
| Sekapur Sirih Seulas Pinang Majlis Anugerah Mutiara Budi |
|
|
|
SEKAPUR SIRIH SEULAS PINANG MAJLIS ANUGERAH MUTIARA BUDI
TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA 21 Mac 2007
Tetamu Kehormat yang kita raikan Y.Bhg Tan Sri-Tan Sri/Puan Sri/Datuk-Datuk/Datin-Datin Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Pertama-tama marilah kita memanjatkan rasa syukur kita ke hadrat Allah s.w.t. atas limpah rahmat dan inayah-Nya, kita diberikan nikmat kesihatan, dan dengan izin-Nya, setiap kita dapat hadir ke majlis yang cukup bermakna ini. Ayam hutan terbang ke hutan 2. Majlis Jasamu Dikenang diilhamkan sebagai tanda menghargai jasa dan sumbangan. Di sekitar kita ramai sekali mereka yang tidak pernah jemu menabur budi kepada pertiwi. Mereka miliki azam dan meletakkan upaya diri dalam pelbagai rupa bakti. Penghargaan Kementerian Kewangan ini adalah cuma secebis tanda, ditinta bukan dengan wang ringgit tetapi dengan sebuah mesra rasa. Mereka itu mungkin telah menerima aneka pengiktirafan dan penghargaan dari luar sana, organisasi dan institusi. Kami terpanggil mahu menghargai sama, suatu ingatan kepada individu-individu yang berjasa dalam bidang sosio-ekonomi. Budi ditabur bagaikan urutan mutiara atau permata tersusun, kemilau cahaya menyinari kota dan dusun, bakti terasa dorongan rakyat melangkah, pertiwi mara dengan kejayaan datang dari segala arah. 3. Kami namakan anugerah ini dengan nama Anugerah Mutiara Budi. Anugerah itu pengiktirafan daripada kami, manakala mutiara budi datangnya daripada anda yang bestari dan kukuh akal budi. 4. Biarlah majlis ini mengadunkan antara ekonomi dengan budaya, menyulam seni dan sastera, menyirat puisi dengan lagunya, menjalin "seuntai kata, selembar bicara" dari tokoh bijaksana buat santapan sukma, dan kita akan jadikan persembahan multimedia laksana ikatan budi di sisi jasa. Plak dan sijil dihulur seikhlas pancaran hati, dan dengan kehadiran kita ke mari meraikan dan mensyukuri bersama akan rahmat dan nikmat Ilahi. 5. Hari ini kita meraikan seorang putera Muar yang dilahirkan kira-kira 79 tahun yang lalu. Beliau adalah Y Bhg. Tan Sri Arshad Ayub. Arshad sedari awal terbentuk peribadinya menjadi anak muda yang gigih, sedar akan jerih perit kehidupan bangsanya, lalu berusaha sehingga berjaya. Beliau telah membuktikan dirinya selalu sedia berbakti, berbudi dan menabur jasanya kepada pertiwi di mana sahaja ditempatkan atau di mana jua berada. 6. Suasana perjuangan kemerdekaan tanah air dan kedaifan kehidupan bangsanya membuktikan seorang anak Johor ini ikut berada di gelanggang perubahan nasib nusa bangsanya. Beliau bergerak melalui aneka bidang yang mencabar. Sekadar sedikit menyebut, kerjayanya bermula daripada Penolong Pegawai di RIDA menjadi seorang pegawai MCS (kini PTD) menerajui institusi pendidikan, Kementerian-Kementerian, terlibat secara langsung dalam dasar-dasar kewangan negara, perancangan ekonomi, perusahaan, pertanian dan pembangunan wilayah. Beliau pernah memegang jawatan Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi, juga Ketua Setiausaha, Kementerian Perusahaan Utama dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian serta memajukan peranan syarikat-syarikat dagang yang besar. Beliau masih cergas sehingga sekarang. 7. Pada hemat saya, jasa bakti seseorang memang perlu dikenang. Kenangan itu bermakna pengiktirafan dan boleh dibuat dalam pelbagai rupa penghargaan. Kami hanya melakukan salah satu daripada banyak cara pengiktirafan dan penghargaan. Kami merasakan, selain memberi penghargaan kepada tokoh yang terpilih, majlis serupa ini tidak syak lagi adalah jua suatu landasan peringatan. Ya, landasan peringatan kepada generasi muda, angkatan pelapis dan penerus masa depan kehidupan bangsa dan kemajuan negara. 8. Nasionalisme, patriotisme dan jiwa kental perjuangan menegak dan mempertahankan nusa mesti dipupuk berpanjangan. Kesedaran sejarah dan upaya mengutip iktibar dari jatuh bangunnya perjuangan negara dan mempelajari pengalaman tokoh-tokoh berjasa akan banyak membantu pemimpin pelapis dalam semua perkara. 9. Hasrat kami ini juga selaras dengan penekanan terhadap pembangunan modal insan yang ditekankan YAB Perdana Menteri. Kami mulakan program ini bersesuaian pula dengan sambutan ulangtahun ke-55 Perbendaharaan Malaysia. Angka 55 seperti umur asal kita bersara, tetapi Perbendaharaan Malaysia tidak akan bersara. Banyak tugas lagi yang belum selesai. Sesungguhnya hari ini kita mengenangi dan meraikan mereka yang tidak pernah bersara dari menabur jasa! Mereka itu terus mara tanpa mengira masa, menabur bakti kepada negara! Hadirin sekalian, 10. Akhir kata, terima kasih saya kepada para hadirin sekalian yang dapat meluangkan masa hadir ke sini. Kepada Tan Sri serangkap pantun:- Banyak duri perkara duri
Kuning emas masaknya padi Akar keladi melilit selasih Terima kasih kepada Jawatankuasa penyelenggara dan semua yang membantu. Sekian, terima kasih. Wabillahittaufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|
| Terakhir Dikemaskini Isnin, 13 Februari 2012 12:00 |













