wrapper

Topik Popular

 

UCAPAN OLEH
YB TUAN LIM GUAN ENG
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

 

KONSULTASI BELANJAWAN 2020

 


TARIKH: 27 JUN 2019 (KHAMIS)
DEWAN UTAMA
KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

 

Yang Berhormat Dato’ Ir. Hj. Amiruddin Hamzah
Timbalan Menteri Kewangan

Yang Berbahagia Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir
Ketua Setiausaha Perbendaharaan

YBhg. Tan Sri, Datuk Seri, Dato’, Datin, Tuan, Puan sekalian

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam Harapan,

1. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir, serta kepada mereka yang telah mengemukakan memorandum bagi penyediaan Belanjawan 2020. Untuk makluman semua, Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober 2019.

2. Majlis Konsultasi ini merupakan platform interaksi antara Kerajaan dan sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) untuk semua memberi pandangan dan maklum balas terhadap usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang inklusif.

AGENDA KEMAKMURAN BERSAMA

3. Tema bagi sesi Konsultasi Belanjawan kali ini adalah Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi. Ia mencerminkan dasar Kerajaan yang menggalakkan pertumbuhan berkualiti untuk mencapai status negara maju yang berpendapatan tinggi, di mana pertumbuhan dapat dirasai bersama oleh setiap lapisan masyarakat.

4. Dalam mengetengahkan pertumbuhan inklusif, saya percaya Kerajaan tidak dapat lari daripada tanggungjawabnya membekalkan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kepada rakyat, sambil menjamin hak asasi ke atas pekerjaan yang bermaruah, tempat tinggal yang sempurna dan kebebasan daripada ketidakadilan yang timbul daripada kuasa monopoli. Pembangunan mampan perlu dipacu oleh sektor swasta, dengan sektor awam memastikan adanya kedaulatan undang-undang, persaingan sihat, ketelusan, kecekapan, asas ekonomi yang kukuh serta keadaan politik dan sosial yang selamat dan stabil. Pertumbuhan inklusif dan mampan perlu mewujudkan ekonomi berkeusahawanan berpaksikan kepada Kerjasama 4P antara sektor awam, sektor swasta, para profesional dan orang awam.

MEMBINA JARING KESELAMATAN YANG LEBIH LUAS

5. Kerajaan sedang membina jaringan keselamatan yang lebih luas bagi memenuhi agenda Kemakmuran Bersama.

6. Dalam tahun pertama pentadbiran ini, kita telah berjaya memperkenalkan skim lindungan mySalam untuk kumpulan B40. Skim mySalam menguatkan lagi sistem kesihatan awam, sambil meningkatkan keselamatan kewangan (financial security) bagi 3.8 juta rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah sekiranya mereka mengalami masalah kesihatan. Keselamatan kewangan ini dipertingkatkan melalui pemberian RM8,000 secara one-off jika seseorang itu mengalami salah satu daripada 36 penyakit kritikal. Skim ini juga memberi pesakit RM50 sehari sehingga maksimum RM700 setahun sebagai pendapatan gantian jika seseorang tersebut diwadkan di hospital awam.

7. Kerajaan juga sedang menimbang cadangan untuk menggalakkan setengah juta belia Malaysia untuk bekerja. Jika dilaksanakan, usaha ini dapat merendahkan pengangguran di kalangan belia, di mana kadar pengangguran bagi kumpulan ini telah meningkat ke 10.9% pada tahun 2018 daripada 9.9% pada tahun 2011. Kadar ini adalah lebih tinggi berbanding kadar pengangguran 3.4% bagi seluruh negara.

8. Masalah pengangguran perlu dilihat sudut ekonomi dan juga aspek sosial, terutama sekali apabila masyarakat sentiasa memandang serong terhadap seseorang penganggur. Ini adalah kerana sesuatu pekerjaan itu bukan sahaja membantu memenuhi keperluan ekonomi peribadi, tetapi ia juga memberi makna dan maruah dalam kehidupan seharian kita.

MENGAWAL KOS SARA HIDUP

9. Kerajaan juga berjaya mengawal kenaikan kos sara hidup secara aktif. Ini dibuktikan dengan kadar inflasi kekal rendah dan stabil pada 0.2% pada bulan Mac, April dan Mei 2019.

10. Sebuah Indeks Kos Sara Hidup sedang direka oleh Kerajaan bagi membantu majikan dan orang ramai menentukan gaji yang berpatutan yang membolehkan seseorang itu hidup selasa dan bermaruah. Indeks ini bersama dengan Indeks Harga Pengguna akan membantu Kerajaan membuat dasar yang sesuai bagi meningkatkan mutu hidup rakyat.

11. Pada masa yang sama, pihak berkuasa sentiasa menangani kuasa monopoli agar kebajikan rakyat terpelihara. Antara contoh terbaik yang membuktikan kesungguhan pentadbiran ini dalam menangani masalah kuasa monopoli adalah kejayaan Kerajaan meningkatkan kelajuan jalur lebar sambil memastikan harga perkhidmatan tersebut berada pada tahap yang berpatutan. Perkhidmatan jalur lebar yang laju, murah dan boleh dipercayai merupakan kunci kepada usaha digitalisasi ekonomi Malaysia.

MENGGALAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI

12. Pertumbuhan gaji, dan bukan sahaja kos sara hidup, juga penting dalam meningkatkan mutu hidup rakyat. Tiada gunanya ekonomi berkembang pesat sekiranya gaji masih di takuk lama. Gaji pekerja hanya dapat dinaikkan secara mampan jika ia diiringi dengan peningkatan produktiviti.

13. Kerajaan telah mengenal pasti Industri 4.0 sebagai pemacu pertumbuhan produktiviti, gaji dan ekonomi. Ini secara khususnya memerlukan digitalisasi ekonomi negara serta penggunaan teknologi terbaharu seperti automasi, kecergasan buatan dan big data dengan lebih meluas.

14. Kita perlu mempercepatkan proses digitalisasi jika kita tidak mahu ketinggalan berbanding negara-negara lain. Dalam Belanjawan 2019, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah untuk menggalakkan digitalisasi terutamanya di kalangan perusahaan kecil dan sederhana atau SME. Antara langkah-langkah tersebut adalah skim jaminan bernilai RM2 bilion yang diurus oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) untuk memudahkan akses pembiayaan bagi menerapkan teknologi Industri 4.0 dalam model perniagaan SME. RM1 bilion juga telah dikhaskan untuk SME bumiputera. Kedua-dua kemudahan kewangan ini adalah sebahagian daripada RM6.5 bilion skim jaminan untuk SME daripad SJPP, iaitu satu syarikat milik kerajaan.

15. Selain itu, Kerajaan juga menyediakan RM3 bilion melalui Dana Transformasi Pendigitalan Industri di bawah Bank Pembangunan untuk meluaskan penggunaan teknologi digital di kalangan syarikat tempatan.

16. Akan tetapi, Kerajaan tidak dapat melakukan semua ini secara bersendirian. Kita berharap supaya semua pihak melalui Kerjasama 4P berganding bahu untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Satu contoh kolaborasi antara sektor awam dan swasta adalah sumbangan RM50 juta daripada Kerajaan ke dalam sebuah dana pelaburan bersama (co-investment fund) untuk memajukan sektor fintech, dan secara khususnya bagi memajukan kaedah pembiayaan equity crowdfunding (ECF) dan peer-to-peer (P2P) bagi micro-SME.

17. Kita juga perlu memanfaatkan kelebihan universiti kita untuk mewujudkan sebuah negara berkeusahawanan (enterpreneurial state). Kita boleh meletakkan sebuah jabatan pusat setempat (one stop centre) berdekatan dengan universiti dan kawasan perindustrian berteknologi tinggi yang lengkap dengan pejabat paten, perdagangan dan pejabat kewangan, serta pusat incubator dan accelerator untuk syarikat permulaan (start-up) bagi menggalakkan para graduan dan usahawan untuk mengkomersialkan idea baharu mereka.

DAYA SAING DAN PERANG PERDAGANGAN

18. Digitalisasi dan pewujudan negara berkeusahawanan akan membantu Malaysia meningkatkan lagi daya saing negara. Pada tahun 2019, IMD telah meletakkan Malaysia sebagai negara ke-22 yang paling berdaya saing di dunia. Bank Dunia pula telah menobatkan Malaysia sebagai negara ke-15 yang paling mudah untuk menjalankan perniagaan.

19. Daya saing Malaysia ini telah membolehkan Malaysia mendapat manfaat daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan negara China melalui pemindahan perniagaan serta lencongan perdagangan dan pelaburan. Seperti yang telah saya perkatakan sebelum ini, pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan bagi suku pertama 2019 telah naik 73.4% kepada RM29.3 bilion daripada RM16.9 bilion setahun lalu.

20. Peningkatan ini dipacu oleh kenaikan FDI pembuatan yang diluluskan sebanyak 127% kepada RM20.2 bilion daripada RM8.9 bilion setahu lalu. Daripada RM20.2 bilion ini, RM11.5 bilion datang daripada Amerika Syarikat dan RM4.4 bilion daripada China. Ini sekali lagi membuktikan Malaysia mendapat manfaat daripada perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia.

21. FDI yang diluluskan menggambarkan FDI sebenar yang akan direalisasikan dalam masa terdekat. Kerajaan sedang memastikan supaya FDI yang diluluskan ini akan dijalankan dengan secepat mungkin bagi membantu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan yang baharu untuk rakyat.

22. Walau bagaimanapun, perang perdagangan yang berlarutan akan merendahkan pertumbuhan Malaysia. Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telahpun memotong pertumbuhan dunia bagi tahun 2019 daripada 3.5% kepada 3.3% akibat perang perdagangan.

23. Perang perdagangan ini sedang mengubah rantaian bekalan global secara berkekalan. Malaysia mesti bersedia untuk merebut peluang yang wujud daripada perubahan ini. Saya bersedia untuk mendengar cadangan-cadangan daripada anda semua tentang bagaimana Malaysia boleh menjadi pangkalan pembuatan yang penting dalam rantaian bekalan global yang baharu ini.

MEMENUHI JANJI PEMBAHARUAN INSTITUSI

24. Sambil mengejar pertumbuhan ekonomi, Kerajaan sedar betapa pentingnya kualiti sesuatu pertumbuhan tersebut. Berdasarkan kepada prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), Kerajaan akan beralih kepada perakaunan akruan daripada perakaunan tunai dengan sepenuhnya pada tahun 2021. Peralihan ini akan memastikan semua hutang dan liabiliti kerajaan dapat dikenal pasti dan diurus dengan lebih telus dan menyeluruh.

25. Kerajaan telah pun berjaya merendahkan nisbah hutang dan liabilitinya daripada 79.3% berbanding KDNK pada tahun 2017 kepada 75.4% pada tahun 2018. Pengurangan ini disumbangkan oleh pengurusan perbelanjaan dan hutang yang lebih cekap, penjimatan daripada pelbagai projek awam serta pertumbuhan ekonomi yang sihat.

26. Langkah konsolidasi fiskal sedang dijalankan. Kerajaan akan merendahkan defisit fiskalnya daripada 3.7% berbanding KDNK pada tahun 2018 kepada 3.4% tahun ini dan seterusnya kepada 3.0% pada tahun 2020 dan kurang daripada 3.0% pada tahun 2021. Langkah ini diperlukan bagi memelihara penarafan kredit Malaysia yang tinggi pada paras A3/A-.

27. Kerajaan ingin berbelanja dengan lebih bagi menyokong pertumbuhan ekonomi. Akan tetapi, terdapat isu legasi seperti 1MDB yang perlu ditangani dahulu. Tiada satu negara pun mampu hilang RM150 bilion tanpa menjejaskan keadaan fiskalnya. Saya yakin dalam masa 2-3 tahun, Kerajaan akan memperbaiki keadaan fiskal kerajaan dan seterusnya, mampu untuk menyokong pertumbuhan Malaysia dengan lebih hebat lagi.

28. Usaha pembaharuan institusi yang lain termasuklah pengenalan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan yang akan meningkatkan kredibiliti dan akauntabiliti kewangan awam. Tambahan lagi, Pejabat Pengurusan Hutang telah ditubuhkan untuk memastikan segala hutang dan liabiliti kerajaan diurus dengan secara lebih teratur dan lebih menyeluruh.

RESPONS TERTINGGI DALAM SEJARAH

29. Akhir sekali, Kementerian Kewangan telah mengumpul respons daripada 162 organisasi tentang 1,516 isu. Ini adalah respons yang tertinggi yang diterima dalam sejarah. Jumlah cadangan yang tinggi ini menunjukkan bahawa rakyat bersemangat untuk menyumbang. Sebagai sebuah kerajaan yang mendengar dan menghormati suara rakyat, pihak saya akan meneliti segala cadangan dan pandangan yang dilontarkan sebaik boleh.

PENUTUP

30. Perbincangan dan konsultasi ini tidak akan berakhir di sini. Saya sedar bahawa ada enam isu utama yang selalu dibangkitkan. Pertama, keperluan melonggarkan prosedur pinjaman supaya perniagaan boleh mendapatkan akses kepada peminjaman secara lebih meluas. Kedua, hal-hal percukaian. Ketiga ialah berkenaan dengan pengambilan pekerja, termasuk pekerja-pekerja asing. Keempat ialah aset penyampaian, kerana ada pandangan bahawa birokrasi boleh dikurangkan, dan penyampaian oleh para anggota pentadbir bolehlah ditingkatkan supaya urusan rasmi dapat dipermudahkan dan diselesaikan secara lebih efisien. Kelima, kebimbangan tentang perang dagangan yang berlangsung sekarang antara Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China yang akan menjejaskan iklim ekonomi negara, tetapi itu di luar kawalan negara-negara seperti Malaysia. Keenam, ialah keperluan kita menjalankan transformasi ke arah industri 4.0 supaya kita boleh menjadi sebahagian daripada ekonomi digital yang amat diperlukan untuk membolehkan perniagaan terus wujud dan berkembang pada keadaan ekonomi digital hari ini.

31. Selain daripada perkara-perkara tersebut, kita juga memberikan penekanan kepada perkara-perkara sosial dan keselamatan. Keselamatan adalah pra-syarat untuk pembangunan ekonomi yang kukuh. Sekiranya kita tidak ada suasana yang selamat, sukar untuk memastikan pembangunan dapat diteruskan. Oleh itu, pihak Kerajaan akan berikan penekanan kepada anggota atau pasukan keselamatan supaya mereka boleh jalankan tugas mereka dengan profesional dan baik. Dan saya yakin, bahawa bawah pimpinan kerajaan sekarang yang komited untuk menjalankan tugas secara berintegriti dan cekap, isu-isu keselamatan akan terus terjamin di Malaysia. Tentang isu-isu kebajikan, tentu program-program kebajikan akan diteruskan dan kita sedia mendengar cadangan-cadangan baharu. Namun, kami di sini berharap semua pihak boleh faham kekangan kewangan di mana kami terpaksa tangani isu-isu khususnya berkaitan dengan perlunya mengisi kehilangan RM150 bilion, dan itu sesuatu halangan yang menyulitkan usaha kita untuk menjalankan semua program-program kebajikan kita.

32. Dalam beberapa bulan yang akan datang, pelbagai diskusi, rundingan, dan mesyuarat akan diadakan untuk memahami dengan lebih lanjut isu dan cadangan yang telah dikemukakan pada hari ini.

Sekian, terima kasih.