wrapper

Topik Popular

 

UCAPAN OLEH
YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan

Pelancaran Dana Pengangkutan Awam

2 Mei 2019, Aloft Kuala Lumpur Sentral


 

YBhg Datuk Zaiton Mohd Hassan,
Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd.,

YBhg Encik Arshad Mohamed Ismail,
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd,

Barisan pengurusan kanan dan pegawai daripada kementerian, agensi dan sektor swasta

Tetamu kehormat

Ahli-ahli Media

1. Selamat petang dan Salam Harapan. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bank Pembangunan Malaysia kerana menjemput saya untuk melancarkan Dana Pengangkutan Awam bernilai RM500 juta, yang kami harap dapat memupuk peningkatan penggunaan pengangkutan awam dengan meningkatkan infrastruktur dan ketersambungan.

2. Peningkatan pengangkutan awam di seluruh Malaysia ialah satu inisiatif yang sangat memanfaatkan rakyat Malaysia secara besar-besaran, merangkumi pelbagai kumpulan pendapatan dan umur. Seperti yang kita semua sedar, perbelanjaan pengangkutan adalah perbelanjaan yang kedua terbesar selepas perbelanjaan perumahan, dan kebanyakan isi rumah Malaysia memiliki lebih daripada satu kereta. Ini antara lain kerana kereta merupakan sebuah keperluan, kerana kos perumahan yang tinggi berhampiran pusat bandar telah menyebabkan ramai yang berpendapatan rendah untuk tinggal di kawasan kejiranan di mana sambungan pengangkutan awam amat terhad. Ramai yang terpaksa membeli sekurang-kurangnya sebuah kereta kecil atau motosikal untuk ke tempat kerja dan perkara ini telah menambah beban kepada keadaan kewangan mereka yang lemah.

3. Maka tidak menghairankan bahawa, menurut tinjauan Nielsen pada tahun 2014, 93% isi rumah Malaysia memiliki sekurang-kurangnya satu kereta, yang menempatkan isi rumah Malaysia sebagai yang ketiga tertinggi di dunia. Sementara itu, kadar penggunaan pengangkutan awam di Kuala Lumpur, ibu kota kita dengan infrastruktur pengangkutan awam yang paling maju, berada pada sekitar 20%, berbanding dengan 36% di Jakarta, 30% di Bangkok dan 67% di Singapura. Laporan Bank Dunia 2015 juga menunjukkan bahawa kos pengangkutan di Kuala Lumpur adalah 50% lebih tinggi berbanding Hong Kong dan Tokyo.

4. Oleh itu, kita haruslah menjadikan rangkaian pengangkutan awam kita sebagai pilihan yang berdaya maju dan menarik untuk pengguna, bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi di semua bandar-bandar utama kita. Kerajaan telah memulakan inisiatif untuk mencapai matlamat ini, seperti pengenalan kad bulanan MY100 untuk perjalanan tanpa had di MRT, LRT dan Rapid KL untuk RM100 sebulan dan kad MY50 untuk perjalanan tanpa had di bas Rapid KL untuk RM50 sebulan. Bagi 2019, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM240 juta untuk menampung perjalanan penumpang yang menggunakan kad MY100 dan MY50. Inisiatif-inisiatif ini telah diterima dengan hangat, di mana seramai 87,348 pengguna telah melanggan MY100, setakat Mac 2019. Pembinaan kereta api LRT3 dan MRT2 akan terus meningkatkan perhubungan di ibu negara kita dalam dekad yang akan datang.

5. Bahawa dikatakan, kerajaan juga menyedari keperluan untuk berbelanja dengan berhemah dalam menjalankan projek-projek ini berdasarkan unjuran yang realistik dan terma terbaik untuk memastikan manfaat terbaik bagi rakyat. Selepas tempoh rundingan semula, Kerajaan Pakatan Harapan telah berjaya mengurangkan kos projek LRT3 sebanyak RM15.02 bilion (47%) kepada RM16.63 bilion, MRT 2 sebanyak RM5.22 bilion (23%) kepada RM17.42 bilion (untuk kerja di atas tanah) dan ECRL sebanyak RM21.5 bilion (32.8%) kepada RM44 bilion.

Para Hadirin Sekalian,

6. Malaysia komited terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs) yang merupakan desakan dunia untuk menyelesaikan masalah kemiskinan, memacu pertumbuhan ekonomi dan menangani perubahan iklim. Secara khususnya, Matlamat 11 menyeru agar menjadi bandar lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan. Ini amat penting disebabkan pembandaran yang pesat telah memberi tekanan kepada kualiti udara, persekitaran hidup dan kesihatan awam. Pembaharuan pengangkutan bandar boleh menjadi pemangkin yang kuat untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan, SDGs.

7. Dianggarkan bahawa kadar urbanisasi di Malaysia akan meningkat sebanyak 80% menjelang tahun 2020. Kadar urbanisasi yang pesat ini sememangnya akan menjadi salah satu rintangan terhadap memastikan semua segmen masyarakat di negara kita memperolehi hidup yang lebih baik disamping dapat meningkatkan kualiti hidup dan kestabilan pada pertumbuhan bagi bandar-bandar. Pengangkutan jalan merupakan elemen yang merangkumi 85% daripada semua pelepasan C02 di Malaysia. Ini termasuklah 59% dikeluarkan daripada kereta dan 11% dikeluarkan oleh motosikal. Jelas menunjukkan bahawa dalam beberapa dekad yang akan datang, penambahbaikkan dalam kestabilan pengangkutan perlu dilakukan melalui cara penggunaan perkhidmatan bas dan komuter sebagai ganti kepada penggunaan kereta dan motosikal peribadi.

8. Berdasarkan data yang diperolehi daripada Bank Dunia, pengangkutan bandar merupakan komponen yang paling lemah dalam sistem pengangkutan awam di Malaysia. Akibat hal ini, berjuta-juta rakyat menghadapi kesan daripada kesesakan jalan raya setiap hari. Dianggarkan bahawa penduduk di Kuala Lumpur menghabiskan lebih daripada 250 juta jam dalam setahun kerana terlibat dalam kesesakan jalan raya atau sekitar 20 hari dalam setahun bagi setiap penduduk. Pada masa yang sama, dapat dilihat bahawa pengangkutan antara bandar dan pengangkutan di kawasan pendalaman adalah lebih membanggakan terutamanya pengangkutan antara bandar yang telah menjadikan Malaysia berada di kedudukan yang tinggi dalam indeks logistik global. Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa cabaran yang perlu diberikan penekanan dari segi meningkatkan taraf pengangkutan ke kawasan yang terpencil dan masih ketinggalan terutamanya di kawasan utama Sabah & Sarawak dan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.

9. Sebagai usaha kerajaan untuk memperbaiki sekaligus meningkatkan sistem pengangkutan awam sedia ada di Malaysia termasuklah infrastruktur dan perkhidmatan, kerajaan telah memperkenalkan Dana Pengangkutan Awam yang akan diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia. Melalui dana ini, kerajaan berharap dapat meningkatkan bilangan rakyat yang menjadi penggunaan pengangkutan awam dengan membiayai peningkatan sistem. Dana yang diperolehi dapat digunakan untuk membeli kenderaan seperti taxi, bas dan beberapa jenis pengangkutan yang boleh digunakan oleh pengendali, pembekal, pengeluar, pemasang kenderaan pengangkutan awam dan kontraktor serta pemaju infrastrktur ini. Selain itu, subsidi kadar pembiayaan sebanyak 2% juga akan diberikan kepada pemohon yang berjaya.

10. Inisiatif ini menggambarkan usaha kerajaan untuk menggalakkan konsep “negara keusahawanan” di mana pihak kerajaan akan memberikan sokongan dan menyediakan lebih banyak insentif kepada sektor yang dikira strategik seperti pengangkutan awam. Sektor ini mungkin tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi utnuk menarik pihak pelabur biasa namun sektor ini menghasilkan peluang tinggi untuk memberikan kesan pekali berganda pada ekonomi negara yang kian meningkat. Melalui usaha seperti Dana Pengangkutan Awam atau terdahulu Dana Industri Digital dan Tabung Pembangunan Mampan yang turut dilancarkan melalui Bank Pembangunan, kerajaan amat berharap dapat memangkinkan penyertaan dan kerjasama daripada sektor swasta secara lebih matang dan telus. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sekarang lebih komited dalam mempromosikan hubungan antara sektor awam dan swasta atau PPP berdasarkan prinsip pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

11. Peranan pengangkutan awam telah banyak melalui perubahan dalam era digital. Kita seharusnya mengambil peluang ini dengan memanfaatkan tekonologi moden seperti data raya dan perkongsian ekonomi dalam membantu mengatasi kekangan hubungan yang ada seperti masalah perbatuan pertama (first mile) dan perbatuan terakhir (last mile) dalam sistem pengangkutan. Penyelesaian digital juga boleh digunakan untuk menjadikan sistem pengangkutan lebih lancar dan ini akan mengurangkan kadar kesesakan dalam kereta api. Selain itu, teknologi digital juga akan memudahkan perjalanan harian dengan menyediakan penumpang dengan kemas kini keadaan lalu lintas dan gangguan perkhidmatan, mengira anggaran masa perjalanan mereka, dan memberi mereka sambungan dengan akses WiFi sepanjang perjalanan.

Para Hadirin Sekalian,

12. Saya sangat berharap pihak yang terlibat dalam industri atau bagi yang berminat untuk berada dalam industri akan mengambil peluang melalui program Dana Pengangkutan Awam ini bagi menghasilkan pengangkutan awam yang lebih efisyen dan dapat menjadi sebahagian dari faktor yang menyumbang kepada kemakmuran negara.

Terima kasih.