wrapper

Topik Popular

Insentif Membeli/Mengimport Kereta Di Bawah Program Malaysia My Second Home (MM2H)

  • Berapakah had harga maksimum kereta yang boleh dibeli di bawah insentif ini?

    Tiada harga maksimum ditetapkan bagi membeli sebuah kereta yang dibuat/dipasang di Malaysia.
  • Berapakah kapasiti maksimum kereta yang boleh dibeli di bawah insentif ini?

    Tiada had maksimum ditetapkan.
  • Bolehkah kereta yang telah diluluskan pengecualian duti/cukai dijual/ditukar hak milik?

    Peserta perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Perbendaharaan sebelum kereta yang telah diluluskan itu dijual/ditukar hak milik.
  • Bolehkah kereta yang diluluskan pengecualian duti/cukai didaftarkan di atas nama isteri pemohon iaitu seorang warganegara Malaysia?

    Kereta yang diluluskan di bawah program MM2H tidak boleh didaftarkan di atas nama isteri seorang warganegara Malaysia kerana insentif ini adalah untuk warganegara asing yang memiliki visa MM2H.
  • Saya dan isteri telah diluluskan visa MM2H, oleh kerana saya sering keluar negara, bolehkah isteri saya memohon untuk membeli kereta?

    Permohonan hendaklah dikemukakan atas nama suami dan kereta yang dipohon kelulusan boleh didaftarkan atas nama isteri yang juga memiliki visa MM2H.
  • Saya, isteri dan dua orang anak telah diluluskan visa program MM2H ini, bolehkah saya dan isteri membuat permohonan berasingan bagi membolehkan kami memiliki dua buah kereta di bawah insentif ini?

    Setiap keluarga hanya layak untuk memohon bagi membeli atau mengimport sebuah kereta sahaja.
  • Sekiranya tempoh kelulusan visa MM2H 5 tahun saya tamat, saya akan memperbaharui visa MM2H untuk tempoh 10 tahun lagi, bolehkah saya memohon pengecualian untuk sebuah lagi kereta?

    Setiap peserta hanya layak memohon sebuah kereta sahaja tanpa mengambil kira berapa kali beliau memperbaharui tempoh visa.
  • Saya seorang warganegara Australia tetapi telah lama menetap di Hong Kong, Bolehkan saya mengimport kereta yang telah digunakan di Hong Kong dan adakah dokumen tambahan diperlukan?

    Sekiranya telah menetap dalam tempoh yang lama di Hong Kong maka kereta tersebut boleh dibawa ke Malaysia di bawah program MM2H dengan memberi bukti seperti dokumen pemilikan hartanah, temporary resident card, surat sokongan/akuan dari syarikat ( jika bekerja) dan sebagainya.
  • Saya seorang warganegara Korea dan masih menetap di Korea, bolehkah saya mengimport kereta yang baru dibeli di German?

    Peserta tidak boleh mengimport kereta dari negara ketiga. Hanya boleh mengimport kereta yang sedang digunakan di negara negara asal/domisil terakhir peserta.
  • Saya telah diluluskan visa MM2H, bolehkah saya mengimport sebuah kereta baru yang dibeli dari mana-mana negara?

    Insentif ini hanya membenarkan peserta membeli kereta baru yang dibuat/dipasang di Malaysia sahaja. Manakala import adalah ke atas kereta yang sedang digunakan di negara asal/domisil terakhir peserta.
 

Permohonan Ejen Cukai

  • Apakah syarat kelayakan yang diperlukan bagi memohon kelulusan ejen cukai?

    Syarat kelayakan dan panduan bagi memohon kelulusan ejen cukai boleh didapati dari laman web.
  • Adakah salinan sijil kelayakan akademik dan profesional serta sijil kehadiran seminar / kursus / bengkel berkaitan percukaian perlu diakui sah?

    Salinan kad pengenalan, sijil kelayakan akademik dan profesional serta sijil kehadiran kursus/bengkel/seminar berkaitan percukaian perlu diakui sah oleh Pesuruhjaya Sumpah menggunakan Akuan Berkanun yang boleh di muat turun dari laman web.
  • Adakah 10 mata CPD/CPE bagi kehadiran Seminar Bajet Tahunan Terkini anjuran LHDN / MIT / MATA termasuk sekali untuk pengiraan 40 mata CPD/CPE bagi permohonan baru dan 90 mata CPD/CPE bagi permohonan pembaharuan?

    Pengiraan 10 mata bagi kehadiran Seminar Bajet Tahunan Terkini anjuran LHDN/MIT/MATA adalah termasuk sekali dalam jumlah 40 mata CPD/CPE bagi permohonan baru dan 90 mata CPD/CPE bagi permohonan pembaharuan.
  • Adakah juruaudit yang telah dilesenkan sebelum 1 Januari 2006 perlu membuat permohonan baru bagi mendapatkan kelulusan ejen cukai dan bagaimana pula dengan juruaudit yang dilesenkan selepas 1 Januari 2006?

    Juruaudit yang telah dilesenkan sebelum 1 Januari 2006 tidak perlu membuat permohonan baru, hanya perlu membuat permohonan pembaharuan kelulusan ejen cukai 4 bulan sebelum tamat tempoh kelulusan semasa. Manakala bagi juruaudit yang dilesenkan selepas 1 Januari 2006, perlu membuat permohonan baru bagi mendapatkan kelulusan ejen cukai.
  • Adakah seminar/kursus/bengkel berkaitan percukaian anjuran mana-mana pihak/persatuan diiktiraf bagi penentuan mata CPD/CPE?

    Seminar/kursus/bengkel berkaitan percukaian anjuran LHDN/MIT/ MATA/MIA/MAICSA dan MICPA sahaja yang diiktiraf bagi penentuan mata CPD/CPE.
 

Pengecualian Duti Import/Eksport

  • Bolehkah syarikat memohon pengecualian duti eksport ke atas sisa pengilangan (scrap)

    Pada umumnya, pengecualian duti eksport tidak diberikan kepada pengeksportan scrap, walau bagaimanapun bagi syarikat pengilangan yang mengeksport copper scrap di bawah kod tarif 7404.00 000 boleh dipertimbangkan duti eksport tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

    1. Mendapat AP yang sah dari MITI dan diendoskan oleh Jabatan Kastam dalam Borang K2 untuk satu tempoh yang sah;
    2. Copper scrap tersebut hendaklah terhasil daripada bahan mentah yang diimport dan perlu dipulangbalik kepada syarikat pembekalnya yang mensyaratkan sisa-sisa tersebut dipulangbalik kepada pembekal asal atau mana-mana pihak yang dibenarkan oleh pembekal asal; dan
    3. Menghasilkan copper scrap yang tidak boleh atau tidak sesuai untuk ditebus-guna oleh syarikat tempatan.

  • Bolehkah syarikat mendapat pengecualian duti import/cukai jualan bagi kerja sub-kontrak untuk luar negara?

    Permohonan untuk pengecualian duti/cukai bagi kerja sub-kontrak untuk luar negara boleh dikemukakan terus kepada SMIDEC dengan satu salinan kepada Bahagian Analisa Cukai, Kementerian Kewangan. Permohonan akan dipertimbangkan oleh Kementerian setelah menerima penilaian dari SMIDEC.
  • Bolehkah syarikat memohon untuk mendapatkan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas mesin/peralatan yang tidak digunakan secara langsung dalam aktiviti pengeluaran syarikat?

    Pengecualian duti/cukai hanya diberi ke atas bahan mentah/komponen serta mesin/peralatan yang digunakan secara langsung dalam aktiviti pengilangan syarikat.

    Di samping itu, pengecualian duti/cukai ke atas peralatan cleanroom juga dipertimbangkan atas asas bahawa walaupun peralatan tersebut tidak digunakan secara langsung dalam aktiviti pengilangan tetapi ia perlu bagi menjamin kawasan pengilangan bebas dari habuk dan gangguan pancaran elektrik. Pihak syarikat boleh berhubung secara terus dengan Jabatan Kastam bagi mendapatkan senarai peralatan cleanroom yang dikecualikan duti import/cukai jualan.

  • Bolehkah syarikat yang berstatus LMW/FIZ mendapat pengecualian duti import ke atas jualan keluaran siapnya ke Kawasan Utama Kastam (PCA)?

    1. Penjualan barangan pengguna dan barangan perantaraan yang ada dikeluarkan di Kawasan Utama Kastam (PCA) dikenakan duti import pada kadar bersamaan kadar CEPT;
    2. Penjualan barangan pengguna dan barangan perantaraan yang ada dikeluarkan di PCA tetapi mengandungi nilai bahan tempatan melebihi 51% dan bahan tempatan tersebut diperolehi daripada syarikat rakyat Malaysia melebihi 51% adalah dikenakan duti import 5% a.v. atau kadar bersamaan duti eksais mengikut mana yang lebih tinggi (bagi keluaran yang tertakluk kepada duti eksais). Bagi barangan yang tidak mencapai kandungan bahan tempatan melebihi 51% tetapi mencapai sekurang-kurangnya 40%, kelonggaran boleh dipertimbangkan berdasarkan merit sesuatu kes;
    3. Penjualan barangan pengguna yang tiada dikeluarkan di PCA dikenakan duti import 3% a.v.; dan
    4. Penjualan barangan perantaraan yang tiada dikeluarkan di PCA diberi pengecualian duti import sepenuhnya atau dikenakan duti import 3% a.v. mengikut dasar semasa yang terpakai bagi pengecualian duti import ke atas bahan mentah/komponen dan mesin/peralatan bagi sektor pengilang di PCA. Bagi permohonan untuk membayar duti import di bawah kadar CEPT, syarikat hendaklah mengisi borang PC(3) di MIDA. Permohonan akan dipertimbangkan oleh Perbendaharaan setelah menerima penilaian dari MIDA. Permohonan untuk membayar duti import pada kadar CEPT hendaklah dikemukakan terus kepada Jabatan Kastam.

 

Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST)

  • Apakah GST?

    Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST adalah cukai kepenggunaan berasaskan konsep nilai tambah. Berbeza dengan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang merupakan cukai seperingkat, GST adalah cukai berperingkat. Pembayaran cukai dibuat di setiap peringkat oleh perantara dalam proses pengeluaran dan pengedaran.

    Cukai itu sendiri bukan merupakan suatu kos kepada perantara kerana mereka boleh menuntut kembali GST yang telah dikenakan ke atas input perniagaan mereka. GST dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan termasuk pengimportan barang dan perkhidmatan.

  • Adakah ia merupakan satu cukai baru?

    Tidak, ia adalah cukai untuk menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) semasa.
  • Mengapa Kerajaan ingin melaksanakan GST? Mengapa sekarang?

    Kebanyakan negara telah melaksanakan GST/VAT kerana tidak berpuas hati dengan struktur cukai kepenggunaan mereka. Ketidakpuasan ini adalah kerana salah satu atau kesemua perkara-perkara berikut:

    1. Cukai kepenggunaan dalam bentuk cukai jualan yang sedia ada tidak memuaskan;
    2. Permintaan untuk mengurangkan kadar cukai lain; atau
    3. Sistem cukai yang sedia ada tidak seiring dengan pembangunan ekonomi.

    Bagi Malaysia, pengenalan GST adalah merupakan sebahagian daripada program penyusunan semula cukai oleh Kerajaan ke arah menjadikan sistem percukaian lebih cekap, berkesan, telus, mesra perniagaan dan berupaya menjana punca hasil yang stabil. GST adalah menggantikan cukai kepenggunaan semasa yang terdiri daripada SST. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kewangan, GST boleh mengatasi pelbagai kelemahan yang wujud di bawah SST iaitu:

    1. Isu pindahan harga dan pindahan nilai;
    2. Tiada pelepasan cukai sepenuhnya ke atas barang yang dieksport;
    3. Tidak menggalakkan integrasi menegak; dan
    4. Karenah birokrasi.

    Gambarajah 1: Kesan cukai bertindih (SST)

    Gambarajah 2: Kesan cukai bertindih (cukai perkhidmatan)

    Mengapa sekarang? Kini terdapat pelbagai pengalaman untuk dipergunakan. Dalam erti kata lain, peluang untuk melaksanakan GST dengan jayanya adalah tinggi kerana Malaysia boleh mengambil pengalaman negara-negara lain untuk membangunkan model GST Malaysia. Selama bertahun-tahun, GST/VAT telah diterima pakai sebagai satu bentuk percukaian yang utama. Pada masa ini, terdapat  lebih daripada 160 negara telah melaksanakan GST/VAT.

  • Apakah kepentingan GST?

    GST merupakan satu sistem percukaian yang lebih baik. Ia lebih telus, cekap, berkesan, berkawalan kendiri dan kurang birokrasi. GST akan menghapuskan cukai berganda di bawah SST. Pengguna akan membayar harga yang lebih berpatutan bagi kebanyakan barang dan perkhidmatan berbanding dengan SST.

    Bagi perniagaan, kos dalam menjalankan perniagaan dapat dikurangkan kerana GST yang dikenakan ke atas input perniagaan mereka dapat dituntut semula. Sebagai contoh, di bawah sistem percukaian semasa, kebanyakan pengilang tidak dibenarkan menuntut semula cukai perkhidmatan ke atas telekomunikasi, perakaunan dan perkhidmatan guaman, dan cukai jualan ke atas input tidak langsung seperti peralatan pejabat dan perabot. Cukai-cukai ini adalah terselindung di dalam harga barang yang dijual. Oleh itu, kos untuk menjalankan perniagaan meningkat.

    Di bawah sistem GST, mana-mana GST yang dikenakan ke atas perolehan boleh dituntut semula dan tidak merupakan kos perniagaan. Dengan yang demikian, eksport Malaysia akan menjadi lebih berdaya saing di pasaran global memandangkan tiada GST dikenakan ke atas pengeksportan barang dan perkhidmatan. Ini akan mengukuhkan sektor eksport yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

  • Adakah semua barang dan perkhidmatan dikenakan GST?

    Tidak semua barang dan perkhidmatan akan tertakluk kepada GST. Beberapa makanan utama dan kemudahan asas seperti beras, ayam, ikan, daging, sayur-sayuran, gula, tepung dan minyak masak adalah bebas daripada cukai. Sementara itu, jual beli dan penyewaan hartanah pertanian dan rumah kediaman dan perkhidmatan seperti perkhidmatan kesihatan dan pendidikan swasta serta pengangkutan awam adalah dikecualikan daripada GST.
  • Adakah GST dikenakan ke atas eksport?

    Tidak. Untuk menjadikan eksport negara lebih berdaya saing, GST ke atas eksport akan berkadar sifar dan pengeksport boleh mendapatkan semua cukai input yang ditanggung dalam menjalankan perniagaannya.
  • Apakah mekanisme GST?

    GST adalah cukai yang dikenakan ke atas pembekalan (termasuk jualan) barang dan perkhidmatan yang dibuat di Malaysia dan ke atas pengimportan barang dan perkhidmatan ke Malaysia. Walaupun GST dikenakan ke atas harga jualan barang atau perkhidmatan, jumlah yang akan dibayar kepada Kerajaan hanyalah atas nilai tambah barang atau perkhidmatan di setiap peringkat rantaian pengedaran/bekalan. Nilai tambah adalah nilai yang pengeluar (sama ada pengilang atau pengedar dan lain-lain) tambah kepada bahan mentah atau pembelian sebelum menjual produk atau perkhidmatan baru atau yang telah diperbaiki. Untuk membolehkan ini, GST menggunakan mekanisme penolakan (offset) kredit cukai di mana GST yang dikenakan ke atas output perniagaan (contohnya jualan produk yang dikilangkan atau perkhidmatan yang dibekalkan) ditolak daripada GST yang dibayar ke atas barang atau perkhidmatan yang diperolehi sebagai input (contohnya bahan mentah atau utiliti yang digunakan dalam pengilangan) oleh perniagaan. GST yang dikenakan ke atas output dipanggil cukai output. Manakala, GST yang dikenakan ke atas perolehan dipanggil cukai input. Mekanisme secara offsetting ini adalah untuk memastikan GST yang dibayar oleh perniagaan boleh diperolehi semula dan dengan itu membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

    Gambarajah 1: Cukai input dan cukai output

    Terdapat tiga jenis pembekalan yang disenaraikan di bawah GST iaitu:

    1. Pembekalan berkadar standard adalah pembekalan bercukai barang dan perkhidmatan yang tertakluk kepada kadar positif;
    2. Pembekalan berkadar sifar adalah pembekalan yang tertakluk kepada kadar sifar yang mana tidak dikenakan GST pada peringkat output atau input; dan
    3. Pembekalan dikecualikan adalah pembekalan yang tidak tertakluk kepada GST pada peringkat output iaitu apabila dibekalkan kepada pengguna. Walau bagaimanapun, GST yang dibayar ke atas input oleh perniagaan tidak boleh dituntut sebagai kredit cukai.

    Gambarajah 2: Pembekalan berkadar standard

    Gambarajah 3: Pembekalan berkadar sifar

    Gambarajah 4: Pembekalan dikecualikan

  • Apakah kadar GST di negara ASEAN?

    Kadar GST di negara ASEAN adalah seperti berikut:

  • GST membawa banyak faedah kepada rakyat, peniaga dan negara. Sekiranya begitu, mengapakah ianya tidak dilaksanakan dari dulu lagi? Mengapa sekarang?

    Di awal tahun 1990an, terdapat sumbangan hasil di antara cukai langsung dan cukai tidak langsung yang seimbang. Sebagai contoh, pada tahun 1990, sumbangan daripada cukai langsung adalah 35.2% dan dari cukai tidak langsung 36.7%. Walau bagaimanapun, dengan adanya Dasar Liberalisasi Perdagangan pada tahun 1990an, nisbah ini telah berubah dengan mendadak dan pada tahun 2012, sumbangan daripada cukai langsung adalah 56.4% manakala dari cukai tidak langsung adalah 17.2%. Kajian oleh pakar-pakar ekonomi menunjukkan bahawa terlampau bergantung ke atas sesuatu cukai tertentu akan membawa kepada kesan yang buruk ke atas kedudukan kewangan negara. Pada masa ini, Malaysia lebih bergantung ke atas cukai langsung dan hasil petroleum dan sekarang adalah masa yang bersesuaian untuk Kerajaan mengambil langkah bagi menstruktur semula sistem percukaian bagi memperbetulkan ketidakseimbangan. Salah satu langkah ialah dengan memperkenalkan GST yang merupakan satu sistem yang lebih efisyen berbanding dengan sistem percukaian semasa.

    Dalam bajet 2005, Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan GST. Walau bagaimanpun, ia telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Di dalam bulan Disember 2009, Rang Undang-Undang GST telah dibentangkan di Dewan Rakyat untuk Bacaan Pertama dan dalam tahun 2010, pelaksanaan GST telah ditunda untuk:

    1. Membolehkan Kerajaan untuk melibatkan secara inklusif dengan semua segmen rakyat; dan
    2. Mengambilkira kepentingan dan kebajikan masyarakat bagi memastikan pelaksanaan GST dapat diterima baik.

    Walaupun terdapat penangguhan, Kerajaan mengakui kepentingan GST bagi memastikan kedudukan fiskal yang kukuh dan berdaya tahan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dalam tempoh jangka panjang.

    Kini terdapat pelbagai pengalaman untuk dipergunakan. Dalam erti kata lain, peluang untuk melaksanakan GST dengan jayanya adalah tinggi kerana Malaysia boleh mengambil pengalaman negara-negara lain untuk membangunkan model GST Malaysia. Selama bertahun-tahun, GST/VAT telah diterima pakai sebagai satu bentuk percukaian yang utama. Pada masa ini, terdapat lebih daripada 160 negara telah melaksanakan GST/VAT.

  • Bilakah masa yang sesuai untuk Kerajaan melaksanakan GST?

    Dari pandangan pakar ekonomi Malaysia, sekarang adalah masa yang sesuai bagi Kerajaan melaksanakan GST. Terdapat juga sesetengah pihak yang berpandangan bahawa GST hanya sesuai dilaksanakan apabila Malaysia mencapai status negara maju. Dari aspek sistem percukaian, yang menjadi pertimbangan utama adalah untuk mengatasi kelemahan yang sedia ada dalam sistem percukaian semasa khususnya cukai jualan dan cukai perkhidmatan. Pada masa ini, terdapat lebih daripada 160 negara yang melaksanakan GST sebagai satu usaha ke arah sistem percukaian yang lebih cekap dan berkesan. Pelaksanaan GST akan menyumbang ke arah Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.

  • Apakah impak GST ke atas barang yang diimport? Adakah ia akan menjadikan barang yang diimport menjadi lebih murah atau lebih mahal?

    Pada masa ini, barang yang diimport adalah tertakluk kepada duti import dan cukai jualan melainkan ia dikecualikan. Di bawah GST, barang yang diimport masih tertakluk kepada duti import tetapi cukai jualan akan digantikan dengan GST. Samada barang import tersebut menjadi lebih murah atau mahal akan bergantung ke atas beberapa faktor selain daripada kadar GST.

  • Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan untuk memastikan GST dapat dilaksanakan dengan lancar?

    Kerajaan telah memberi masa yang mencukupi kepada peniaga untuk bersiap sedia melaksanakan GST. Pendidikan, latihan, program kesedaran dan lawatan khidmat nasihat mengenai pelaksanaan GST telah dan akan dijalankan secara berterusan. Peniaga akan dibenarkan untuk mendaftar awal sebelum tarikh pelaksanaan GST. Sebelum pelaksanaan GST, Kerajaan akan menjalankan beberapa ujian perintis ke atas sistem. Kerajaan juga telah mewujudkan Pusat Panggilan Kastam (CCC) untuk membolehkan orang awam untuk membuat pertanyaan mengenai GST dan Portal GST akan menyampaikan maklumat berkenaan GST bagi memastikan pematuhan yang tinggi apabila GST dilaksanakan.

  • Adakah jentera kerajaan sudah bersedia untuk melaksanakan GST?

    Ya, Kerajaan telah bersiap sedia sepenuhnya untuk melaksanakan GST. Perundangan GST, infrastruktur, sistem komputer, kakitangan dan semua proses dan prosedur telah tersedia untuk pelaksanaan GST.
  • Apakah manfaat yang akan diperolehi oleh rakyat?

    Kerajaan telah menjalankan kajian impak sosial yang menunjukkan bahawa kemungkinan besar pengguna akan menanggung sedikit penambahan kepada bebanan cukai bergantung kepada corak perbelanjaan pengguna serta kadar GST yang akan ditetapkan. Untuk meringankan tambahan bebanan cukai, pakej bantuan cukai dan bukan cukai (tax and non-tax package) mungkin diberi. Walau bagaimanapun, barang-barang makanan asas seperti beras, ayam, daging, sayuran, tepung, minyak masak, gula, hartanah pertanian dan rumah kediaman, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan adalah tidak dikenakan GST.
  • Sejauh manakah benarnya GST akan membebankan rakyat?

    Tujuan memperkenalkan GST adalah untuk mewujudkan sistem percukaian lebih efektif, efisyen, telus, mesra peniaga dan berkemampuan menjana suatu hasil yang stabil. Dalam pembentukan model GST, Kerajaan amat prihatin supaya ianya tidak membebankan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan pertengahan. Oleh itu, kebanyakan barang dan perkhidmatan yang asas dan perlu kepada golongan tersebut telah dicadang untuk tidak dikenakan GST.
  • Mengapakah sukar bagi rakyat menerima GST jika sebenarnya ia memberi manfaat kepada mereka?

    Halangan yang pertama adalah cukai bukan satu topik yang popular dan secara amnya tidak semua orang suka dikenakan cukai atau perkataan “cukai” merupakan satu perkataan yang dipantangi oleh orang ramai. Walau bagaimanapun, kerajaan di seluruh dunia perlu mengenakan cukai untuk mendapatkan hasil bagi membolehkan keperluan sosial rakyat (infrastruktur, kesihatan dan pendidikan), pertumbuhan industri yang membawa kepada peluang-peluang pekerjaan, keperluan sekuriti dan sebagainya diberi. Rakyat sukar untuk menerima GST kerana kurang pengetahuan berkenaan GST dan bagaimana GST memberi manfaat kepada mereka.

    Halangan kedua adalah tahap pengetahuan berhubung GST. Bukan mudah untuk mendidik pengguna berhubung GST kerana apabila disebut bahawa GST adalah satu bentuk cukai, kebiasaannya anda akan berhadapan dengan tentangan. Oleh itu, GST serta manfaatnya hendaklah diterangkan secara berterusan kepada rakyat untuk mengelak atau menghapuskan apa-apa tanggapan atau gambaran salah yang dimaklumkan kepada mereka berkenaan GST. Ke arah itu, Kerajaan menekankan bahawa adalah penting rakyat memahami GST sebelum ianya dilaksanakan. Kini rakyat tidak sedar bahawa GST akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan semasa. Malahan, orang ramai juga tidak sedar bahawa mereka sedang membayar cukai jualan dan cukai perkhidmatan ke atas kebanyakan barang dan perkhidmatan kerana ia adalah cukai seperingkat.

  • Bolehkah anda komen ke atas kenyataan bahawa dengan GST, 12 juta tenaga kerja akan terpaksa membayar cukai?

    Pada masa ini, 12 juta tenaga kerja itu telahpun membayar cukai dalam bentuk cukai pendapatan dan SST, atau SST sahaja. GST bukan merupakan satu cukai baru, ia hanya menggantikan cukai kepenggunaan semasa yang terdiri daripada cukai jualan dan cukai perkhidmatan. Oleh itu, isu 12 juta tenaga kerja terpaksa membayar cukai tidak wujud.

  • Bagaimanakah hasil boleh bertambah sedangkan kadar cukai GST adalah lebih rendah daripada kadar SST? Adakah rakyat akan menanggung bebanan untuk membayar cukai?

    Peningkatan hasil di bawah GST berbanding dengan SST adalah disebabkan:

    1. Asas percukaian yang lebih luas;
    2. Peningkatan dalam tahap pematuhan (compliance); dan
    3. Kutipan hasil yang lebih efisyen.

    Akibat asas percukaian yang lebih luas, kemungkinan besar pengguna akan menanggung tambahan bebanan cukai bergantung kepada corak perbelanjaan pengguna serta kadar GST yang akan ditetapkan. Walau pun begitu, pakej bantuan cukai dan bukan cukai (tax and non-tax package) yang mungkin diberi dapat meringankan tambahan bebanan cukai.

  • Pada kadar 6%, pengguna akan akhirnya membayar 24% GST ke atas harga belian.

    Secara prinsipnya, kenyataan tersebut adalah tidak betul. Ini adalah kerana, GST adalah cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas nilai tambah di setiap peringkat rantaian pembekalan. Walaupun GST dikenakan di setiap peringkat rantaian pembekalan, peniaga boleh menuntut semula GST yang dikenakan ke atas input. Mekanisme tersebut bermakna pengguna akhir pada hanya membayar GST pada kadar 6% dan bukannya 24%.

    Mekanisme pengiraan GST adalah seperti berikut:

    Jadual di bawah menunjukkan contoh pengiraan GST pada setiap peringkat rantaian pembekalan pada kadar GST 6% dan margin keuntungan 20%:

    Jumlah GST yang dikutip oleh Kerajaan = RM3.00 + RM0.60 + RM0.72 = RM4.32

    GST akan dikenakan pada setiap peringkat rantaian pembekalan bermula daripada peringkat pengilangan sehingga peringkat akhir iaitu pengguna. Mekanisme pengiraan adalah seperti berikut:

    Peringkat pengilang: Menjual kepada pemborong pada harga RM50 pada kadar GST 6%. GST penjualan yang perlu dibayar kepada Kerajaan adalah RM3.00 (RM50 x 6%) Harga jualan kepada pemborong adalah RM53.00 (RM50 + RM3.00)

    Peringkat pemborong: Pemborong membeli dari pengilang pada harga RM53.00 (RM50 + RM3.00 GST) RM3.00 adalah cukai input kepada pemborong Pemborong menjual kepada peruncit pada harga RM60 pada kadar cukai GST 6% Harga jualan kepada peruncit adalah adalah RM63.60 (RM60 + RM3.60 GST) RM3.60 adalah cukai output ke atas jualan pemborong

    Setelah membuat offset antara cukai output RM3.60 dengan cukai input RM3.00, GST yang perlu dibayar kepada Kerajaan di dalam penyata GST adalah RM0.60 (RM3.60 - RM3.00)

    Peringkat peruncit: Membeli dari pemborong pada harga RM63.60 (RM60 + RM3.60 GST) RM3.60 adalah cukai input kepada peruncit Menjual kepada pengguna pada harga RM72 pada kadar cukai GST 6% Harga jualan kepada peruncit adalah RM76.32 (RM72 + RM4.32 GST) RM4.32 adalah cukai output keatas jualan peruncit Setelah membuat offset antara cukai output RM4.32 dengan cukai input RM3.60, GST yang perlu dibayar kepada Kerajaan di dalam penyata GST adalah RM0.72 (RM4.32 – RM3.60)

  • Apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk mengawal kenaikan harga apabila GST dilaksanakan?

    Kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang tegas bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga barang bagi tujuan membuat keuntungan secara berlebihan. Antara langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan adalah melaksanakan sepenuhnya Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, memperhebatkan penguatkuasaan melalui penubuhan Majlis Harga Negara, penerbitan Panduan Harga Pengguna, di samping menjadikan pasaraya sebagai penanda aras harga (price setter). Bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan, pengenaan denda dan penalti yang lebih berat akan dikenakan.
  • Isu utama GST di kalangan rakyat adalah berkaitan dengan harga barang memandangkan asas GST adalah luas. Bagaimanakah anda hendak menerangkannya kepada rakyat?

    Pendidikan cukai harus diberikan secara berterusan kepada rakyat. Cukai merupakan sumber hasil negara bagi tujuan pembangunan. Kerajaan akhirnya akan mengembalikan hasil yang dipungut kepada rakyat dalam bentuk sekuriti, kesihatan, pendidikan dan memperbaiki taraf kehidupan. Falsafah membayar cukai perlu disemai di kalangan rakyat, khususnya kepada generasi muda bagaimana pentingnya menyumbang kepada pembangunan negara.

    Model GST mengambil kira kepentingan golongan berpendapatan rendah dengan memastikan barang dan perkhidmatan asas tidak tertakluk kepada GST. Sebagai satu sistem percukaian yang lebih efisyen dan efektif, ia akan memacu pertumbuhan ekonomi dan ini akan memanfaatkan rakyat dalam bentuk lebih peluang pekerjaan dan taraf hidup yang lebih tinggi. Oleh itu, GST janganlah dilihat dari segi kenaikan harga sahaja, tetapi sebagai suatu pakej total yang akan memberi manfaat kepada rakyat, peniaga dan negara.

  • Apabila GST dilaksanakan, kemungkinan akan terdapat penjimatan kos kepada peniaga kerana peniaga boleh mendapat semula GST yang telah dibayar ke atas input perniagaan.

    Pada masa ini, rakyat tidak sedar bahawa harga barang dan perkhidmatan adalah termasuk cukai jualan dan cukai perkhidmatan. Dengan GST, peniaga harus mengkaji semula harga jualan untuk mengeluarkan elemen cukai jualan dan cukai perkhidmatan dari harga jualan. Peniaga dan pengguna telahpun dimaklumkan perkara ini melalui program kesedaran.

    Kerajaan akan mengambil langkah-langkah berikut bagi memastikan penjimatan di peringkat peniaga disalurkan kepada pengguna:

    (i) menguatkuasa sepenuhnya peruntukan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011. Akta tersebut memberi kuasa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memantau dan mengawal sebarang kenaikan harga yang disebabkan keuntungan berlebihan.
    (ii) mengedar Panduan Harga Pengguna tiga bulan sebelum dan selepas pelaksanaan GST yang menunjukkan anggaran harga barang dan perkhidmatan dari segi peratusan kenaikan atau penurunan yang dijangka. Panduan Harga Pengguna ini dapat membantu rakyat melaksanakan hak mereka sebagai pengguna; dan
    (iii) berkerjasama dengan pasaraya besar supaya mereka menjadi penentu harga (price setter) barang.

  • Rumah kediaman adalah dikecualikan daripada GST. Harga rumah kediaman akan meningkat apabila GST dilaksanakan memandangkan cukai input tidak dapat dituntut oleh pemaju hartanah.

    Layanan untuk mengecualikan rumah kediaman adalah untuk mengurangkan bebanan cukai kerana rumah merupakan keperluan asas kepada rakyat. Layanan ini melengkapkan inisiatif Kerajaan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik kepada mereka yang berkelayakan khususnya golongan berpendapatan rendah. Ini akan memberi kesan yang lebih minimum berbanding dengan keadaan di mana GST dikenakan pada kadar standard ke atas rumah kediaman. Harga rumah kediaman terutamanya di bandar-bandar utama adalah sangat tinggi yang mana antara sebabnya adalah oleh kerana pembekalan yang terhad. Oleh itu, GST tidak seharusnya dijadikan sebagai satu alasan untuk sebarang kenaikan harga.
  • Terdapat banyak kebimbangan di kalangan orang ramai terhadap GST dan bagaimana mekanismenya. Adakah GST akan mengakibatkan orang ramai membayar harga lebih untuk barang dan perkhidmatan daripada sekarang?

    Orang ramai tidak seharusnya bimbang tentang GST. Pertama, ia adalah satu bentuk cukai kepenggunaan yang telah dilaksanakan oleh lebih daripada 160 buah negara di dunia sama ada negara maju, membangun atau kurang maju. Kedua, bagi Malaysia, GST akan menggantikan cukai kepenggunaan sedia ada yang terdiri daripada cukai jualan dan perkhidmatan yang didapati kurang berkesan, kurang cekap, kurang mesra peniaga dan kurang telus. Sebagai cukai kepenggunaan, ia hanya ditanggung oleh orang biasa hanya apabila barang atau perkhidmatan itu digunakan. Jika penggunaan tidak berlaku, GST tidak perlu dibayar.

    Orang ramai mungkin tidak sedar bahawa pada masa ini cukai jualan pada kadar 5% atau 10% sudah termasuk dalam harga yang mereka bayar untuk kebanyakan barang contohnya barang elektrik, pakaian, kasut dan perkakasan rumah memandangkan cukai jualan dikenakan di peringkat pengilangan atau semasa import. Apabila barang sampai kepada pengguna, cukai jualan yang dibayar pada peringkat pengilangan akan melimpah ke dalam harga jualan di setiap peringkat rantaian pembekalan. GST, tidak seperti cukai jualan atau cukai perkhidmatan, adalah cukai kepenggunaan berperingkat yang akan dikenakan pada setiap peringkat rantaian pembekalan. Pada setiap peringkat rantaian pembekalan, peniaga akan dapat menuntut kembali GST yang dibayar ke atas barang dan perkhidmatan yang diperolehi bagi tujuan perniagaan mereka dan dengan itu menghapuskan kesan cukai bertindih yang dialami di bawah cukai kepenggunaan semasa. Oleh itu, seharusnya terdapat penurunan harga barang yang tertakluk kepada cukai jualan. Pengguna juga sepatutnya di dalam keadaan yang lebih baik kerana sesetengah barang-barang asas seperti beras, sayur, minyak masak dan ikan adalah tidak tertakluk kepada GST. Bagaimanapun, kemungkinan akan terdapat kenaikan harga kepada sesetengah barang atau perkhidmatan yang pada masa ini tidak tertakluk kepada cukai jualan dan cukai perkhidmatan. Kenaikan itu seharusnya tidak melebihi kadar GST yang dicadangkan oleh Kerajaan kerana peniaga boleh menuntut balik GST yang dibayar ke atas pembelian.

  • Bagaimanakah cara untuk memberi kefahaman kepada rakyat bahawa pada masa ini mereka membayar cukai jualan dan cukai perkhidmatan?

    Langkah yang telah diambil untuk meningkatkan kefahaman rakyat bahawa pada masa ini mereka membayar cukai jualan dan cukai perkhidmatan adalah seperti berikut:

    (i) program kesedaran secara berterusan kepada pengguna seperti konsultasi awam, forum dan seminar;
    (ii) mempertingkatkan aktiviti publisiti melalui media utama dan media sosial;
    (iii) memuatnaik maklumat untuk pengguna di dalam Portal GST;
    (iv) bekerjasama dengan persatuan pengguna untuk meningkatkan kefahaman pengguna; dan
    (v) Roadshow di kompleks membeli belah, sekolah, pusat komuniti dan lain-lain tempat awam.

  • Rakyat bimbang walaupun GST diperkenalkan pada awalnya pada kadar yang rendah, namun ia akan meningkat kepada suatu kadar yang lebih tinggi pada masa akan datang seperti pengalaman di negara jiran iaitu Singapura.

    Cukai jualan telah diperkenalkan pada tahun 1972 manakala cukai perkhidmatan pada tahun 1975. Sejak dari itu, kenaikan kadar cukai jualan hanya berlaku sekali sahaja selepas 10 tahun pelaksanaannya iaitu pada tahun 1982 dari kadar 5% kepada 10%. Manakala kenaikan kadar cukai perkhidmatan dari 5% kepada 6% hanya berlaku pada tahun 2011 selepas 36 tahun pelaksanaannya.

    Jika dibandingkan dengan negara-negara yang telah melaksanakan GST seperti Australia, Jepun dan Singapura, didapati kenaikan kadar cukai hanya berlaku setelah beberapa tahun pelaksanaan GST. Keadaan ini dipengaruhi oleh faktor seperti kestabilan ekonomi, kemantapan sistem GST, penerimaan rakyat yang sangat tinggi serta impak terhadap pengguna mempengaruhi kenaikan kadar cukai.

    Daripada 160 buah negara yang telah melaksanakan GST, hanya 12 negara telah mengurangkan kadar GST manakala 55 buah negara yang lain pula telah meningkatkan kadar GST sejak pelaksanaannya.

  • Apakah kadar purata GST yang digunakan di kebanyakan negara?

    Kadar purata ialah 16.9%, kadar yang paling rendah ialah 5% (Jepun, Nigeria, Taiwan, Iran, Kanada) dan kadar yang paling tinggi ialah 27% (Hungary).
  • Adakah harga yang tertera termasuk unsur GST atau tidak?

    Harga yang tertera adalah termasuk unsur GST.
  • Adakah GST akan mempengaruhi dasar subsidi Kerajaan ke atas barangan pengguna?

    Dasar Kerajaan dalam memberikan subsidi adalah perkara yang berasingan daripada pelaksanaan GST.
  • Adakah kos untuk pendidikan dan kesihatan akan meningkat dengan pelaksanaan GST?

    Kos perkhidmatan pendidikan dan kesihatan tidak akan meningkat dengan ketara kerana layanan GST ke atas perkhidmatan pendidikan dan kesihatan adalah lebih kurang sama dengan layanan semasa di bawah SST.
  • Apakah faedah yang akan diperolehi oleh peniaga daripada GST?

    Kajian kami menunjukkan bahawa akan terdapat pengurangan kos perniagaan disebabkan:

    (i) GST yang dibayar ke atas input boleh dituntut semula;
    (ii) pengeksportan adalah berkadar sifar;
    (iii) cukai input tidak dipadankan dengan cukai output; dan
    (iv) kewujudan skim khas bagi mengurangkan kesan aliran tunai.

  • Adakah semua perniagaan perlu didaftarkan di bawah GST?

    Perniagaan yang mempunyai nilai jualan tahunan pembekalan bercukai yang melebihi nilai ambang RM500,000 dikehendaki untuk mendaftar secara mandatori. Walau bagaimanapun, perniagaan yang tidak mencapai nilai ambang tersebut masih boleh mendaftar secara sukarela.
  • Bolehkah kami mendaftar untuk GST secara atas talian?

    Ya, pendaftaran secara atas talian adalah digalakkan.
  • Bagaimanakah cara untuk kami mendaftar GST?

    Melalui pendaftaran secara manual atau atas talian.
  • Dimanakah dan bilakah saya perlu memohon untuk mendaftar GST?

    Permohonan untuk pendaftaran GST boleh dibuat melalui kaedah berikut:

    (i) memohon secara elektronik melalui laman web www.gst.customs.gov.my;
    (ii) memohon di kiosk pendaftaran yang terdapat di mana-mana stesen Kastam; atau
    (iii) penghantaran manual secara pos.

  • Bagaimanakah Kerajaan menangani pemalsuan tuntutan kredit cukai input?

    Langkah-langkah berikut telah diambil bagi menangani pemalsuan tuntutan kredit cukai input:

    (i) membangunkan satu sistem pengurusan risiko yang komprehensif;
    (ii) menggunakan tax performance ratio bagi mengenalpasti peniaga yang menyeleweng;
    (iii) menggunakan computerised auditing technique dan forensic tools;
    (iv) audit meja, audit pematuhan dan audit pulangbalik untuk memantau pemalsuan tuntutan kredit cukai input;
    (v) maklumat daripada orang awam dan peniaga; dan
    (vi) pertukaran maklumat dengan lain-lain agensi Kerajaan.

  • Apakah bantuan yang akan diberikan kepada PKS sebagai persediaan ke arah pelaksanaan GST?

    Kerajaan akan membantu PKS dengan mengurangkan kos pematuhan yang terlibat. Kerajaan akan menyediakan latihan dan pendidikan secara percuma serta membantu PKS dalam memperolehi perisian asas yang diperlukan untuk pelaksanaan GST.
  • Bagaimanakah Kerajaan akan memastikan bahawa perniagaan akan membayar amaun cukai yang dipungut dengan betul kepada Kerajaan?

    Orang berdaftar GST dikehendaki untuk mengemukakan penyata secara berkala dan membayar cukai kepada Kerajaan. Pasukan Audit GST akan menjalankan audit ke atas orang berdaftar secara berkala dan apabila diperlukan. Selain itu, sistem penilaian risiko GST akan menghantar amaran berkenaan orang berdaftar yang berisiko tinggi, tuntutan cukai input atau pembayaran yang dicurigai.
  • Sumbangan besar kutipan hasil diperolehi melalui syarikat-syarikat besar (large taxpayer). Sekiranya berlakunya sebarang unsur frod di dalam pembayaran cukai dan tuntutan kredit cukai input, ianya akan mengakibatkan impak yang besar kepada hasil negara.

    Pendekatan yang akan diambil oleh Kerajaan adalah seperti berikut:

    (i) membangunkan satu sistem pengurusan risiko yang komprehensif;
    (ii) menggunakan tax performance ratio bagi mengenalpasti peniaga yang berhasrat untuk mengelak dari membayar GST;
    (iii) menyediakan senarai pengeksport utama untuk menangani tuntutan kredit cukai input yang berkaitan dengan pengeksportan palsu;
    (iv) menggunakan computerised auditing technique dan forensic tools;
    (v) mengadakan auditan bersama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri; dan
    (vi) mewujudkan unit large taxpayer.

  • Adakah GST akan memberi kesan terhadap peniaga kecil seperti peniaga di pasar malam yang menjual pakaian atau barang? Adakah mereka juga perlu mengenakan dan membayar GST?

    Pelaksanaan GST hanya boleh memberi kesan terhadap perniagaan-perniagaan kecil seperti pengendali pasar malam sekiranya perolehan tahunan mereka melebihi nilai ambang yang ditetapkan yang mengkehendaki mereka untuk berdaftar di bawah GST.
  • Adakah GST boleh membantu mengurangkan defisit fiskal di Malaysia?

    Pengenalan GST di Malaysia bertujuan untuk menggantikan cukai kepenggunaan semasa (cukai jualan dan cukai perkhidmatan) yang mempunyai banyak kelemahan. GST adalah sebahagian daripada program penyusunan semula sistem percukaian negara supaya lebih efektif, efisyen, telus, mesra perniagaan dan mampu menjana sumber hasil yang lebih stabil. Dalam tempoh jangka masa panjang, sistem percukaian yang lebih efektif dan efisyen akan membantu mengurangkan defisit fiskal di Malaysia.
  • Apakah perkara/fakta mengenai GST yang perlu diketahui oleh rakyat?

    Pada masa kini, Kementerian Kewangan sedang menganjurkan beberapa program kesedaran mengenai GST khusus untuk orang awam serta peniaga. Matlamat utama program ini adalah untuk membantu orang awam serta peniaga supaya mereka lebih memahami model GST yang dicadangkan di Malaysia, mekanisme GST serta langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan bagi menangani isu-isu yang berhubungkait dengan GST.

    Rakyat perlu tahu bahawa GST dikenakan dan dipungut ke atas semua barang dan perkhidmatan bercukai yang dihasilkan di dalam negara termasuk barang dan perkhidmatan yang diimport. Hanya perniagaan yang berdaftar dengan GST boleh mengenakan GST. GST yang dipungut ke atas output hendaklah dibayar kepada Kerajaan. Walau bagaimanapun, peniaga dibenarkan untuk menuntut semula kredit cukai input.

    Rakyat hanya perlu membayar GST sekiranya mereka membeli barang atau menggunakan perkhidmatan yang bercukai. Sekiranya tidak, rakyat tidak akan terkesan dengan GST.

  • Apakah kesan ke atas ekonomi? Penggunaan oleh rakyat menjana ekonomi tetapi kemungkinan besar rakyat tidak mahu menggunakan/berbelanja sekiranya mereka dikenakan cukai?

    Terdapat impak yang positif ke atas ekonomi yang disebabkan perkara-perkara berikut:

    (i) pengurangan di dalam kos perniagaan -
      (a) skim khas bagi tujuan mengurangkan masalah aliran tunai;
      (b) mekanisme pengimbangan kredit;
      (c) boleh menuntut cukai input yang telah dibayar berdasarkan invois yang dikeluarkan;
    (ii) membawa ke arah harga yang lebih kompetitif;
    (iii) menjadikan eksport negara lebih berdaya saing memandangkan eksport adalah berkadar sifar;
    (iv) peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar;
    (v) mengurangkan aktiviti ekonomi terselindung; dan
    (vi) sebagai kaedah untuk menguruskan ekonomi misalnya Skim Bayar Balik Pelancong dicadangkan sebagai langkah untuk meningkatkan industri pelancongan serta perbelanjaan pelancongan di dalam negara ini, eksport dijadikan berkadar sifar bagi memastikan barang Malaysia adalah lebih berdaya saing di peringkat global.

     

    Kemungkinan tiada pengurangan ke atas penggunaan disebabkan:

    (i) kemungkinan harga bagi sesetengah barang dan perkhidmatan akan menjadi lebih rendah;
    (ii) perubahan dalam corak kepenggunaan. Kaedah GST adalah berdasarkan konsep kemampuan. Pengguna perlu menentukan barang atau perkhidmatan yang ingin dibeli atau digunakan dan GST hanya akan dikenakan apabila barang atau perkhidmatan tersebut digunakan. Pengguna boleh memilih untuk berbelanja ke atas barang dan perkhidmatan asas berbanding berbelanja ke atas barang dan perkhidmatan yang mewah.
    (iii) kebanyakan barang dan perkhidmatan asas adalah tidak tertakluk kepada GST;
    (iv) GST merupakan cukai pengganti; atau
    (v) mekanisme kredit cukai input sepatutnya mengurangkan kos perniagaan.

  • Bagaimanakan caranya Kerajaan menangani isu semasa tempoh peralihan dari era percukaian semasa ke era GST?

    Kerajaan akan memastikan bahawa peniaga akan melalui tempoh peralihan dari sistem percukaian semasa ke GST dengan lancar. Kerajaan juga telah mengadakan banyak sesi dialog serta konsultasi secara berterusan dengan sektor peniagaan bagi memaklumkan serta menangani isu-isu yang berkaitan dengan tempoh peralihan.

    Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui:

    (a) Laman sesawang : www.gst.customs.gov.my
    (b) Hotline : 03-888 22 111 or 1-300-888-500
      Faks : 03-888 22 132
      E-mel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • Lampiran - Senarai Negara Yang Melaksanakan VAT/GST