wrapper

Topik Popular

  • Mengapakah isu Audit sering berulang?

    Isu Audit didapati berulang berikutan tindakan penambahbaikan sering kali diambil oleh pihak Jabatan terhadap sampel Audit yang dikuiri sahaja. Adalah menjadi tanggungjawab pihak Jabatan untuk memastikan tindakan penambahbaikan diambil secara menyeluruh dan tidak terhad kepada sampel yang ditegur Audit sahaja. Ini kerana pihak Audit melaksanakan pengauditan hanya terhadap sampel terpilih. Selain itu, pihak Jabatan perlu lebih tegas dalam mengambil tindakan terhadap pegawai bertanggungjawab yang diadapati cuai agar ia tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada pegawai yang lain.

  • Apakah jenis pengauditan yang dilaksanakan oleh Bahagian Audit Dalam Perbendaharaan (ADP)?

    ADP bertanggungjawab menjalankan pengauditan pematuhan dan prestasi. Pengauditan pematuhan merangkumi pengauditan kewangan dan pengurusan kewangan terhadap system kewangan, kawalan dalaman dan rekod kewangan untuk menilai sama ada hasil, perbelanjaan, aset dan stor, pelaburan pinjaman serta kumpulan wang dan akaun amanah telah diuruskan mengikut undang-undang, peraturan dan arahan yang berkaitan.

    Pengauditan prestasi pula merangkumi penilaian terhadap program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh Jabatan/Agensi MOF untuk menentukan matlamatnya telah dicapai dan sumber telah digunakan secara berhemat, cekap dan berkesan serta terdapat value for money. Ini termasuk pengauditan aktiviti ICT.

  • Bagaimanakah pengauditan dilaksanakan oleh Bahagian Audit Dalam Perbendaharaan (ADP) di Kementerian Kewangan?

    ADP memantau isu yang dilaporkan dalam LKAN melalui mesyuarat Jawatankuasa Audit (JKA) peringkat MOF yang dipengerusikan oleh KSP setiap suku tahun. Isu Audit utama dibentang, dibincang dan diminitkan dalam mesyuarat JKA. Semua isu yang belum diselesaikan/ditutup akan disusuli dalam mesyuarat JKA sehinggalah ia diselesaikan. Perkara ini juga dipaparkan dan dikemaskinikan dalam Dash Board ADP, Treasury Information System (TIMS) dari semasa ke semasa.

  • Apakah peranan ADP dalam pelaksanaan Perakaunan Akruan Kerajaan Persekutuan?

    Peranan utama ADP sebagai second line defender dalam pelaksanaan perakaunan akruan Kerajaan Persekutuan adalah membantu Bahagian Akaun Kementerian mengesahkan data Aset Tak Alih (ATA), Aset Alih (AA), Akaun Belum Terima (ABT), Akaun Kena Bayar (AKB), Asset Under Construction (AUC) untuk tujuan penyediaan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan kelak. Selain daripada itu, pihak ADP juga menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Perakaunan Akruan Kementerian Kewangan untuk membincangkan isu berbangkit dalam pelaksanaan perakaunan akruan.

  • Apakah perbezaan antara Unit Audit Dalam (UAD) Kementerian dan Jabatan Audit Negara (JAN)?

    Audit Dalam memperoleh kuasa dan tanggungjawab secara pentadbiran melalui Pekeliling Perbendaharaan Bil. 9 Tahun 2004 dan melaporkan kepada pihak pengurusan atasan. Kuasa, tugas dan tanggujawab JAN adalah diwajibkan oleh statut perundangan dan melaporkan terus kepada Parlimen.

  • Apakah bidang kuasa Audit Dalam Perbendaharaan di Kementerian Kewangan?

    Bidang kuasa Audit Dalam Perbendaharaan meliputi semua Bahagian/Unit di dalam Perbendaharaan Malaysia serta Jabatan dan Agensi di bawah seliaan Kementerian Kewangan yang menerima geran tahunan dan/atau tidak mempunyai Unit Audit Dalam sendiri.