
| Forum Kewangan Untuk Pedagang Dan Pengusaha Bumiputera |
|
|
|
FORUM KEWANGAN UNTUK PEDAGANG DAN PENGUSAHA BUMIPUTERA
Y Bhg. Dato' Moehamad Izat Emir Y Berusaha En Abdul Jalil Ismail Hadirin yang dihormati sekalian. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarahkatu dan salam sejahtera. Syukur saya kerana dapat bersama-sama hadirin sekalian di Forum Kewangan untuk Pedagang dan Pengusaha Bumiputera pada pagi ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi tahniah kepada Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) yang telah menganjurkan Forum ini untuk memberi pendedahan dan maklumat terperinci mengenai pembiayaan kepada pedagang dan pengusaha Bumiputera. Saya yakin Forum ini akan dapat menyumbang kepada hasrat Kerajaan untuk melahirkan sebuah Masyarakat Perniagaan dan Perindustrian Bumiputera yang berdaya maju dan berdaya saing. 2. Forum kewangan sebegini amatlah penting memandangkan aksesibiliti kepada pembiayaan merupakan satu daripada faktor penting dalam menjayakan perniagaan. Menyedari ini, Kerajaan telah menyediakan berbagai dana dalam bentuk pinjaman mudah, geran dan jaminan kredit serta juga penyertaan ekuiti melalui modal teroka. Kemudahan pembiayaan ini telah banyak membantu usahawan mendapatkan modal dengan lebih mudah dan pada kos yang lebih efisien. 3. Selain daripada usaha Kerajaan, institusi kewangan swasta juga telah memainkan peranan penting dalam menyedia dan meluaskan lagi aksesibiliti pengusaha dan peniaga kepada sumber pembiayaan. Kini, sumber pembiayaan terbesar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah daripada institusi perbankan. Kerajaan yakin pertumbuhan pesat sektor kewangan negara akan terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan negara keseluruhannya, termasuk sektor perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana. 4. Dari segi jumlah pinjaman, lebih 48 bilion ringgit telah disediakan dalam tahun 2006 kepada PKS oleh institusi kewangan, iaitu hampir 40 bilion ringgit oleh insitusi perbankan; 7 bilion oleh institusi kewangan pembangunan, seperti Bank Pembangunan, Bank SME, Bank Simpanan dan Bank Pertanian; dan bakinya, oleh agensi-agensi kerajaan yang lain. Jumlah ini telah memberi manfaat kepada 240 ribu PKS. Pada tahun ini, jumlah pinjaman dijangka terus meningkat melebihi 50 bilion ringgit. 5. Jumlah pinjaman ini merupakan hampir separuh daripada jumlah pinjaman yang telah disediakan bagi keseluruhan pinjaman perniagaan (total business loans) oleh institusi kewangan. Dari segi penggunaan pinjaman pula, sebahagian besarnya ialah untuk membiayai perkembangan perniagaan, khususnya bagi modal kerja serta perolehan aset. 6. Selain daripada mempastikan PKS mempunyai akses pembiayaan yang mencukupi, beberapa langkah juga telah diambil untuk mempelbagaikan lagi produk kewangan yang disediakan kepada PKS. Ini termasuk modal teroka, pinjaman mikro serta pembiayaan projek luar negara. 7. Kerajaan telah menerajui beberapa dana teroka bertujuan membantu PKS memulakan business start ups di dalam high growth ventures. Setakat ini, hampir 4 bilion ringgit dana teroka telah disediakan dibawah MAVCAP, MDV, MTDC, dan Modal Perdana bagi membiayaai usahawan, terutamanya di peringkat seed dan start-ups. Sebagai langkah menambah dan melengkapkan lagi dana teroka sedia ada, Dana Merangsang Pertumbuhan PKS sebanyak 1 bilion ringgit telah disediakan oleh Bank SME untuk pembiayaan ekuiti bagi perkembangan perniagaan untuk mempastikan syarikat PKS menjadi lebih kukuh dan berdaya maju, serta berpotensi menerokai pasaran global. 8. Bagi pembiayaan projek luar negara, EXIM Bank menyediakan skim jaminan kepada institusi perbankan yang membiayai syarikat negara menjalankan projek di luar negara. Sejumlah 1 bilion ringgit telah disediakan di bawah Skim ini. 9. Selain daripada pembangunan PKS, Kerajaan juga sedar bahawa sebahagian besar daripada perusahawan mikro, terutamanya usahawan individu, menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan daripada sistem perbankan. Pada masa ini, terdapat hampir 400 ribu pengusaha mikro di negara ini dan kurang daripada 15 peratus daripada mereka mendapat pembiayaan daripada sumber perbankan. Sebahagian besar daripada mereka bergantung kepada sumber pembiayaan persendirian. Ini merupakan satu halangan bagi mereka untuk mengembangkan perniagaan untuk menjadi lebih berdaya maju. 10. Untuk membantu golongan ini, Bank Simpanan Nasional telah memainkan peranan yang penting dalam mempastikan golongan ini mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan melalui penyediaan kemudahan pinjaman Skim Kewangan Mikro. Skim ini menyediakan syarat-syarat pinjaman yang lebih fleksible, terutamanya dari segi keperluan cagaran, tempoh pinjaman serta prosedur pinjaman. Untuk ini, beberapa Pusat Mikro Kewangan telah ditubuhkan bagi memudahkan golongan usahawan mendapat pinjaman. Skim ini akan dapat menambah dan melengkapkan lagi dana-dana mikro sedia ada untuk membantu perkembangan pengusaha-pengusaha kecil. 11. Perkembangan pesat sektor kewangan telah menjadikan sektor ini sebagai satu daripada penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara. Saya percaya dengan dana yang lebih besar serta rangkaian cawangan yang bertambah luas, instutusi perbankan mampu menyediakan skim pembiayaan dengan lebih berkesan dan meningkatkan aksesibiliti kepada lebih ramai usahawan kecil dan sederhana. Sungguh pun telah banyak nampak kemajuan dalam usaha institusi perbankan dalam pemberian pinjaman kepada golongan ini, saya ingin menyeru institusi perbankan untuk sama-sama menyediakan kemudahan pembiayaan dengan syarat-syarat pinjaman yang lebih fleksible dan prosedur permohonan yang lebih mudah. 12. Kerajaan amat menghargai usaha beberapa institusi perbankan yang telah melancarkan produk pembiayaan baru untuk menambah akses masyarakat perniagaan kecil dan sederhana, termasuk pengusaha mikro, kepada sumber dari sistem perbankan. Walaubagaimanapun, masih lagi terdapat banyak ruang bagi sektor perbankan untuk menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan baru yang lebih berinovatif untuk memenuhi keperluan semasa golongan ini. Usaha ini akan dapat memantapkan lagi peranan industri PKS dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara. Hadirin yang dihormati sekalian, 13. Kejayaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan dalam tempoh dua tahun pertama telah meletakkan ekonomi negara diatas landasan yang kukuh untuk terus mencapai matlamat pertumbuhan negara. Kerajaan yakin matlamat pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6 peratus akan dapat dicapai pada tahun ini. Sejajar dengan pertumbuhan mantap ekonomi negara yang berterusan ini, Kerajaan telah menyediakan banyak kemudahan untuk mempastikan masyarakat perniagaan PKS negara terus berdaya maju serta dapat meningkatkan sumbangan dan peranan mereka dalam pertumbuhan ekonomi negara. 14. Sesungguhnya, peningkatan dalam peluang perniagaan dan keusahawanan terbentang luas. Khususnya, pelancaran gagasan pembangunan wilayah bersepadu yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, iaitu IDR di Wilayah Selatan, Wilayah Ekonomi Utara dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur serta di Sabah dan Sarawak, akan membuka dan menyediakan peluang penyertaan yang begitu luas bagi penglibatan industri PKS di pelbagai sektor yang mempunyai nilai tambah tinggi, terutamanya di sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan. 15. Akhir kata, saya mengalu-ngalukan sekali lagi penyertaan institusi-institusi kewangan dan uasahawan-usahawan kecil dan sederhana di Forum pagi ini. Saya berharap masyarakat pedagang dan pengusaha menggunakan Forum ini untuk berinteraksi secara efektif dengan institusi perbankan. Saya percaya pihak bank juga dapat memanfaatkan Forum ini untuk menyebarkan maklumat yamg komprehensif mengenai kemudahan pembiayaan yang mereka sediakan, dan pada masa yang sama, mendapatkan feedback mengenai keberkesanan perkhidmatan dan produk perbankan mereka. 16. Saya juga berdoa semoga hadirin sekalian akan terus mencapai kecemerlangan dalam memajukan perniagaan yang diusahakan dan sama-sama menyumbang kepada usaha memantapkan lagi ekonomi negara. 17. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Forum Kewangan Untuk Pedagang dan Pengusaha Bumiputera. Terima Kasih. Kementerian Kewangan |
| Terakhir Dikemaskini Khamis, 24 Mac 2011 10:49 |






