Print this page

  • Pejabat Pendaftar Agensi Pelaporan Kredit

    Apakah PPK? PPK merupakan singkatan bagi Pejabat Pendaftar Agensi Pelaporan Kredit yang merupakan suatu agensi di bawah Kementerian Kewangan dan telah ditubuhkan berdasarkan keperluan di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit (APK) 2010.
    Siapakah yang perlu berdaftar ke PPK? Seseorang yang menjalankan perniagaan pelaporan kredit perlu mengemukakan permohonan untuk didaftarkan sebagai sebuah agensi pelaporan kredit.
    Mengapakah PPK ditubuhkan? PPK ditubuhkan bagi menjamin perlindungan pengguna serta hak privasi data kredit pengguna dengan mewujudkan satu rangka kawal selia bagi agensi pelaporan kredit. Berpandukan Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010, PPK merupakan platform utama kepada kerajaan untuk mengawal selia industri pelaporan kredit agar masalah seperti maklumat kredit tidak tepat, tidak dikemas kini, tidak lengkap, kesilapan identiti individu, rekod disimplan terlalu lama dan maklumat pengguna serta hak perngguna dapat ditangani dengan lebih efisien dan sistematik bagi memajukan pembangunan sektor pelaporan kredit di Malaysia.
    Adakah CCRIS diselia di bawah PPK? Tidak. CCRIS yang merupakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat adalah di bawah seliaan Bank Negara Malaysia dan tertakluk kepada Akta Bank Negara Malaysia 2009.

  • Daftar Agensi Pelaporan Kredit

    Apakah Daftar Agensi Pelaporan Kredit? Daftar Agensi Pelaporan Kredit merupakan suatu Daftar yang dibangunkan dan disenggarakan oleh Pejabat Pendaftar serta mengandungi nama dan alamat atau apa-apa butir lain mengenai semua agensi pelaporan kredit yang telah didaftarkan,
    Adakah orang awam boleh memeriksa Daftar Agensi Pelaporan Kredit? Ya, Daftar Agensi Pelaporan Kredit adalah tersedia bagi pemeriksaan oleh orang awam bersama-sama fi yang ditetapkan dan tertakluk kepada apa-apa syarat ditetapkan oleh Pendaftar.

  • Agensi Pelaporan Kredit

    Apakah perniagaan pelaporan kredit? Perniagaan pelaporan kredit adalah perniagaan yang melibatkan pemprosesan maklumat kredit bagi maksud memberikan suatu laporan kredit kepada orang lain, sama ada untuk keuntungan, ganjaran atau selainnya.
    Adakah aktiviti agensi pelaporan kredit dikawal selia? Ya. Agensi pelaporan kredit dikehendaki beroperasi berdasarkan peruntukan yang telah ditetapkan di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010.
    Apakah hubung kait di antara institusi kewangan dan agensi pelaporan kredit? Semasa memproses permohonan pinjaman, institusi kewangan akan membuat penilaian kredit terhadap peminjam seperti semakan latar belakang peminjam daripada pelbagai sumber seperti maklumat yang dibekalkan oleh agensi pelaporan kredit seperti CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS), FIS Data Reference Sdn Bhd (FIS), Credit Bureau Malaysia Sdn Bhd (CBM), Dun & Bradstreet (Malaysia) Sdn Bhd (D&B) Basis Corporation Sdn Bhd dan RAM Credit Information Sdn Bhd (RAMCI). Maklumat yang diberikan menerusi laporan kredit tersebut dapat membantu institusi kewangan dalam proses penilaian mereka. Institusi kewangan perlu menggunakan semua maklumat yang ada untuk membantu mereka membuat keputusan yang tepat dan berhemat dalam pemberian pinjaman.
    Adakah seseorang individu dibenarkan mengakses laporan kreditnya sendiri? Ya. Indivitu terbabit boleh membuat permohonan kepada agensi pelaporan kredit bagi mengakses laporan kreditnya sendiri sahaja bagi tujuan pengesahan ketepatan maklumat yang dilaporkan oleh institusi kewangan dalam laporan kredit.
    Apakah kesan sekiranya suatu agensi yang menjalankan perniagaan pelaporan kredit enggan berdaftar sebagai agensi pelaporan kredit yang sah? Larangan menjalankan perniagaan pelaporan kredit melainkan jika berdaftar adalah di bawah seksyen 11 Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010. Sekiranya terdapat pelanggaran sedemikian, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
    Adakah agensi pelaporan kredit menetapkan keputusan pemberian kemudahan kredit oleh institusi kewangan menerusi laporan kredit? Tidak. Agensi pelaporan kredit tidak terlibat dalam keputusan pemberian kemudahan pinjaman oleh institusi kewangan. Laporan kredit hanya memberi fakta seperti yang dilaporkan tanpa apa-apa pandangan mengenai keupayaan kredit dan kepercayaan kredit (credit worthiness) seseorang individu. Institusi kewangan akan membuat keputusan sendiri berdasarkan semua maklumat yang mereka ada, termasuk laporan kredit yang disediakan oleh agensi pelaporan kredit, maklumat yang diberi oleh pemohon melalui dokumen permohonan kredit dan juga dokumen sokongan lain.
    Apakah implikasi sekiranya saya tidak bersetuju untuk memberikan keizinan kepada agensi pelaporan kredit untuk menzahirkan laporan kredit saya kepada institusi kewangan? Sekiranya anda tidak memberikan keizinan (consent) tersebut kepada sesuatu agensi pelaporan kredit, terdapat kemungkinan bahawa permohonan pinjaman anda tidak akan diproses selanjutnya oleh institusi kewangan kerana maklumat daripada laporan kredit tersebut merupakan satu elemen penting kepada institusi kewangan untuk menjalankan penilaian kredit.
    Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya saya mendapati sesuatu agensi pelaporan kredit telah menzahirkan laporan kredit saya kepada pihak ketiga tanpa mendapatkan keizinan terlebih dahulu? Anda boleh membuat aduan serta mengemukakan sebarang dokumen sokongan atau bukti-bukti berkaitan bagi membolehkan pihak PPK menjalankan siasatan selanjutnya berkenaan aduan tersebut.

  • Lain-Lain

    Adakah saya boleh mendapatkan laporan kredit saya dengan mengunjungi PPK? Tidak. Anda perlu berurusan secara terus dengan agensi pelaporan kredit swasta bagi mendapatkan laporan kredit anda.
    Adakah PPK boleh memudahkan saya untuk mendapatkan kredit daripada institusi kewangan? Tidak. PPK tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengarahkan sesebuah institusi kewangan meluluskan permohonan kredit pelanggan.
    Berapakah fi yang dikenakan bagi satu salinan laporan kredit? Setiap agensi pelaporan kredit mengenakan fi bayaran yang berbeza dan agensi pelaporan kredit mempunyai hak untuk mengenakan fi tersebut bagi setiap laporan kredit yang dikeluarkan.
    Saya dimaklumkan bahawa nama saya telah disenaraikan di dalam rekod pangkalan data agensi pelaporan kredit iaitu CTOS Data Systems Sdn Bhd. Bagaimanakah untuk mengemas kini rekod tersebut? CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) merupakan sebuah agensi pelaporan kredit di bawah seliaan PPK. Anda boleh menghubungi CTOS di talian 03-2722 8833 untuk maklumat lanjut atau mengunjungi pejabat CTOS untuk mengemas kini rekod di dalam laporan kredit anda.
    Adakah peluang saya untuk mendapatkan kemudahan kredit akan terjejas sekiranya rekod saya terdapat di dalam pangkalan data agensi pelaporan kredit? Tidak. Maklumat yang terdapat di dalam laporan kredit sama ada positif atau negatif merupakan “leading information” bagi institusi kewangan menjalankan penilaian kredit. Institusi kewangan mempunyai garis panduan, strategi perniagaan serta polisi dalaman untuk menganalisa kedudukan kewangan seseorang peminjam dan sebarang keputusan akhir adalah terletak sepenuhnya di tangan institusi kewangan.
    Adakah agensi pelaporan kredit mempunyai kuasa untuk menyenarai hitamkan seseorang pelanggan sekiranya pelanggan tersebut mempunyai rekod kredit yang buruk? Tidak. Agensi pelaporan kredit tidak mempunyai kuasa untuk menyenarai hitamkan mana-mana individu berdasarkan laporan kredit yang dikeluarkan. Tanggapan mengenai agensi pelaporan kredit yang menyenarai hitam peminjam adalah satu tanggapan yang salah. Segala maklumat yang terdapat di dalam laporan kredit hanya bertindak sebagai “leading information” sahaja.
    Saya telah melangsaikan hutang bagi sesebuah pinjaman namun sejarah mengenai pinjaman tersebut masih terdapat di dalam laporan kredit. Apakah yang perlu saya lakukan? Anda haruslah mendapatkan surat pengesahan pelangsaian pinjaman (settlement letter) daripada institusi kewangan yang memberikan kemudahan tersebut dan membawa salinan surat tersebut kepada agensi pelaporan kredit bagi tujuan pengesahan dan pengemas kinian maklumat di dalam laporan kredit anda.
    Adakah saya boleh memadam nama dan rekod saya di dalam pangkalan data setiap agensi pelaporan kredit? Tidak. Namun yang demikian, anda dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan secara berkala terhadap laporan kredit anda di setiap agensi pelaporan kredit bagi memastikan segala maklumat di dalam laporan kredit tersebut adalah tepat, lengkap dan telah dikemaskini mengikut status terkini.
    Permohonan pinjaman saya telah ditolak oleh institusi kewangan disebabkan sejarah kredit yang buruk seperti yang ditunjukkan di dalam laporan kredit. Apakah yang perlu dilakukan untuk memperbaiki kedudukan kredit saya? Rekod dan sejarah kredit yang buruk adalah berkmungkinan besar disebabkan oleh beberapa faktor seperti tunggakan hutang dalam akaun di institusi kewangan yang belum dijelaskan atau pembayaran tidak dibuat pada masa yang ditetapkan. Anda disarankan untuk berbincang dan mendapatkan khidmat nasihat mengenai skim bayaran balik dengan institusi kewangan berkenaan. Rekod kredit anda akan menunjukkan kedudukan yang lebih baik apabila akaun anda kembali teratur dan rekod bayaran balik anda menepati masa yang ditentukan.
    Saya telah diisytiharkan bebas daripada masalah kebankrapan. Namun yang demikian, status kebankrapan saya masih terdapat di dalam laporan kredit dan ini telah menimbulkan masalah setiap kali saya membuat permohonan pinjaman. Apakah langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ini? Untuk makluman anda, Akta ini telah menetapkan bahawa setiap agensi pelaporan kredit tidak dibenarkan menzahirkan maklumat tentang status kebankrapan individu selepas jangka masa dua tahun selepas tarikh pelepasan individu tersebut daripada kebankrapan. Sehubungan itu, anda disarankan membawa dokumen sokongan kepada agensi pelaporan kredit bagi tujuan pengemas kinian maklumat di dalam laporan kredit anda.
    Apakah yang harus saya lakukan sekiranya saya mendapati agensi pelaporan kredit telah menyalah gunakan maklumat kredit saya untuk tujuan pemasaran atau “cross-selling” tanpa keizinan saya? Sekiranya anda mempunyai bukti kukuh, anda dinasihati membuat aduan selanjutnya kepada PPK dan siasatan selanjutnya akan dijalankan.