik Fazlur Rahman Ebrahim
Pengarah
Syarikat Jaminan Kredit Perumahan
Hadirin yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bersama-sama hadir di majlis pelancaran Skim Pinjaman Perumahan Berjamin Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) pada pagi ini.
2. Alhamdulillah, ekonomi negara terus bertambah kukuh, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bertambah mantap. Dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, iaitu sejak tahun 2004, KDNK negara telah meningkat hampir 6 peratus setahun. Kadar inflasi kekal rendah, iaitu sebanyak 2 peratus dalam tempoh Januari - November tahun 2007, merupakan yang terendah di rantau ini.
3. Pendapatan per kapita juga telah meningkat kepada lebih 22,000 ringgit pada tahun 2007, berbanding 17,577 ringgit pada tahun 2004. Kuasa beli rakyat juga telah meningkat, daripada 4,626 dolar Amerika kepada hampir 6,500 dolar Amerika dalam tempoh yang sama.
4. Kerajaan senantiasa perihatin dan berusaha tegas untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi yang membanggakan ini dinikmati oleh semua rakyat, terutamanya golongan yang berpendapatan rendah, supaya mereka juga sama-sama dapat manfaat daripada pembangunan negara. Dalam hal ini, Kerajaan memberi keutamaan kepada langkah-langkah untuk menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat. Antara langkah penting ialah mempastikan setiap rakyaat mempunyai akses kepada kemudahan asas yang mencukupi serta peluang penyertaan dalam arus pembangunan negara.
5. Perumahan merupakan satu keperluan asas yang seharusnya dinikmati oleh semua rakyat. Akses kepada perumahan sudah tentunya juga akan dapat menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat. Untuk ini, dasar perumahan Kerajaan terus memberi keutamaan kepada pelaksanaan program perumahan untuk menyediakan perumahan yang mencukupi, berkualiti, selesa dan mampu dimilik oleh semua rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah, di bandar dan luar bandar.
6. Keutamaan terus diberikan kepada pelbagai program pembinaan perumahan kos rendah dan sederhana, termasuk Program Perumahan Rakyat, Program Pemulihan Rumah Terbengkalai, Program Perumahan Mampu Milik dan Program Rumah Mesra Rakyat. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, hampir 9.5 bilion ringgit telah disediakan bagi program perumahan kos rendah dan sederhana, untuk membina sebanyak 170,000 unit rumah.
7. Syarikat Perumahan Negara, iaitu sebuah syarikat milik kerajaan, merupakan antara agensi penting dalam pembinaan sebahagian besar perumahan kos rendah dan sederhana, termasuk rumah mampu milik, rumah mesra rakyat dan membaik pulih rumah terbengkalai. Setakat ini, hampir 72,000 unit sedang dalam pembinaan dibawah program Rumah Mampu Milik, dan 11,000 Rumah Mesra Rakyat, sementara hampir 20,000 rumah terbengkalai telah dibaik pulih.
8. Selain daripada mempastikan bilangan rumah yang mencukupi disediakan, Kerajaan juga sedar bahawa akses kepada kemudahan pinjaman juga merupakan aspek penting. Pinjaman perumahan yang diberikan oleh institusi perbankan kini berjumlah lebih 173 billion ringgit, iaitu hampir 27 peratus daripada jumlah pinjaman keseluruhan sektor perbankan. Selain daripada sektor perbankan, Kerajaan juga menyediakan kemudahan pinjaman perumahan bagi kakitangan kerajaan, yang kini berjumlah 21 bilion ringgit.
9. Sungguhpun sebahagian besar pinjaman perumahan telah pun disediakan oleh institusi perbankan, terdapat beberapa golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai pendapatan tetap, sukar mendapat pinjaman perumahan daripada institusi perbankan. Mereka ini termasuk pengusaha kecil dan petani yang tidak dapat menyediakan bukti mengenai pendapatan mereka, apabila ingin mendapat pinjaman daripada institusi perbankan.
10. Untuk membantu golongan ini mendapatkan pinjaman bagi membiayai pembelian rumah kos rendah dan sederhana, YAB Perdana Menteri, ketika membentangkan Bajet 2008, telah mengumumkan bahawa Kerajaan akan menyediakan satu dana jaminan sebanyak 50 juta ringgit kepada institusi perbankan bagi memberi pinjaman perumahan kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk memperolehi rumah kos rendah dan sederhana.
11. Alhamdulillah, pada pagi ini dapat kita bersama di majlis pelancaran Skim Pinjaman Perumahan Berjamin Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam Malaysia. Di sini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada kedua-dua Bank ini yang telah menyambut baik hasrat murni Kerajaan, dengan menerajui pelaksanaan Skim Pinjaman Perumahan Berjamin ini. Skim ini akan diperluaskan kepada institusi perbankan yang lain.
12. Di bawah Skim ini, sebuah syarikat milik kerajaan, iaitu Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd telah ditubuhkan untuk menyediakan dana jaminan kepada Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam Malaysia untuk memberi jaminan bagi membantu golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk membeli rumah kos rendah dan sederhana. Terma pinjaman juga dipermudahkan lagi dengan tempoh bayaran balik sehingga 40 tahun. Skim pinjaman ini dibuka kepada semua rakyat Malaysia yang layak.
13. Saya yakin Skim Pinjaman Perumahan Berjamin ini akan membantu golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk sama-sama menikmati peluang untuk membeli rumah. Oleh itu, marilah kita menumpukan tenaga dan usaha untuk mempastikan Skim ini dilaksanakan dengan jayanya.
14. Selain daripada Skim ini, YAB Perdana Menteri juga telah mengumumkan, semasa pembentangan Belanjawan 2008, bahawa pencarum KWSP dibenar mengeluarkan baki dalam Akaun 2 setiap bulan untuk tujuan pembayaran ansuran pinjaman perumahan, mulai 1 Januari tahun ini. Langkah ini bertujuan meringankan lagi beban perbelanjaan bagi bayaran pinjaman perumahan. Sambutan pencarum kepada kemudahan ini sungguh menggalakkan. Dalam tempoh 15 hari sahaja sejak dilaksanakan, sebanyak 2,114 permohonan telah diterima dan daripada jumlah ini, 1,713 telah diluluskan, melibatkan jumlah yang akan dikeluarkan sebanyak 29 juta ringgit.
Hadirin sekalian,
15. Akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi tahniah dan selamat maju jaya kepada Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam Malaysia Berhad di dalam usaha mereka melaksanakan skim pembiayaan perumahan ini.
16. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Skim Pinjaman Perumahan Berjamin oleh Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam Malaysia Berhad.
Terima kasih.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
15 Januari 2008