Integrated Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam
  MAKLUMBALAS BARU   SOALAN LAZIM
  SEMAK MAKLUMBALAS   PEGAWAI DAFTAR
picture PROSES MEMBUAT ADUAN    
Aduan dipantau oleh Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri
BR1M
perkhidmatan disediakan
spp berkaitan perolehan kerajaan
maklumbalas media
perbankan internet
perkhidmatan sms pinjaman perumahan
btn polisi hijau
btn polisi hijau
Laman Utama Bilik Berita Ucapan Penerangan Menteri Mengenai Langkah-langkah Bagi Mengukuhkan Kestabilan Ekonomi Negara Di Dewan Rakyat Pada 24 Mac 1998
Penerangan Menteri Mengenai Langkah-langkah Bagi Mengukuhkan Kestabilan Ekonomi Negara Di Dewan Rakyat Pada 24 Mac 1998 Cetak Emel

 

PENERANGAN MENTERI
MENGENAI LANGKAH-LANGKAH BAGI
MENGUKUHKAN KESTABILAN EKONOMI NEGARA
DI DEWAN RAKYAT PADA 24 MAC 1998



Tuan Yang Dipertua,


1. Krisis kewangan yang melanda rantau Asia sejak pertengahan tahun lalu masih berlarutan. Sementara pasaran kewangan di beberapa negara telah menjadi lebih stabil, keadaan serantau masih gawat. Krisis yang berlarutan ini telah mendatangkan kesan serius terhadap ekonomi dan sistem kewangan serantau.

2. Keadaan yang kurang menentu dalam ekonomi serantau juga disertai dengan perkembangan perdagangan dunia yang sederhana, aliran modal asing yang berkurangan dan persaingan yang lebih ketara terutama bagi eksport barangan elektrik dan elektronik. Di dalam negeri pula, wujud tekanan inflasi yang lebih tinggi serta penguncupan perbelanjaan sektor swasta yang lebih ketara dari apa yang dijangkakan. Persekitaran baru ini menuntut kita melakukan beberapa penyesuaian dalam kerangka ekonomi makro.



Prestasi Ekonomi 1997

3. Pertumbuhan ekonomi pada tahun 1997 terus kukuh dengan kadar pertumbuhan KDNK mencapai 7.8%.
4. Namun, susutan nilai ringgit menyaksikan pendapatan per kapita dalam dolar Amerika Syarikat (AS) berkurangan sebanyak 2.9% kepada AS$4,316 (1996: AS$4,446). Kadar pengangguran dan inflasi turut rendah pada tahun lalu, iaitu pada kadar 2.7%.

5. Malaysia mencatatkan lebihan perdagangan sebanyak RM424 juta pada tahun 1997 berbanding dengan defisit RM254 juta pada tahun 1996. Lebihan ini adalah yang pertama dicatatkan semenjak tahun 1994, membolehkan defisit akaun semasa kekal pada kadar 5.1% daripada Keluaran Negara Kasar (KNK). Lebihan dalam imbangan asas pula meningkat kepada RM5.3 bilion (RM1.3 bilion dalam tahun 1996), manakala rizab negara pada akhir tahun 1997 sebanyak RM59.1 bilion (AS$21.7 bilion), mampu membiayai 3.4 bulan import tertangguh. (Untuk maklumat yang lebih terperinci, sila lihat Lampiran 1).

6. Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan pada tahun 1997 kekal kukuh dengan lebihan keseluruhan bertambah kepada RM6.6 bilion atau 2.5% daripada KNK. Jumlah tersebut tidak termasuk jumlah bayaran balik pinjaman berjumlah RM6.2 bilion serta pra pembayaran pinjaman berjumlah RM911 juta pada tahun 1997. (Sila lihat Lampiran 2).


7. Hutang luar negara, walaupun terjejas kerana kejatuhan nilai ringgit, terus kekal di tahap sederhana pada tahun 1997. Dalam dolar AS, hutang negara ini meningkat hanya 9.5%. Hutang luar sektor swasta meningkat tinggi pada kadar 82.6% (berjumlah: RM61.1 bilion), manakala hutang luar Kerajaan Persekutuan meningkat hanya 23.7% (berjumlah RM13 bilion). Walau bagaimanapun, nisbah khidmat hutang negara berkurangan kepada 5.1% (1996:5.7%) berikutan daripada peningkatan eksport barangan dan perkhidmatan.

8. Beberapa kemajuan telah dicapai bagi mengukuhkan tahap modal industri perbankan. Nisbah wajaran risiko modal (risk-weighted capital ratio) institusi perbankan adalah 10.5% pada akhir tahun 1997, iaitu lebih tinggi daripada 8% standard Basle. Pinjaman tidak berbayar (non performing loans) adalah sebanyak 5.7% daripada jumlah hutang, manakala peruntukan am (general provision) adalah sebanyak 2%.

9. Di pasaran kewangan pula, ringgit dan pasaran saham semenjak beberapa minggu kebelakangan ini telah bertambah kukuh. Kini ringgit telah kembali stabil dan pada jam 1.00 petang ini, ringgit adalah pada kadar RM3.57=AS$1, sementara Indeks Komposit Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada paras 735.69 mata pada tengahari ini.


Langkah-langkah Menangani Kegawatan Ekonomi Semasa

10. Saya mencadangkan satu pakej tambahan langkah-langkah yang tegas dan menyeluruh khususnya bagi mengukuhkan sektor kewangan, meningkatkan keyakinan pelabur serta memastikan agenda sosial diteruskan.

11. Langkah-langkah ini bertujuan:
· Memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dipertahankan;
· Imbangan pembayaran dijangka bertambah baik pada tahun ini dengan defisit akaun semasa menurun kepada 1% dari KNK;
· Rizab negara kekal dalam lingkungan 3 hingga 4 bulan dari import tertangguh;
· Inflasi dijangka meningkat disebabkan susutan ringgit semenjak pertengahan tahun lalu. Walau bagaimanapun, langkah-langkah yang telah dilaksanakan akan dapat memastikan inflasi dibendung pada kadar 7% hingga 8%;
· Kadar pengangguran mungkin meningkat, tetapi kita yakin ianya dapat dikekalkan pada tahap yang rendah, iaitu 3.5% memandangkan sektor-sektor ekonomi utama masih kukuh;
· Mengutuhkan sistem perbankan memandangkan implikasi kegawatan kewangan terhadap sektor ini;
· Dasar kadar pertukaran asing yang luwes akan dikekalkan. Pemulihan kadar ringgit ke paras yang lebih realistik akan dicapai melalui langkah-langkah dasar yang lebih menyeluruh. Untuk mencapai objektif ini, Bank Negara, dalam operasi hariannya, akan mempunyai keluwesan yang mencukupi dalam menentukan kadar faedah;
· Menggalakkan pengurusan sektor korporat yang baik, telus dan bertanggungjawab; dan
· Mengukuhkan program kesejahteraan sosial (social safety net) untuk membendung kesan-kesan negatif daripada kegawatan ekonomi terhadap golongan yang berpendapatan rendah.

12. Unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 1998 telah dikurangkan kepada 2% hingga 3% berbanding dengan 4% hingga 5% yang telah saya umumkan Disember lalu. Bagi tujuan menganalisa perkembangan ekonomi tahun ini, kadar pertumbuhan 2.5% digunakan.

13. Beberapa negara ASEAN telah juga mengkaji semula anggaran pertumbuhan ekonomi mereka. Filipina menurunkan anggaran kadar pertumbuhan ekonominya dari 5% kepada lingkungan 2.4% hingga 3.5%, Indonesia dari 3.5% kepada pertumbuhan sifar; Singapura dari lingkungan 5% hingga 7% kepada antara 2.5% hingga 4.5%, manakala Thailand dari pertumbuhan positif 3.5% kepada pertumbuhan negatif antara 3% hingga 3.5%. (Lampiran 3 menunjukkan perbandingan prestasi ekonomi-ekonomi ASEAN terpilih).


Dasar Fiskal

14. Kerajaan akan terus melaksanakan dasar fiskal berhemat. Namun begitu kita amat prihatin kesan kegawatan ekonomi ke atas golongan berpendapatan rendah dan golongan yang kurang upaya.

15. Jumlah peruntukan yang telah disediakan bagi program ini berjumlah RM2.7 bilion. Saya ingin mencadangkan supaya projek-projek ini ditambah peruntukannya sebanyak RM1 bilion lagi. Bank Dunia telah menawarkan kepada Kerajaan satu pakej pembiayaan mudah bagi tujuan ini. Projek-projek ini adalah seperti berikut:
· Peruntukan tambahan untuk Tabung Makanan sebanyak RM300 juta khususnya untuk program pekebun kecil melalui Persatuan Peladang Kawasan (PPK);
· Program Kredit Mikro berjumlah RM200 juta untuk penjaja, peniaga dan usahawan kecil melalui satu skim pinjaman yang cepat, mudah dan tidak membebankan;
· RM200 juta bagi menambah kemudahan pendidikan dan pembangunan sumber manusia termasuk bagi pusat latihan kemahiran dan keperluan institusi tinggi;
· Projek bantuan golongan termiskin di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM100 juta;
· Kemudahan kesihatan sebanyak RM100 juta meliputi pembinaan klinik kesihatan bandar dan desa dan juga pembinaan hospital; dan
· Kemudahan prasarana desa seperti bekalan air dan elektrik sebanyak RM100 juta.

16. Kerajaan Jepun juga telah menawarkan pinjaman mudah sebanyak RM300 juta bagi membantu pembiayaan pendidikan pelajar Malaysia di Jepun.

17. Semasa ucapan belanjawan 1998, saya telah mengumumkan penubuhan Tabung Industri Kecil dan Sederhana (TIKS) sejumlah RM1 bilion, bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Bagi mempertingkatkan lagi penggunaan dana, saya telah meluluskan pembiayaan untuk modal kerja dinaikkan dari 10% kepada 20% daripada jumlah pinjaman.

18. Bagi menangani isu rumah kos rendah, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang telah ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 sedang dalam proses menerbitkan bon berjumlah RM1 bilion bagi membiayai programnya.

19. Dengan langkah tambahan termasuk perbelanjaan untuk mencapai objektif kesejahteraan sosial ini, lebihan keseluruhan Kerajaan akan menjadi lebih kecil iaitu sebanyak RM1.3 bilion atau 0.5% dari KNK dalam tahun 1998. Matlamat mencapai lebihan keseluruhan fiskal yang kecil ini mencerminkan keazaman Kerajaan untuk meneruskan agenda sosial negara tanpa mengorbankan disiplin fiskal. Saya yakin kedudukan kewangan kita akan mencatatkan lebihan yang lebih besar apabila keadaan ekonomi kembali tegar. Namun demikian, sebarang lebihan tambahan akan hanya digunakan untuk keperluan kontigensi.

Dasar Kewangan

20. Dalam tahun 1997, berbagai langkah kewangan telah diperkukuhkan lagi melalui penguncupan kewangan untuk mengurangkan pertumbuhan pinjaman dan kewangan supaya dapat mengawal tekanan inflasi.

21. Hasilnya, pertumbuhan M3 telah berkurangan daripada 21.8% pada Jun kepada 18.35% pada Disember 1997 dan 14.7% pada Februari 1998. Pertumbuhan kredit juga telah berkurangan daripada 30.4% pada Jun kepada 26.5% pada Disember dan 20.1% pada Februari. Arah aliran ini adalah dalam lingkungan unjuran yang dibuat sebelum ini. Pertumbuhan M3 dijangka lebih sederhana kepada 12% manakala pertumbuhan kredit dijangka akan terus berkurangan sepanjang tahun ini kepada lingkungan 12% hingga 15%.

22. Walaupun kadar pertumbuhan kredit akan menjadi perlahan, Bank Negara akan memastikan ianya tidak akan menyekat pelaburan produktif. Bank Negara akan terus bekerjasama dengan institusi-institusi bank supaya mereka tidak mengambil tindakan keterlaluan dalam menghadapi perkembangan semasa dan memastikan pinjaman bagi pelaburan produktif tidak terjejas.

23. Krisis serantau ini telah memberi kesan kepada struktur kadar faedah dan aliran mudah tunai. Untuk memastikan proses perantaraan berfungsi dengan lancar, Bank Negara telah sejak awal lagi meningkatkan mudah tunai dalam sistem kewangan melalui pelbagai langkah, termasuk mengurangkan keperluan rizab berkanun sebanyak 3.5% pada Februari tahun ini. Langkah-langkah ini telah berjaya memperbaiki aliran mudah tunai dan kini operasi mudah tunai Bank Negara telah dapat dikurangkan dengan ketara, daripada RM34 bilion pada bulan Januari 1998 kepada RM14.8 bilion berakhir 14 Mac 1998.

24. Dalam pelaksanaan dasar kewangan, kadar faedah akan terus menjadi instrumen penting. Kadar antara bank bagi tempoh matang 3-bulan akan terus menjadi sasaran pengurusan dasar kewangan. Kadar faedah akan terus digunakan bersama-sama langkah-langkah lain bagi memastikan kestabilan ekonomi dan mempengaruhi kestabilan kadar pertukaran mata wang asing.

25. Kadar faedah asas akan terus dipandu oleh perkembangan dalam asas-asas ekonomi termasuk membendung tekanan inflasi. Peningkatan kadar faedah baru-baru ini adalah selaras dengan strategi ini. Kadar faedah akan disesuaikan selaras dengan jangkaan inflasi bagi memastikan kadar pulangan benar yang positif kepada pendeposit. Dari segi pengurusan ekonomi jangka pendek, Bank Negara akan mempunyai fleksibiliti untuk membenarkan peningkatan sementara kadar faedah bagi tujuan menstabilkan kadar pertukaran ringgit. Maklumat mengenai pengurusan mudah tunai disediakan untuk memberikan petunjuk dasar yang jelas kepada pasaran. Sehubungan dengan ini, satu kemudahan mudah tunai baru akan diadakan oleh Bank Negara di mana sokongan mudah tunai adalah berasingan dari pengurusan biasa mudah tunai. Pinjaman kepada institusi perbankan di bawah kemudahan baru ini akan dikenakan pada kadar penalti yang tinggi dengan cagaran penuh dan tempoh bayaran balik yang jelas. Bagi membolehkan pemahaman operasi pasaran yang dijalankan oleh Bank Negara, maklumat mengenainya akan disediakan setiap hari kepada peserta pasaran mengenai operasi tersebut dan kesannya terhadap mudah tunai tempatan. Ramalan aliran tunai harian akan juga membolehkan institusi-institusi perbankan menguruskan keadaan mudah tunai mereka. Langkah ini akan dilaksanakan pada bulan April 1998.

26. Sealiran dengan kenaikan kadar faedah pasaran, kadar pinjaman asas institusi kewangan telah meningkat kepada 12%. Adalah menjadi dasar kita supaya sektor produktif mendapat pinjaman pada kadar yang berpatutan. Walau bagaimanapun, untuk mewujudkan satu sistem pinjaman yang luwes, Bank Negara akan mengkaji semula amalan sekarang yang menghadkan kadar maksimum faedah pinjaman. Kajian ini haruslah mengambil kira akan ketelusan institusi kewangan dalam penentuan kadar pinjaman mereka.

Pembangunan Sistem Kewangan

27. Kegawatan kewangan semasa telah menampakkan keperluan untuk mempercepat pembangunan sistem kewangan yang lebih didorong oleh pasaran dan mempelbagai instrumen serta mempunyai peserta pasaran yang mencukupi. Ini akan membolehkan sistem kewangan yang lebih berupaya menyerap kejutan tanpa penjajaran harga (price misalignments). Usaha mempercepat pembangunan sistem kewangan akan juga meningkatkan keberkesanan instrumen kawalan kewangan yang berasaskan pasaran. Ianya juga akan dapat memperbaiki keupayaan menghadapi keperluan ekonomi yang kian berubah serta meningkatkan daya saing dalam suasana liberalisasi global yang kian meningkat.

28. Hala tuju sistem kewangan pada masa hadapan akan ditumpukan pada tiga perkara utama:-

Pertama: Dalam pengurusan kewangan, tumpuan akan diberi untuk meningkatkan keluwesan operasi kewangan dengan mempercepat pembangunan pasaran sekuriti untuk memudahkan penggunaan instrumen dasar kewangan tidak langsung, meningkatkan keluwesan dalam pengurusan mudah tunai dan memperbaiki pengesanan petunjuk-petunjuk dasar kewangan;

Kedua: Menggalakkan `securitisation' dan pembangunan pasaran bon bagi tujuan mengurangkan pergantungan kepada sistem perbankan dari segi pembiayaan dan perantaraan, memperkembangkan pelbagai instrumen kewangan untuk memperbaiki pengurusan risiko dan memudahkan agihan risiko kepada peserta pasaran yang paling berupaya menanggung risiko, serta meningkatkan bilangan peserta pasaran termasuk peserta asing; dan

Ketiga: Memastikan rangka institusi kewangan terus sesuai dengan perubahan-perubahan dalam pengurusan kewangan dan pembangunan pasaran. Saiz dan fungsi institusi akan dikaji semula manakala infrastruktur kewangan akan diperbaiki lagi bagi meliputi sistem bayaran dan penyeliaan serta rangka kerja yang berhemat. Pada masa yang sama, kajian semula rangka kerja perakaunan dan perundangan akan diambil untuk menyokong pembaharuan yang dirancangkan bagi sektor kewangan.

29. Rancangan di atas akan dilaksanakan berperingkat-peringkat sebagai tambahan kepada langkah-langkah yang telah berjaya dilaksanakan dalam tahun 1997. Dalam tahun lalu, beberapa langkah telahpun dilaksanakan untuk memajukan pasaran bon dengan otomasi proses tawaran untuk kertas komersial, menerbitan kertas-kertas bon tanda dan pelancaran Sistem Maklumat dan Penyebaran Bon (BIDS). Dalam tempoh masa terdekat, usaha-usaha telahpun dimulakan dalam bidang-bidang berikut:-
· Meningkatkan keluwesan pengurusan mudah tunai bagi memperbaiki keberkesanan proses perantaraan;
· Meningkatkan ketelusan operasi sokongan mudah tunai Bank Negara berbanding dengan operasi antara bank yang biasa;
· Mengenalpasti kaedah bagi memperbaiki petunjuk-petunjuk dasar kewangan kepada pasaran;
· Membangunkan lagi pasaran hutang sekuriti swasta dan sekuriti aset dan institusi kewangan dibenarkan untuk menjadi pengantara dalam urusniaga sekuriti swasta dan sekuriti aset;
· Memperkukuhkan peraturan berhemat dari segi peruntukan bagi pinjaman sub-standard selaras dengan standard antarabangsa;
· Mengkaji semula kawalan pelaburan dalam institusi kewangan; dan
· Menggabungkan institusi-institusi kewangan kepada entiti yang lebih kukuh.

30. Bidang-bidang lain dalam pembangunan sistem kewangan, termasuk skim insurans deposit, akan dikaji.

Pengukuhan Sistem Perbankan

31. Walaupun terdapat cabaran dan risiko baru berikutan dari krisis semasa, sistem perbankan kekal kukuh. Berasaskan ujian ketahanan yang dijalankan baru-baru ini, adalah didapati tiada sebuah pun institusi perbankan akan mengalami masalah `insolvency', walaupun dalam suasana yang genting. Namun begitu, Kerajaan akan meneruskan dasar-dasar untuk mengekalkan kekukuhan dan ketahanan sistem perbankan.

32. Kita tidak boleh berkompromi dalam melaksanakan langkah pengukuhan sistem perbankan dan kewangan. Andaikata kita berlembut kita mungkin terdedah kepada risiko kegagalan sistemik. Justeru itu, beberapa peraturan berhemat telahpun dilaksanakan, termasuk langkah mengenakan piawaian yang lebih ketat ke atas klasifikasi dan peruntukan pinjaman tidak berbayar, memerlukan kedudukan kewangan sistem perbankan yang lebih telus serta mengurangkan pertumbuhan kredit pada tahap yang lebih mampan. Namun begitu, bagi memastikan aktiviti produktif terus mendapat pembiayaan, satu mekanisme telah diwujudkan supaya setiap pemohon yang layak masih boleh mendapat pembiayaan bank.

33. Untuk meningkatkan lagi keupayaan sistem perbankan menghadapi cabaran semasa, saya mengumumkan langkah-langkah berikut:-

Pertama : Bank Negara Malaysia telah mempertingkatkan usaha untuk menyatukan industri syarikat kewangan melalui satu program penggabungan. Program ini akan mengurangkan bilangan syarikat kewangan kepada sekumpulan syarikat kewangan yang bersaiz besar dan kukuh dan berupaya untuk meraih manfaat skala ekonomi.

          Bagi memastikan kejayaan program penggabungan ini, semakan "due diligence" yang teliti oleh firma perakaunan yang bertauliah untuk mengambil kira kemungkinan penyusutan kualiti aset yang berterusan di sepanjang tahun 1998 adalah penting. Di samping itu, Kerajaan juga akan memastikan program penggabungan ini dilaksanakan dengan telus dan didorong oleh unsur-unsur pasaran supaya penilaian ke atas aset-aset yang akan dipindahkan adalah adil kepada semua pihak.

          Setakat ini, lapan pengumuman penggabungan telahpun dibuat oleh syarikat-syarikat kewangan yang terbabit. Adalah dijangka lebih kurang 20 pengumuman penggabungan akan dibuat dalam tempoh beberapa hari ini, iaitu sebelum 31 Mac 1998;


Kedua: Rangka pengawasan dan penyeliaan institusi kewangan akan dipertingkatkan lagi. Proses kawal selia akan dipergiatkan dalam bidang-bidang berisiko tertinggi. Institusi-institusi bank dikehendaki mengambil langkah sebelum institusi ini sampai ke tahap yang memerlukan tambahan modal;

Ketiga: Sebarang peningkatan modal yang diperlukan oleh institusi bank akan dilaksanakan secara telus dan berasaskan pasaran. Khususnya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan institusi-institusi separa awam lain akan hanya mengambil kepentingan dalam institusi perbankan jika pembelian tersebut dapat memaksimumkan nilai bagi pemegang saham dan unit amanah mereka. Institusi-institusi ini tidak akan diminta untuk meningkatkan modal institusi bank melainkan mereka telah memiliki saham di dalam sesebuah institusi bank tertentu ataupun dilaksanakan bersama pelabur-pelabur swasta dengan syarat dan terma yang sama. Dana awam tidak akan digunakan untuk menyelamat mana-mana syarikat yang nazak. Kerajaan akan hanya bertanggungjawab untuk menambah modal dalam institusi-institusi perbankan yang dimilikinya;

Keempat: Kerajaan akan terus komited ke atas proses liberalisasi berperingkat dan progresif. Pada masa yang sama, pemegang saham asing dialu-alukan untuk melibatkan diri dalam institusi perbankan kepada had 30% yang sedia ada;

Kelima: Untuk membolehkan pasaran membuat keputusan berdasarkan maklumat-maklumat yang jelas, keperluan ketelusan akan diperketatkan lagi. Bermula daripada suku tahun berakhir Jun 1998, institusi perbankan adalah dikehendaki menerbitkan data suku tahunan mengenai petunjuk-petunjuk utama keteguhan kewangan, termasuk modal dan pinjaman tidak berbayar mereka. Pendedahan maklumat seperti ini akan melengkapi penerbitan petunjuk-petunjuk utama bulanan mengenai keteguhan kewangan bank perdagangan, syarikat kewangan dan bank saudagar. Bank Negara juga akan mengumpul dan menerbitkan jadual-jadual yang menunjukkan petunjuk-petunjuk utama setiap institusi perbankan berdasarkan data yang diterbitkan oleh mereka untuk keperluan pasaran; dan

Keenam: Piawaian peruntukan dan klasifikasi pinjaman akan diperbaiki sejajar dengan amalan antarabangsa. Berkuatkuasa daripada tahun kewangan bermula 1 Januari 1998, institusi perbankan dikehendaki menyediakan peruntukan sebanyak 20% terhadap pinjaman sub-standard yang tidak bercagar. Keperluan peruntukan ini akan juga merangkumi item di luar kunci kira-kira.

34. Butir-butir lanjut mengenai pakej sektor kewangan akan diumumkan oleh Bank Negara.

Kawalan Harga

35. Dalam menangani tekanan inflasi, Kerajaan akan mengekalkan sementara waktu kawalan harga ke atas beberapa barang makanan asas yang lazimnya diperlukan oleh golongan yang berpendapatan rendah sebagai satu usaha Kerajaan dalam memastikan kesejahteraan sosial ketika kegawatan ekonomi. Namun begitu dalam jangka panjang, Kerajaan akan mengkaji semula dasar kawalan harga terutamanya terhadap barangan bukan keperluan asas (non essential goods).

Pengukuhan Industri Sekuriti

36. Selaras dengan usaha berterusan untuk mengukuh dan mempercekap industri sekuriti dalam menghadapi liberalisasi dan persaingan global yang meningkat, Kerajaan menggalakkan penggabungan syarikat-syarikat dalam industri ini serta mewujudkan lebih cawangan. Di samping itu, Suruhanjaya Sekuriti telah mengarahkan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) untuk mengukuhkan peraturan dan kawal selia berkaitan dengan kecukupan modal dan perlindungan aset pelanggan.

37. Memandangkan keadaan pasaran saham yang lesu, Suruhanjaya Sekuriti dan BSKL telah meningkatkan dan memperluas pemantauan (surveillance) terhadap industri ini bagi mentaksir kecukupan dana dan bagi memastikan integriti pasaran tidak dikompromi. Kajian telah menunjukkan ketidakcekapan dalam sektor ini memerlukan perhatian serta-merta dan, dalam setengah-setengah kes, memerlukan pengenaan had urus niaga. Banyak syarikat broker saham memerlukan penambahan modal yang ketara bagi memenuhi piawaian berhemat yang dikenakan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Ini merupakan sebahagian daripada sebab saya memberi amaran semasa pembentangan Belanjawan tahun lalu bahawa firma-firma yang tidak mempunyai modal yang cukup untuk membiayai urus niaga mereka perlu mengurangkan aktiviti mereka atau bergabung segera. Suruhanjaya Sekuriti telah menetapkan parameter bagi BSKL melaksanakan usaha-usaha penggabungan dan permodalan semula firma-firma broker saham.

Mengukuhkan Ketelusan

38. Satu isu semasa yang diketengahkan oleh pasaran ialah ketidaktelusan dalam penggubalan dasar. Di sini, saya ingin menjamin bahawa Kerajaan adalah komited sepenuhnya kepada ketelusan di dalam operasi sektor awam dan swasta. Sejajar dengan ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:-

(i) Keterbukaan

          Syarikat-syarikat adalah diperlukan untuk membekal maklumat-maklumat yang lebih kerap, tepat dan menyeluruh mengenai kedudukan dan prestasi syarikat termasuk berkaitan dengan pemegang-pemegang saham dan kedudukan pinjaman. Pendedahan maklumat ini hendaklah dibuat sekurang-kurangnya setiap suku tahun. Di samping itu, syarikat-syarikat dikehendaki mematuhi peraturan-peraturan di bawah Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia dan Yayasan Laporan Kewangan. Untuk meningkatkan kecekapan penyebaran maklumat, BSKL akan membantu dalam melaksanakan satu Sistem Pengurusan Data Elektronik. Sebagai satu lagi langkah bagi meningkatkan ketelusan, BSKL sedang mengkaji semula dasar-dasar, garis panduan dan keperluan penyenaraian untuk memastikan supaya ianya lebih jelas.


(ii) Pengurusan Korporat

          Satu pembelajaran daripada krisis semasa ialah pelaksanaan deregularisasi dan liberalisasi tidak harus diadakan tanpa komitmen kepada pengurusan korporat yang bertanggungjawab. Pemantauan yang berkesan serta sistem kawal selia yang seimbang merupakan komponen terpenting bagi sesebuah syarikat yang diuruskan dengan baik. Kerajaan sedar akan kebimbangan tentang pengabaian para pengarah syarikat mengenai tanggungjawab moral dan tatalaku mereka, ketidakberkesanan pengarah-pengarah bebas dalam mengawalselia salahlaku pengurus milik (owner managers) dan kekurangan ketelusan syarikat-syarikat dalam proses membuat keputusan. Justeru itu, Kerajaan berazam mewujudkan satu rangka piawaian pengurusan korporat dan amalan-amalan terbaik bagi industri.

          Kerajaan sedar bahawa pengurusan korporat yang bertanggungjawab bukan hanya dikaitkan dengan penambahan peraturan dan undang-undang. Suasana perniagaan yang cekap dan berkesan memerlukan perseimbangan di antara kawal selia sendiri dan kawal selia Kerajaan. Sehubungan ini, saya ingin mengumumkan bahawa suatu Jawatankuasa Kewangan Peringkat Tertinggi akan ditubuhkan. Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan diwakili dari berbagai agensi pengawal selia dan kumpulan industri termasuk Gabenor Bank Negara Malaysia, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Pendaftar Syarikat, Pengerusi Bursa Saham Kuala Lumpur, Pengerusi Yayasan Laporan Kewangan, Pengerusi Federation of Public Listed Companies, Pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia, pengerusi Persatuan Bank-Bank Saudagar Malaysia, Persatuan Broker Saham dan dua orang wakil daripada badan profesional. Jawatankuasa akan mengemukakan perakuan mereka selewat-lewatnya pada penghujung bulan Jun tahun ini.

(iii) Kajian Kod Pengambilalihan Dan Penggabungan


          Pada masa ini, Suruhanjaya Sekuriti sedang mengkaji semula Kod Pengambilalihan dan Penggabungan yang sedia ada untuk mempertingkatkan kejelasan, ketelusan dan perlindungan pemegang saham minoriti.

          Melalui kajian ini Suruhanjaya Sekuriti akan mengemukakan perakuan-perakuan untuk meningkatkan lagi taraf tatalaku komersial (high standards of commercial behaviour) sejajar dengan taraf antarabangsa. Ini adalah untuk memastikan supaya pemegang saham minoriti diberi peluang yang adil dan saksama untuk membuat pertimbangan mengenai kebaikan dan kelemahan sesuatu tawaran untuk memudahkan mereka membuat keputusan sama ada untuk menjual atau memegang saham mereka di dalam sesuatu pengambilalihan.

          Di samping itu, pihak Suruhanjaya Sekuriti juga sedang mengkaji semula Nota Praktis termasuk nota-nota yang berkenaan dengan pemberian pengecualian untuk tujuan yang sama, iaitu untuk mempertingkat ketelusan dan perlindungan pemegang saham minoriti.


(iv) Transaksi Di Antara Pihak-pihak Yang Berkaitan dan Pihak-Pihak Yang Mempunyai Kepentingan


          Walaupun Kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat urus niaga di antara syarikat-syarikat tersenarai dengan pihak-pihak yang berkaitan ataupun pihak-pihak yang mempunyai kepentingan, Kerajaan ingin memastikan urus niaga tersebut menepati tahap piawaian kawalan korporat dan keterbukaan yang tinggi serta dijalankan atas terma-terma yang tidak merugikan syarikat-syarikat tersenarai. Urus niaga tersebut tidak dibenarkan menjejas kepentingan pemegang-pemegang saham minoriti.

          Sehubungan dengan ini, satu kajian sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Sekuriti bagi tujuan mengukuhkan peraturan-peraturan BSKL untuk mengawal urus niaga di antara pihak-pihak yang berkaitan dan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan. Tanggungjawab penasihat-penasihat korporat bebas di dalam urus niaga tersebut akan diperluaskan untuk memastikan ianya tidak merugikan pemegang-pemegang saham minoriti. Selain daripada itu, hak-hak pengundian pihak-pihak yang mempunyai kepentingan akan dijelaskan. Suruhanjaya Sekuriti akan juga menyemak pekeliling kepada pemegang-pemegang saham, termasuk pekeliling nasihat bebas, untuk memastikan keterbukaan yang mencukupi dan pematuhan kepada peraturan urus niaga di antara pihak-pihak yang berkaitan dan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan. Tindakan tegas, termasuk sekatan terhadap penerimaan permohonan bagi cadangan korporat, akan dikenakan terhadap mereka yang tidak mematuhi tatacara korporat yang baik dan mereka yang tidak mengambil kira kepentingan pemegang-pemegang saham minoriti.

(iv) Memperbaiki Prosedur-Prosedur Penswastaan


Dasar penswastaan akan diteruskan untuk menjamin kecekapan, mengurangkan beban Kerajaan, dan mempastikan mutu perkhidmatan yang lebih baik. Berdasarkan pengalaman program penswastaan, prosedur serta kaedah pemilihan dan penawaran akan diperbaiki berasaskan dasar yang lebih telus dan jelas.


(v) Meliberalisasikan Pelaburan


          Dalam usaha meliberalisasikan halangan-halangan pelaburan demi memperluaskan persaingan dan mempercepatkan pemulihan aliran modal, dasar akan menumpukan ke arah berikut:

· Meningkatkan persaingan dalam aktiviti-aktiviti perniagaan tempatan khususnya bagi produk yang tertakluk kepada pengawalan harga; dan
· Mengurangkan sekatan pelaburan (tempatan dan asing) dalam sektor kewangan serta dalam sektor-sektor utama lain. Langkah ini bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan modal dan meningkatkan keberkesanan. Sehubungan itu, kita telahpun meningkatkan had ke atas pelaburan asing dalam sektor telekomunikasi (49%), sektor insurans (51%) dan industri pembrokeran saham (49%).

Kerjasama Serantau Menangani Kegawatan Kewangan Serantau

39. Di peringkat ASEAN, negara-negara anggota telah bersetuju memperkukuh usaha-usaha kerjasama serantau untuk menstabilkan pasaran kewangan dan mengelakkan kesan penularan atau 'contagion effect'. Di antara usaha-usaha kerjasama serantau yang diambil ialah :
(a) Selaras dengan prinsip di bawah Rangka Kerja Manila (Manila Framework), Mekanisme Pengawasan ASEAN (ASEAN Surveillance Mechanism) telah ditubuhkan bertujuan memantau atau mengawasi pasaran kewangan serantau dan mengikuti perkembangan kewangan global yang mempunyai implikasi kepada rantau ini. Kerjasama serantau dalam menyediakan sumber-sumber kewangan peringkat kedua (second line of defense) untuk menampung sumber-sumber yang disediakan oleh institusi-institusi kewangan antarabangsa seperti Kumpulan Wang Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB), telah juga dilaksanakan;

    (b) Penggunaan Mata Wang Serantau dalam Penyelesaian Perdagangan Intra-ASEAN. Persetujuan telah dicapai di kalangan negara-negara anggota ASEAN untuk menggunakan mata wang serantau dalam penyelesaian perdagangan intra-ASEAN. Sebagai merealisasikan persetujuan ini, negara-negara ASEAN akan menggunakan mekanisme Peraturan Pembayaran Duahala (Bilateral Payment Arrangements – BPA). Mekanisme ini telah digunakan dengan jaya dalam meningkatkan perdagangan di kalangan negara Selatan-Selatan. Peraturan ini akan dilaksanakan pada mulanya di peringkat duahala, dan dikembangkan kemudiannya ke peringkat multilateral;

      (c) Pembangunan Pasaran Bon Rantau Asia. Negara-negara anggota ASEAN telah bersetuju untuk menerajui usaha-usaha mempergiatkan pembangunan pasaran bon di rantau Asia. Sebagai permulaan, negara-negara ASEAN yang bersedia akan memulakan kerjasama dengan negara-negara Asia lain yang mempunyai pasaran bon yang lebih maju ke arah membangunkan pasaran bon serantau ini;

        (d) Skim Kemudahan Jaminan Kredit Pelbagaihala. Singapura dan Malaysia telah menyertai skim kemudahan jaminan kredit pelbagaihala untuk membantu Indonesia. Sumbangan ini bertujuan untuk membantu Indonesia membiayai pengimportan barangan keperluan, termasuk makanan, ubat-ubatan dan bahan-bahan untuk pengeluaran perindustrian.

        PENUTUP

        Tuan yang Dipertua,

        40. Kita harus menerima hakikat bahawa negara dan rantau ini sedang mengalami keadaan getir yang memerlukan ketabahan dan kecekalan serta semangat pengorbanan dari segenap lapisan masyarakat. Kita mengakui sepenuhnya kepayahan yang dialami oleh rakyat keseluruhannya. Langkah-langkah yang dikemukakan mungkin dirasakan lebih perit oleh golongan tertentu. Namun, kita semua harus bersatu hati dan tekad, bersedia dan sanggup menelan ramuan yang pahit tetapi, insya Allah, mujarab dalam memulihkan ekonomi negara. Ini bukanlah kali pertama negara menghadapi cabaran seperti ini, dan ia pasti bukan yang terakhir. Dalam menghadapi krisis ini, yang teruji ialah daya tahan kita sebagai suatu bangsa yang bersatu padu dan berwawasan. Justeru kerana ia telah mendedahkan beberapa kelemahan dan kepincangan dalam sesetengah institusi tatanegara, kita harus mengambil iktibar dan memanfaatkan pengalaman ini untuk memperkasa negara dan masyarakat ke arah masa depan yang lebih teguh dan mampan.


        Terima kasih.


        Kementerian Kewangan
        Tarikh: 24 Mac 1998

        Lampiran 1
        Imbangan Pembayaran
        (RM bilion)


        1996
        1997a
        1998r
        Akaun Dagangan 10.2 11.1 27.6
        Akaun Perkhidmatan -19.5 -20.8 -25.3
        Fret dan Insurans -8.5 -8.9 -10.1
        Pengangkutan lain 1.5 2.4 2.9
        Perjalanan dan Pendidikan 4.8 3.8 5.5
        Pendapatan Pelaburan -11.7 -13.5 -19.3
        Perkhidmatan Lain -5.5 -4.6 -4.2
        Bayaran Pindahan -2.9 -3.7 -3.8
        Akaun Semasa -12.3 -13.4 -1.4
        (% daripada KNK) -5.1 -5.1 -0.5
        Imbangan Modal Jangka Panjang 13.5 18.7 10.7
        Imbangan Asas 1.2 5.3 9.3
        Imbangan Modal Jangka Pendek 10.3 -14.2
        Ralat dan Ketinggalan -5.3 -2.0
        Imbangan Keseluruhan 6.2 -10.9
        Rizab BNM 70.0 59.1
        Bulan import tertangguh 4.6 3.4

            Angka mungkin tidak tepat kerana pembulatan
            a Anggaran
            r Ramalan

        Bayaran Balik Pinjaman dan
        Bayaran Balik Awal Pinjaman Kerajaan Persekutuan, 1997
        RM Juta
        Bayaran Balik 6,280.0
        Pinjaman Dalam Negeri
        5,048.0
        Pinjaman Luar
        1,232.0
        Bayaran Balik Awal 911.4
        Pinjaman Pasaran
        (i) 1996 Yen 4,720 Pinjaman Berjangka
        92.2
        (ii) 1996 Yen 3,960 juta Pinjaman Berjangka
        77.0
        Pinjaman Projek
        (i) MX111-1 Yen 19,444 juta (KTM)
        93.2
        (ii) MX111-2 Yen 32,498 juta (basmi kemiskinan)
        649.0

        Lampiran 3

        Petunjuk-Petunjuk Ekonomi Utama Negara-negara ASEAN Terpilih

        1996
        1997
        1998
        Pertumbuhan KDNK Benar (%)
        Singapura
        6.9
        7.8
        2.5 hingga 4.5
        Malaysia
        8.6
        7.8
        2.0 hingga 3.0
        Thailand
        5.5
        -0.4
        -3.0 hingga –3.5
        Indonesia
        8.0
        7.5
        0
        Filipina
        5.7
        5.1
        2.4 hingga 3.5
        Kadar Inflasi
        Singapura
        1.4
        2.0
        2.5
        Malaysia
        3.5
        2.7
        7 hingga 8
        Thailand
        5.9
        5.6
        11.6
        Indonesia
        7.6
        6.6
        20.0
        Filipina
        8.4
        5.1
        7.5 hingga 8.5
        Imbangan Akaun Semasa
        (% kepada KNK)
        Singapura
        +15.7
        +15.2
        Tiada
        Malaysia
        -5.1
        -5.1
        -0.5
        Thailand
        -7.9
        -2.2
        +3.9
        Indonesia
        -3.3
        -2.7
        -2.6
        Filipina
        -4.7
        Tiada
        Tiada
        Pengangguran
        Singapura
        2.0
        1.8
        3.0
        Malaysia
        2.8
        2.8
        3.5
        Thailand
        2.0
        1.1
        Tiada
        Indonesia
        4.9
        Tiada
        Tiada
        Filipina
        8.4
        7.2
        8.3
        Imbangan Sektor Awam
        (% kepada KNK)
        Singapura
        8.4
        8.3
        Tiada
        Malaysia*
        4.2
        3.4
        2.1
        Thailand
        2.2
        1.9
        Tiada
        Indonesia
        Tiada
        Tiada
        Tiada
        Filipina
        0.1
        0.3
        Tiada
        Sumber: World Economic Outlook December 1997

            National Authorities
            * Imbangan Sektor Awam di Malaysia termasuk kedudukan kewangan Sektor Kerajaan dan Perusahaan Awam Bukan Kewangan
        Terakhir Dikemaskini Isnin, 10 November 2008 10:02
         

        Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox 3.6 dan Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1024x768.
        Anda memerlukan perisian Adobe Flash Player   dan Adobe Acrobat Reader untuk paparan sesetengah aplikasi di portal ini.
        Hak Cipta © 2011, MOF. Hakcipta Terpelihara
        Dibangun dan disenggarakan oleh Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Perbendaharaan Malaysia.


        logo