PERHIMPUNAN BULAN JANUARI 2008
KEMENTERIAN KEWANGAN
UCAPAN
Y. B. TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP
MENTERI KEWANGAN II
DEWAN SERBAGUNA
KEMENTERIAN KEWANGAN
14 JANUARI 2008
Y. B. Timbalan-Timbalan Menteri
Y. B. Setiausaha Parlimen
Y. Bhg. KSP
Dato' - Dato', Tuan-tuan dan Puan-Puan
Assalamualaikum Warahmatullah Hi Wabarakatuh dan selamat pagi diucapkan kepada semua warga Kementerian Kewangan. Syukur ke hadrat Allah subhanahuwataalla kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul pada pagi yang mulia ini. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2008 dan Maal Hijrah 1429 kepada semua warga Kementerian Kewangan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan yang telah bersara sepanjang tahun lepas. Seramai 34 orang pegawai dan kakitangan telah bersara wajib pada tahun lepas, termasuk Datuk Ahmad Hashim TKSP(O), Encik Chua Tong Ka (Bahagian Ekonomi), Puan Komalam (Bahagian Kewangan), En Awang Che Seman (Bahagian Perolehan), En Jauhari Yahya (Bahagian Kawalan) dan Pn Ong Joo Lin (Bahagian Belanjawan).
2. Di samping itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seramai 200 orang pegawai di peringkat pengurusan dan professional yang telah dinaikkan pangkat pada tahun lepas, antaranya Datuk Zalekha Hassan sebagai TKSP(Operasi) dan Cik Fauziah Yaacob sebagai SUB Pengurusan Perolehan Kerajaan. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua warga Perbendaharaan yang telah dianugerahkan dengan pingat termasuk yang membawa gelaran Dato' Sri dan Dato'. Semoga penganugerahan ini akan meningkatkan lagi semangat mereka untuk menjalankan tugas dengan lebih baik.
3. Tahun lepas merupakan satu tahun yang bersejarah dan penuh dengan pelbagai peristiwa. Kita telah menyambut 50 tahun kemerdekaan. Bagi warga Kementerian Kewangan kita telah menyambut ulang tahun ke-55.
4. Tahun lepas juga merupakan tahun yang baik bagi negara walaupun kita menghadapi pelbagai cabaran dari dalam dan luar negara. Kita telah berjaya mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6 peratus bagi tempoh Januari - September 2007. Berasaskan petunjuk ekonomi bagi tempoh Oktober - Disember, saya yakin kita akan dapat mencapai pertumbuhan yang disasarkan sebanyak 6 peratus bagi tahun 2007. Semua ini adalah hasil usaha gigih kita semua dalam memastikan momentum pertumbuhan ekonomi terus kekal di paras tinggi. Banyak langkah-langkah yang telah dilaksanakan untuk memperbaiki lagi proses kerja kita bagi membantu Kementerian dan agensi Kerajaan serta orang ramai melaksanakan tugas dan mencapai matlamat atau objektif masing-masing. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga Perbendaharaan kerana sumbangan yang telah diberikan.
5. Namun begitu, saya ingin mengingatkan bahawa tugas kita masih belum selesai. Masih banyak yang perlu dilaksanakan. Tanggungjawab dan tugas kita di Kementerian Kewangan akan menjadi lebih mencabar lagi dalam tahun 2008. Ini kerana perkembangan di peringkat antarabangsa semakin mencabar.
6. Antara isu-isu di peringkat antarabangsa yang perlu diberi perhatian ialah perkembangan ekonomi dunia yang semakin tidak menentu yang disebabkan oleh harga minyak mentah yang terus meningkat dan telah mencecah paras 100 dolar Amerika Syarikat se tong. Keadaan inflasi juga telah meningkat akibat kenaikan harga barangan makanan dan penggunaan. Krisis subprime mortgage Amerika Syarikat yang sebelum ini hanya berkaitan dengan pasaran rumah kediaman telah merebak ke pasaran hartanah komersial. Di samping itu, kita juga menghadapi persaingan untuk mendapatkan pelaburan asing daripada negara baru membangun yang berkembang pesat seperti China, India dan Vietnam.
7. Walaupun perkembangan ekonomi dunia kian mencabar, kita yakin negara boleh mengharungi segala cabaran tersebut dan terus mengekalkan momentum pertumbuhan yang membanggakan. Ini memerlukan kita mengurus ekonomi dan kewangan negara secara bijak dan memastikan pelaksanaan segala program pembangunan yang telah dirancang. Aktiviti ekonomi domestik perlu dipertingkatkan termasuk memajukan pembangunan di kawasan koridor yang telah dikenal pasti dan mempergiatkan pembangunan dan kemajuan sumber pertumbuhan baru. Kita juga perlu berusaha memastikan sektor swasta terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi dengan memperhebatkan usaha dalam menyediakan suasana mesra perniagaan.
8. Apa yang lebih penting, kita perlu mempastikan kekayaan negara dinikmati bersama tanpa mengira kaum dan status ekonomi seseorang itu. Kerajaan komited untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang tahun 2010. Pelbagai program telah dan akan dilaksanakan termasuk memberi jaminan kepada golongan yang berpendapatan tidak tetap untuk membuat pinjaman perumahan dan latihan kemahiran kepada golongan pelajar yang tercicir, terutamanya dari keluarga yang miskin. Kerajaan juga akan mempastikan pelbagai bantuan yang disediakan Kerajaan untuk golongan kurang bernasib baik, terutamanya golongan miskin tegar akan mendapat manfaat. Pegawai yang bertanggungjawab mestilah memastikan supaya bantuan seumpama ini sampai kepada golongan sasar.
9. Dalam hubungan ini, saya menyeru warga Kementerian Kewangan melipatgandakan usaha ke arah mencapai matlamat pembangunan ekonomi negara. Warga Kementerian Kewangan di semua peringkat mesti memiliki budaya kerja berprestasi tinggi supaya dapat menyelesaikan segala tugas dalam masa yang ditetapkan. Sistem penyampaian perkhidmatan mesti terus diperbaiki dan dipertingkatkan. Kita mesti mengambil tindakan pantas bukan sahaja dalam memproses permohonan bahkan juga dalam menyelesaikan masalah yang dikemukakan oleh orang ramai. Kita perlu mempermudahkan prosedur yang lapuk supaya tindakan segera dapat diambil. Di samping itu, pegawai harus turun ke padang (be on the ground) dan melihat sendiri pelaksanaan program dan projek serta mengetahui tahap kemajuan yang dicapai dan masalah yang dihadapi. Langkah segera perlu diambil untuk mengatasi isu da masalah yang dihadapi jika perubahan perlu dibuat.
10. Selain itu, pegawai juga mesti berjumpa dengan rakyat untuk mengetahui masalah mereka dan pantas mengatasi keperluan mereka. Kita mahu kakitangan Kerajaan, terutamanya warga Kementerian Kewangan supaya peka akan kehendak rakyat dan berkhidmat dengan lebih efektif dan efisien.
11. Kita telah melangkah ke tahun 2008. Saya difahamkan proses bagi penyediaan Bajet 2009 dan Laporan Ekonomi 2008/2009 telah pun mula dilaksanakan memandangkan YAB Perdana Menteri akan membentangkan Bajet 2009 di Parlimen lebih awal iaitu pada 29 Ogos 2008. Saya berharap semua warga Kementerian akan memberi kerjasama yang diperlukan untuk menjayakan penyediaan Bajet 2009. Saya juga berharap kita dapat menggubal satu bajet yang dapat terus menjamin kesejahteraan rakyat di samping mempastikan pertumbuhan ekonomi negara.
12. Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina (Gong Xi Fatt Chai) kepada semua warga Kementerian Kewangan.
Sekian. Wabillah hi taufik walhidayat.
Wassalam
Kementerian Kewangan
Putrajaya
14 Januari 2008