|
Sila nyatakan juga sejauh mana kejatuhan pasaran saham semasa memberi kesan kepada ekonomi negara kita dan apakah sebab-sebab utama kehancuran pasaran saham.
| (a) |
Kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk membina semula keyakinan pelabur-pelabur ke atas pasaran saham melalui Pelan tindakan yang disediakan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang telah diumumkan oleh Kerajaan pada 23 Julai 1998. Matlamat utama Pelan Tindakan tersebut ialah untuk menstabilkan nilai Ringgit dan pasaran saham, memperkukuhkan pasaran kewangan dan asas-asas ekonomi negara. Kerajaan juga akan memastikan tahap ketelusan yang tinggi di kalangan syarikat tersenarai. Pengarah-pengarah syarikat dikehendaki memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dari segi pengabenan korporat yang berlandaskan unsur-unsur amalan terbaik.
| | (b) |
Pasaran saham merupakan salah satu sumber bagi syarikat-syarikat tempatan mendapatkan modal bagi mengembangkan perniagaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kejatuhan berterusan pasaran saham telah melembabkan sentimen dan minat pelabur terhadap pembelian saham. Ini menyebabkan syarikat-syarikat sukar untuk mendapatkan modal untuk mengembangkan perniagaan. Kejatuhan harga-harga saham juga telah membebankan syarikat-syarikat yang mendapatkan pinjaman bank tempatan melalui pencagaran saham-saham syarikat. Kejadian ini telah menyulitkan syarikat-syarikat berkenaan untuk meneruskan operasi mereka.
| | (c) | Di antara sebab-sebab utama kemerosotan pasaran saham adalah:-
| | | (i) |
kejatuhan mendadak dan ketidakstabilan matawang ringgit sejak permulaan krisis dimana sejak 17 Julai 1997 sehingga kini nilai ringgit telah merosot sebanyak 38%;
|
| (ii) |
prospek pertumbuhan pendapatan syarikat-syarikat tidak menggalakkan akibat kemelesetan ekonomi telah menyebabkan pengurus-pengurus dana asing kurang berminat melabur di BSKL dan telah mengurangkan pelaburan mereka di BSKL;
|
| (iii) |
kesan kontagion pasaran di rantau ini telah terus melembabkan sentimen pelabur asing terhadap rantau ini termasuk Malaysia. Pelabur-pelabur asing masih menganggap risiko melabur di rantau ini terlalu tinggi memandangkan ketidakpastian ekonomi, politik, sosial dan kewangan negara-negara ini. Juga kesan kontagion dari pasaran baru muncul yang lain seperti Latin Amerika, Afrika Selatan, Asia Selatan dan Rusia turut memainkan peranan; dan
|
| (iv) | wujudnya peluang pelaburan yang lebih menarik di Amerika Syarikat dan rantau Eropah.
| | (d) | Bagi membantu syarikat-syarikat yang bermasalah Kerajaan telah menyediakan beberapa program antaranya, menubuhkan Unit Pengawasan Pinjaman dan Unit Penasihat Masalah Perniagaan masing-masing di Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan bagi memastikan kredit kepada syarikat-syarikat tidak terjejas; Tabung Industri Kecil dan Sederhana (TIKS) berjumlah RM1.5 bilion yang mula beroperasi sejak Januari 1998 bagi menyediakan pinjaman kepada syarikat-syarikat untuk meneruskan operasi; dan memberi kelonggaran kepada syarikat-syarikat Bukan Bumiputera membeli syarikat Bumiputera yang bermasalah untuk membolehkan syarikat-syarikat tersebut memperolehi modal bagi meneruskan operasi.
|
|
|
Terakhir Dikemaskini Jumaat, 30 Mac 2012 07:12 |