wrapper

Topik Popular

  • Apa dia Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan?

    1. Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan ialah satu badan yang mendengar rayuan daripada mana-mana pembayar cukai pendapatan yang terkilan dengan taksiran yang dibuat oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN).
    2. Seseorang pembayar cukai yang terkilan dengan taksiran yang dibuat oleh KPHDN boleh merayu dengan mengisi Borang Q yang boleh diperolehi di mana-mana Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
    3. Sekiranya KPHDN bersetuju dengan pertikaian, kes selesai tetapi sekiranya KPHDN tidak bersetuju, kes dihantar ke Pejabat PKCP untuk dibicarakan.

  • Adakah Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri?

    Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan bukan di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri tetapi ditempatkan di bawah Perbendaharaan Malaysia. Oleh kerana Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan mendengar rayuan terhadap keputusan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri maka Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan perlulah bebas dan oleh itu di tempatkan di bawah Perbendaharaan Malaysia.

  • Siapa yang boleh mewakili pembayar cukai di dalam perbicaraan?

    Peguambela atau agen cukai atau kedua-duanya atau pembayar cukai sendiri boleh hadir dalam perbicaraan.

  • Siapa yang mendengar kes rayuan cukai pendapatan?

    Kes dibicarakan oleh panel yang terdiri dari tiga orang. Pengerusi mestilah daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan atau seorang yang memegang jawatan yang mana Akta Saraan Hakim 1971 terpakai baginya ataupun seorang Peguambela. Dua lagi ahli terdiri dari orang yang dilantik secara kontrak daripada berbagai-bagai bidang seperti perakaunan, percukaian, perundangan dan lain-lain.

  • Bagaimana kes rayuan ini didengar?

    Kes rayuan didengar "in camera" dan hanya pihak yang terlibat sahaja boleh hadir. Orang ramai tidak dibenarkan hadir dan menyaksi. Persidangan adalah tidak mengikut prosedur yang ketat seperti di mahkamah, ia ada kelonggaran.

  • Di manakah perbicaraan diadakan?

    Biasanya, perbicaraan diadakan di bandar di mana Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri yang mengendalikan fail pembayar cukai itu terletak.

  • Adakah keputusan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan itu muktamad?

    Keputusan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan tidak muktamad. Mana-mana pihak yang tidak puas hati dengan keputusan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan yang dikeluarkan sebagai Perintah Ketentuan boleh merayu ke Mahkamah Tinggi.

    Rayuan lanjutan boleh dibuat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan.