wrapper

Topik Popular

 

TALKING POINTS
YB TUAN LIM GUAN ENG
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

 

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA LHDNM
GEMERSIK SYAWAL @ 2019

 


TARIKH: 25 JUN 2019 (SELASA)
DEWAN BANGSAWAN
MENARA HASIL CYBERJAYA

 

Terima kasih saudara Pengacara Majlis.

Salam sejahtera dan selamat pagi

YBhg. Dato' Haji Amiruddin Bin Haji Hamzah
Timbalan Menteri Kewangan Malaysia

YBhg. Datuk Ahmad Badri Bin Mohd Zahir
Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap
Pengerusi Anggota Lembaga LHDNM

YBhg. Dato’ Sri Sabin Bin Samitah
Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM

YBhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin,

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Rakan-rakan Media

Dan Hasilian yang dihormati sekalian.

PENDAHULUAN

1. Terlebih dahulu, saya mewakili seluruh warga Kementerian Kewangan Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidlifitri kepada semua warga kerja Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

2. Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih saya rakamkan kepada Yang Berbahagia Dato’ Sri Sabin Bin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM dan seluruh Hasilian kerana menjemput saya dan delegasi Kementerian Kewangan Malaysia ke majlis sambutan hari raya pada kali ini. Terima kasih semua.

KEPENTINGAN PERPADUAN DAN KEAMANAN NEGARA

Para Hadirin sekalian,

3. Pihak Kerajaan Persekutuan memikul tanggungjawab yang berat untuk merealisasikan maksud kesejahteraan kepada rakyat. Ia bukan hanya merangkumi soal keselamatan negara sahaja, tetapi juga kestabilan dari aspek ekonomi, politik dan sosial serta perpaduan rakyat.

HARAPAN KERAJAAN KEPADA LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA (LHDNM)

4. Peningkatan kualiti dan prestasi adalah diperlukan dalam melaksanakan tugas dengan amanah, sentiasa mengikut prinsip ‘rule of law’, bebas daripada unsur-unsur rasuah, juga sentiasa berusaha memartabatkan undang-undang percukaian serta menguruskan masa dengan cekap, baik dan bijaksana.

5. Begitu juga penekanan terhadap elemen masa di mana sekarang ini kita berada di pertengahan tahun 2019. Dengan erti kata lain, tempoh ditetapkan dalam mencapai sasaran kutipan cukai berjumlah RM150 bilion juga semakin singkat.

6. Walaubagaimanapun, saya yakin LHDNM telah mengatur dan memperkemaskan strategi-strategi sepatutnya bagi tujuan tersebut, termasuklah mempergiatkan lagi makluman Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) kepada pembayar cukai yang akan memasuki fasa kedua, di mana konsesi penalti sebanyak 10 peratus hanya tinggal kira-kira 5 hari sahaja lagi dan akan tamat pada 30 Jun 2019 manakala penalti 15 peratus akan bermula dari 1 Julai hingga 30 September 2019.

7. PKPS memberikan fokus utama kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara serta mempunyai pendapatan yang dijana dari dalam Malaysia tetapi masih belum melaporkannya kepada LHDNM. Pada masa yang sama Kerajaan juga mengalu-alukan mana-mana pembayar cukai tempatan yang tidak mempunyai akaun bank di luar negara untuk membuat apa juga pengakuan secara sukarela berhubung pendapatan yang berpunca dari dalam Malaysia dan masih belum dilaporkan sekiranya ada.

8. Melalui PKPS, individu yang mempunyai pendapatan yang belum dilaporkan adalah disaran untuk segera hadir ke pejabat LHDNM sebelum tempoh PKPS tamat pada 30 September untuk mengelakkan daripada dikenakan penalti 45 peratus ke atas bagi mana-mana kesalahan tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan kesalahan kurang melaporkan cukai pendapatan. Bagi pengakuan sukarela yang dilaporkan sebelum 30 Jun 2019, kadar penalti 10 peratus akan dikenakan untuk kesalahan yang sama, manakala laporan yang diberikan antara 1 Julai hingga 30 September 2019, dikenakan kadar penalti 15 peratus.

9. LHDN akan menerima setiap pengakuan sukarela dengan suci hati dan tindakan audit serta siasatan tidak akan dilakukan terhadap pengakuan sukarela itu. Surat pengesahan kesahihan pelaporan cukai juga akan dikeluarkan oleh LHDNM bagi setiap pengakuan sukarela yang diterima, setakat 2017 untuk individu, dan 31 Mac 2018 untuk syarikat.

10. Begitu juga layanan kepada bakal pembayar cukai masa depan yang mungkin hari ini adalah penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR). Tidak mustahil, satu hari kelak mereka juga akan menjadi pembayar cukai yang besar. Layanan yang diberikan oleh Hasilian adalah penting kerana sebarang kesilapan boleh membawa kesulitan seperti yang pernah dibangkitkan oleh Tun Daim Zainuddin.

11. Paling penting, biarlah rakyat mengenali LHDNM ini sebuah organisasi penguatkuasaan yang mesra, kompeten, telus, berintegriti dan tinggi profesionalisme dalam kalangan warga kerjanya.

PENUTUP

12. Bagi mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta yang telah menyediakan pelbagai perkhidmatan berhubung dengan harta tanah dan menawarkan inovatif baru dalam perkongsian data dan maklumat harta tanah.Sebelum saya akhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada LHDNM atas jemputan untuk bertemu Tuan-tuan dan Puan-puan dalam Majlis Gemersik Syawal ini.

13. Harapan saya LHDNM akan sentiasa berdiri teguh di belakang pihak kerajaan dalam usaha-usaha mensejahterakan dan memakmurkan negara kita. Sesungguhnya LHDNM dan Kementerian Kewangan Malaysia berpisah tiada.14. Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin untuk semua.

Sekian, terima kasih.

YB Lim Guan Eng
Menteri Kewangan Malaysia
25 Jun 2019