wrapper

Topik Popular

 

KEMPEN PEMILIKAN RUMAH –EKSPO HARTA TANAH & PERUMAHAN
MALAYSIA(HOC –MAPEX)

UCAPAN UPACARA PERASMIAN
YB TUAN LIM GUAN ENG
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

MID VALLEY EXHIBITION CENTRE (MVEC), KUALA LUMPUR

26 APRIL 2018, 3:00PM


 

Yang Berbahagia Dato’Ir Soam Heng Choon

Presiden, REHDA Malaysia;

Yang Berbahagia Datuk Ng Seing Liong

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur MAPEX 2019;


Salam sejahtera kepada semua,

 

PENGENALAN

1. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di atas jemputan untuk merasmikan Kempen Pemilikan Rumah–Ekspo Harta Tanah dan Perumahan Malaysia (HOC –MAPEX 2019).

HOC –MAPEX 2019

2. Perumahan merupakan satu keperluan asasi. Malangnya, bukan semua mampu memilikinya. Antara aduan yang telah diterima oleh kerajaan adalah harga rumah terlampau mahal serta kos bayaran pendahuluan yang tinggi.

3. Ini adalah salah satu sebab mengapa pihak Kerajaan telah memperkenalkan beberapa insentif yang relevan semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada bulan November yang lalu. Antaranya ialah Home Ownership Campaign atau HOC 2019, yang bermula pada1 Januari 2019 sehingga 30 Jun 2019. Melalui HOC, para pemaju digalakkan memberi diskaun sekurang-kurangnya10% ke atas harga jualan.

4. Kementerian Kewangan juga telah mengecualikan duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi pembelian rumah kediaman berkelayakan yang bernilai melebihi RM300,000 hingga RM2.5 juta. Pengecualian duti setem 100% diberikan terhad hanya kepada RM1 juta pertama nilai jualan. Baki selebihnya tertakluk kepada kadar 3%. Kerajaan juga bersetuju mengecualikan duti setem secara sepenuhnya ke atas perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman yang berkelayakan bernilai melebihi RM300,000 sehingga RM2.5 juta.

5. Tawaran ini sah untuk rakyat Malaysia sahaja dan adalah hanya bagi jualan yang dimuktamadkan dari Januari sehingga Jun 2019 ketika kempen HOC untuk projek perumahan yang diberikan diskaun sekurang-kurangnya 10% serta disahkan oleh REHDA. Kempen ini dijalankan serentak di seluruh negara dengan kerjasama semua persatuan pemaju perumahan.

6. Selain dari itu, ada juga pemaju yang menawarkan insentif-insentif tambahan untuk menarik minat bakal pemilik rumah. Silalah kunjungi reruai (kiosk) mereka untuk melihat tawaran-tawaran yang disediakan.

MERANCAKKAN LAGI SUBSEKTOR PERUMAHAN

7. Di samping membantu rakyat memiliki rumah sendiri, kempen HOC bertujuan mempergiatkan lagi industri harta tanah dan perumahan.

8. Menurut Statistik Ekonomi Tahunan 2018 yang diterbitkan oleh Jabatan Statistik Malaysia, subsektor perumahan adalah salah satu penyumbang utama di dalam sektor pembinaan, dengan nilai output kasar sebanyak RM50.5 bilion pada tahun 2017, atau 24.7% dari nilai output keseluruhan sektor pembinaan bernilai RM204.4 bilion

9. Laporan Tinjauan Ekonomi 2019 oleh Kementerian Kewangan turut menyatakan bahawa pertumbuhan sektor pembinaan dijangka meningkat pada tahun ini dan berkembang 4.7%, berbanding 4.5% dalam tahun 2018.

MENGURANGKAN LONGGOKAN RUMAH YANG TIDAK DIJUAL

10. Kerajaan komited untuk mengurangkan stok rumah tidak dijual yang membelenggu industri. Walaupun bagaimanapun, ia bukan satu penyelesaian jangka panjang. Untuk memperkukuhkan lagi industri pembinaan dan perumahan di masa hadapan, semua pemegang taruhindustri perlu memainkan peranan masing-masinguntuk memastikan sektor perumahan kekal mampan.

11. Dari sudut penawaran, pihak pemaju perlu lebih peka kepada kehendak pasaran dan pembeli. Pemaju harus menumpukan perhatian kepada rumah mampu milik dan mengurangkan pembinaan hartanah mewah. Ini bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mampu mendiami rumah milikan sendiri tanpa dibebani dengan hutang yang berlebihan, sambil tidak terus menyumbang kepadamasalah longgokan hartanah yang tidak terjual.

12. Pihak Kerajaan juga sering mendengar keluhan para pemaju yang menyuarakan bahawa ‘cost of doing business’ yang tinggi, yang menyukarkan mereka untuk menurunkan harga rumah. Kerajaan telah pun menjalankan beberapa inisiatif untuk menangani masalah tersebut. Sebagai contoh, Cukai Jualan dan Perkhidmatan(SST) tidak dikenakan ke atas perkhidmatan pembinaan dan bahan mentah bagi membantu para pemaju mengurangkan kos pembinaan dalam masa jangka panjang yang seterusnya boleh diberikan kepada pembeli.

13. Dari sudut permintaan, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menubuhkan Dana Rumah Mampu Milik sebanyak RM1 Bilion untuk membantu golongan berpendapatan rendah membeli rumah mampu milik bernilai sehingga RM150,000. Kerajaan juga telah mengumumkan pengecualian penuh bagi duti setem surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM300,000, selain insentif-insentif kempen HOC seperti yang telah saya terangkan.

14. Kerajaan memahami akan kesukaran orang ramai untuk mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah. Kerajaan bersama BNM sedang berusaha melonggarkan syarat-syarat pinjaman tanpa menjejaskan kestabilan sistem kewangan negaradan tanpa meningkatkan tahap keterhutangan isi rumah. Tuan-tuan dan puan-puan digalakkan menulis melalui emel atau surat kepada saya dan Kementerian Kewangan jika menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman bank untuk tujuan pembelian rumah. Pihak saya akan memanjangkan aduan tersebut kepada BNM sebagai institusi yang berwibawasupaya mereka dapat meneliti dan membantu tuan-tuan dan puan-puan.

EKONOMI NEGARA BERTUMBUH SECARA MAMPAN

15. Saya ingin mengingatkan bahawa pemansuhan GST dan pengenalan semula SST, serta penstabilan harga minyak telah berjaya mengawal kenaikan hargabarangan. Ini terbukti apabila Indeks Harga Pengguna(CPI) naik hanya 0.2% dalam bulan Mac, selepas turun 0.7% dan 0.4% masing-masing untuk bulan Januari dan Februari.Penurunan CPI secara one-off dan tidak berterusan juga membuktikan bahawa ekonomi negara sedang berkembang.

16. Kerajaan yakin dapat mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 4.9% untuk tahun ini, walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi luaran. Antara bayangan yang menunjukkan pertumbuhan ekonomi adalah sihat adalah peningkatan jumlah jualan kenderaan. Berdasarkan kepada data terbitan Malaysian Automotive Association, jumlah kenderaan persendirian dan komersial yang dijual dalam bulan Mac 2019 telah meningkat 9.6% tahun-ke-tahun.

17. Pertumbuhan ini sedang dibantu dengan pemulangan semula tunggakan GST dan cukai pendapatan oleh Kerajaan yang sebelum ini ditahan pentadbiran terdahulu selama beberapa tahun. RM37 bilion akan dipulangkan kepada pembayar cukai dalam tahun ini dan setakat akhir-Feb 2019, RM7.9 bilion telah berjaya dipulangkan.

18. Pada masa yang sama, sasaran defisit fiskal 3.4% berbanding KDNK untuk tahun ini dijangka dapat dicapai. Harga minyak Brentyang telah naik kepada USD74.40 setong pada 24 April 2018 sedang menyumbang kepada pendapatan Kerajaan, walaupun Kerajaan sedang menyekat kenaikan harga runcit minyak RON95 kepada hanya RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter untuk diesel. Mengikut harga pasaran, RON95 sepatutnya berharga RM2.50 seliter, manakala diesel pula sepatutnya berharga RM2.46 seliter.

PENUTUP

19. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada di atas kesediaan REDHA menjadi rakan kongsi Kerajaan untuk memastikan Kempen Pemilikan Rumah tahun ini berjalan dengan lancar. Kerjasama strategik ini mencerminkan hubungan baik kedua-dua pihak dan komitmen Kerajaan yang sentiasa mencari jalan atau kaedah yang terbaik untuk kesejahteraan industri, negara dan juga rakyat.

20. Untuk pengunjung sekalian, saya berharap anda akan menjumpai rumah idaman anda pada harga yang berpatutan.

Terima kasih.