wrapper

Topik Popular

Search - K2
Carian - Kategori
Carian - Kenalan
Carian - Kandungan
Carian - Berita Suapan
Carian - Pautan Web
Keputusan Carian Pintar

  • Apakah langkah-langkah yang telah, sedang dan akan diambil untuk mengembalikan kepercayaan pada pasaran tempatan?

    1. Usaha-usaha yang berterusan telah dan sedang diambil oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti untuk meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap pasaran saham tempatan, di antaranya ialah memastikan tahap ketelusan yang tinggi di kalangan syarikat-syarikat tersenarai dari segi penyebaran maklumat yang mencukupi dan tepat berhubung dengan aktiviti dan operasi syarikat kepada pelabur-pelabur dan pemegang saham supaya mereka dapat membuat keputusan pelaburan dengan lebih berkesan. Di samping itu, pengarah-pengarah syarikat tersenarai dikehendaki memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dari segi pengurusan korporat (corporate governance) yang berlandaskan unsur-unsur amalan terbaik (best practices). Laporan mengenai kod amalan terbaik (code of best practices) dan kaedah perlaksanaan ini dikeluarkan pada 1998. Pindaan juga telah dibuat kepada syarat-syarat penyenaraian berhubung dengan urusniaga pihak-pihak berkaitan dan yang berkepentingan bagi melindungi kepentingan syarikat tersenarai serta pemegang-pemegang saham minoriti daripada mengalami kerugian. Mengenai jangka masa pemulihan ekonomi, Kerajaan menjangkakan ekonomi negara akan pulih dengan segera berdasarkan perkembangan positif daripada langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk mengukuhkan asas ekonomi dan menstabilkan pasaran kewangan dengan cara memperbaiki imbangan pembayaran, meningkatkan daya saing eksport, mengurangkan import dan menggalakkan penggunaan barangan tempatan. Di samping itu kerjasama dari semua pihak termasuk sektor swasta dan kesatuan-kesatuan sekerja adalah penting bagi membantu Kerajaan memulihkan ekonomi negara.
    2. Kerajaan tidak mempunyai maklumat tentang keuntungan yang diperolehi oleh pelabur-pelabur Malaysia di luar negara dan jumlah yang dibawa balik. Bagi syarikat-syarikat yang telah membuat pelaburan di luar negara sebelum kejatuhan nilai matawang Ringgit, mereka berpeluang memperolehi pulangan yang baik sekiranya aset-aset yang dimiliki di luar negara itu dijual dan hasil perolehan itu dibawa balik ke Malaysia.

  • Apakah langkah-langkah yang telah diambil bagi meningkatkan semula pasaran saham di dalam negara?

    >Apakah langkah-langkah yang telah diambil bagi meningkatkan semula pasaran saham di dalam negara? Sila nyatakan juga sejauh mana kejatuhan pasaran saham semasa memberi kesan kepada ekonomi negara kita dan apakah sebab-sebab utama kehancuran pasaran saham.

    1. Kerajaan telah dan sedang mengambil langkah-langkah untuk membina semula keyakinan pelabur-pelabur ke atas pasaran saham melalui Pelan tindakan yang disediakan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang telah diumumkan oleh Kerajaan pada 23 Julai 1998. Matlamat utama Pelan Tindakan tersebut ialah untuk menstabilkan nilai Ringgit dan pasaran saham, memperkukuhkan pasaran kewangan dan asas-asas ekonomi negara. Kerajaan juga akan memastikan tahap ketelusan yang tinggi di kalangan syarikat tersenarai. Pengarah-pengarah syarikat dikehendaki memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dari segi pengabenan korporat yang berlandaskan unsur-unsur amalan terbaik.
    2. Pasaran saham merupakan salah satu sumber bagi syarikat-syarikat tempatan mendapatkan modal bagi mengembangkan perniagaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kejatuhan berterusan pasaran saham telah melembabkan sentimen dan minat pelabur terhadap pembelian saham. Ini menyebabkan syarikat-syarikat sukar untuk mendapatkan modal untuk mengembangkan perniagaan. Kejatuhan harga-harga saham juga telah membebankan syarikat-syarikat yang mendapatkan pinjaman bank tempatan melalui pencagaran saham-saham syarikat. Kejadian ini telah menyulitkan syarikat-syarikat berkenaan untuk meneruskan operasi mereka.
    3. Di antara sebab-sebab utama kemerosotan pasaran saham adalah:
      • kejatuhan mendadak dan ketidakstabilan matawang ringgit sejak permulaan krisis dimana sejak 17 Julai 1997 sehingga kini nilai ringgit telah merosot sebanyak 38%;
      • prospek pertumbuhan pendapatan syarikat-syarikat tidak menggalakkan akibat kemelesetan ekonomi telah menyebabkan pengurus-pengurus dana asing kurang berminat melabur di BSKL dan telah mengurangkan pelaburan mereka di BSKL;
      • kesan kontagion pasaran di rantau ini telah terus melembabkan sentimen pelabur asing terhadap rantau ini termasuk Malaysia. Pelabur-pelabur asing masih menganggap risiko melabur di rantau ini terlalu tinggi memandangkan ketidakpastian ekonomi, politik, sosial dan kewangan negara-negara ini. Juga kesan kontagion dari pasaran baru muncul yang lain seperti Latin Amerika, Afrika Selatan, Asia Selatan dan Rusia turut memainkan peranan; dan
      • wujudnya peluang pelaburan yang lebih menarik di Amerika Syarikat dan rantau Eropah.
    4. Bagi membantu syarikat-syarikat yang bermasalah Kerajaan telah menyediakan beberapa program antaranya, menubuhkan Unit Pengawasan Pinjaman dan Unit Penasihat Masalah Perniagaan masing-masing di Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan bagi memastikan kredit kepada syarikat-syarikat tidak terjejas; Tabung Industri Kecil dan Sederhana (TIKS) berjumlah RM1.5 bilion yang mula beroperasi sejak Januari 1998 bagi menyediakan pinjaman kepada syarikat-syarikat untuk meneruskan operasi; dan memberi kelonggaran kepada syarikat-syarikat Bukan Bumiputera membeli syarikat Bumiputera yang bermasalah untuk membolehkan syarikat-syarikat tersebut memperolehi modal bagi meneruskan operasi.

  • Adakah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengkaji pengeluaran wang untuk ahli-ahlinya yang telah hilang pekerjaan?

    Adakah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengkaji pengeluaran wang untuk ahli-ahlinya yang telah hilang pekerjaan. Suatu program pengeluaran wang seharusnya dilaksanakan oleh KWSP untuk meringankan beban di masa kegawatan ekonomi.

    1. KWSP tidak bercadang membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan mereka untuk tujuan menampung keperluan seharian dan pendidikan anak-anak kerana ia tidak selaras dengan objektif KWSP. Simpanan KWSP adalah untuk tujuan persaraan ahli dan sebarang skim pengeluaran baru yang bukan untuk tujuan persaraan akan menjejaskan serta mengurangkan jumlah simpanan ahli untuk persaraan mereka.
    2. Bagi menjamin simpanan ahli mencukupi untuk menyara kehidupan semasa persaraan, KWSP terpaksa menghadkan pengeluaran sebelum persaraan. Pengeluaran yang dibenarkan sekarang iaitu untuk perumahan, kesihatan dan pelaburan melalui Institusi Pengurusan Dana adalah memadai. Oleh itu, pengeluaran untuk menampung keperluan harian tidak wajar dibenarkan.

  • Aduan yang telah diterima mengenai caruman yang tidak dibayar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

    Berapa banyak aduan yang telah diterima mengenai caruman yang tidak dibayar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tiap-tiap negeri bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini. Sila nyatakan:

    1. KWSP sememangnya mengambil perhatian yang serius terhadap majikan yang gagal mencarum. Jentera penguatkuasaan KWSP sentiasa dimajukan untuk memastikan majikan membayar caruman menurut Akta KWSP 1991. Bagi tempoh Januari hingga Mac 1998, KWSP telah menerima 3,703 aduan tentang kegagalan majikan mencarum. Jumlah aduan yang diterima pada tahun 1997 adalah 14,469 kes, 19,455 kes pada tahun 1996 dan 21,880 kes pada tahun 1995. Pada akhir bulan Mac 1998, baki jumlah kes aduan terkumpul yang masih disiasat atau dalam tindakan Mahkamah adalah 20,779 kes.
    2. KWSP memastikan kes-kes aduan yang diterima daripada ahli terutama bagi kes majikan gagal mencarum disiasat dengan segera. Walau bagaimanapun, KWSP tidak bergantung semata-mata kepada aduan untuk menjaga kepentingan pekerja. KWSP melalui sistem maklumat berkomputernya juga mengawas bayaran bulanan majikan. Sistem ini dapat mengenal pasti majikan-majikan yang gagal mencarum supaya pemeriksa KWSP dapat menyiasat.
    3. Pada bulan Mac 1998, daripada 294,710 majikan berdaftar, didapati 14,418 majikan atau 4.89% telah gagal membayar sebulan caruman atau lebih. Pada akhir tahun 1997 pula 4.44% atau 13,143 daripada 296,299 majikan berdaftar telah gagal membayar sebulan caruman atau lebih. Dalam suku pertama tahun 1998, seramai 425 majikan telah disaman di Mahkamah kerana gagal mencarum manakala dalam tahun 1997 bilangan majikan yang disaman ialah 1,672.
    4. KWSP juga membuat pemeriksaan mengejut dari pintu ke pintu ke atas premis-premis perniagaan untuk memastikan majikan bertanggungjawab bagi mencarum adalah berdaftar dengan KWSP, serta membayar caruman dengan tepat bagi semua saraan untuk semua pekerja mereka. Pada tahun 1997, KWSP telah memeriksa 100,656 premis perniagaan, yang mana 3.77% atau 3,791 majikan didapati tidak berdaftar dengan KWSP. Taksiran caruman tertunggak untuk majikan-majikan ini berjumlah RM7.8 juta. Setakat bulan Mac tahun ini, KWSP telah melawat 20,969 premis perniagaan dan didapati 2.26% ataupun 473 majikan tidak berdaftar dengan KWSP dan amaun taksiran caruman tertunggak berjumlah RM1.4 juta.

    Pecahan kes aduan yang diterima menurut negeri adalah seperti berikut:

    NEGERI TAHUN 1995 TAHUN 1996 TAHUN 1997 JAN-MAC 1998
    Perlis 207 104 97 83
    Kedah 823 1,675 940 68
    Pulau Pinang 1,020 894 795 333
    Perak 1,222 765 469 90
    Selangor 6,935 5,983 4,640 1,266
    W.Persekutuan 6,019 5,895 4,746 1,214
    N.Sembilan 441 287 369 39
    Melaka 69 106 82 0
    Johor 1,874 1,156 860 404
    Pahang 307 265 233 131
    Terengganu 610 197 147 28
    Kelantan 749 547 149 0
    Sabah 934 1,002 463 0
    Sarawak 670 579 479 47
    JUMLAH 21,830 19,445 14,469 3,703

  • Apakah kadar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL)?

    Apakah kadar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) bagi sektor perbankan negara kita dan sejauhmana Dana Harta Nasional telah memainkan peranannya dalam usaha mengurangkan NPL ini.?

    Pada akhir bulan Mei 1998 Pinjaman Tak Berbayar (NPL) bagi sektor perbankan adalah 8.5%. Danaharta dijangka akan memulakan operasinya dalam bulan Ogos 1998. Dengan adanya Danaharta,ini akan mengurangkan bebanan oleh institusi perbankan dalam mengurus NPL. Penjualan NPL juga akan membolehkan institusi perbankan untuk menumpukan usaha mereka kepada aktiviti pemberian pinjaman.

  • Apakah pasaran derivatif, institusi yang mengendalikannya dan faedah produknya?

    Pasaran derivatif adalah pasaran instrumen kewangan yang menyediakan safe and effective risk management tools dalam produk komoditi dan kewangan niaga hadapan. Ia menguruskan pendedahan terhadap turun naik pasaran opsyen, kadar faedah, stok dan indeks saham di pasaran hadapan.

    Pasaran derivatif Malaysia adalah Bursa Derivatif Malaysia (MDEX) iaitu hasil gabungan KLOFFE dan COMMEX.

    Faedah produk derivatif adalah:

    1. Memberi kemudahan kepada pelabur yang memerlukan alat pelaburan yang inovatif dan fleksibel yang dapat mengambil peluang-peluang dari pasaran global;
    2. Menawarkan pulangan melebihi purata yang wajar dan perlindungan portfolio kepada pelabur; dan
    3. Menawarkan kemudahan untuk aktiviti perlindungan nilai yang boleh menghasilkan pembiayaan yang cekap untuk portfolio pelaburan.