wrapper

Topik Popular

 

MAJLIS TEMU MESRA ANTARA WARGA MALAYSIA DI WASHINGTON DC

DAN

MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

April 13 2019


 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Selamat petang,

1. Terima kasih kerana hadir pada hari ini. Saya selalu gembira apabila dapat bertemu dengan warga Malaysia yang tinggal, bekerja, dan belajar di luar negara supaya dapat mengetahui apa yang sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan fikirkan tentang Kerajaan Malaysia. Sebagai sebuah kerajaan yang telus dan akauntabel, kami sedia mendengar pandangan dan kritkan yang akan membantu kami menjadi lebih baik demi negara kita, Malaysia.

TUGAS-TUGAS PEMBERSIHAN

2. Malaysia yang telah kami warisi daripada pentadbiran terdahulu bukan dalam keadaan yang baik. Sudah tentu negara kita telah berjaya capai pelbagai kejayaan termasuk yang boleh dibanggakan pada tahun-tahun sebelum ini. Tetapi kita telah mencapai siling yang menghalang kemajuan kita. Untuk sekian lama, kita telah hidup dalam bayang-bayang sendiri, terpalit dengan pelbagai skandal yang menghakis kita dari dalam.

3. Kita perlu beralih daripada skandal-skandal tersebut dan menjadi tugas kerajaan ini untuk melakukan perkara tersebut, dan sebagai permulaan, kita perlu lakukan pembersihan dan kemudian bina asas yang baik supaya Malaysia dapat bangkit untuk meraih semula tempat kita dalam kalangan ekonomi-ekonomi utama dunia.

4. Pembersihan ini antara lain termasuklah menyelesaikan masalah di tempat-tempat seperti 1MDB, Tabung Haji dan Felda yang disalah urus oleh kerajaan terdahulu. Kerajaan serius dalam usaha pembersihan ini dan telah menyalurkan RM17.8 Bilion kepada TH dan RM6.3 Bilion kepada Felda untuk menyelamatkan institusi-institusi ini daripada kegagalan dan membangunkan mereka kembali supaya menjadi institusi yang disegani seperti dahulu.

5. Kami juga telah mengurangkan kos berlebihan daripada pelbagai projek awam seperti LRT3 dan MRT2 dengan mengatur semula skop mereka untuk mencapai jangkaan trafik lebih realistik tanpa memberi kesan kepada kualiti perkhidmatan dan pembinaan. Untuk LRT3, kita telah berjaya menjimatkan 47% atau RM16.6 bilion daripada kos asal Untuk MRT2, kita telah dapat penjimatan 22% atau RM8.8 Bilion daripada kos pembinaan (tidak termasuk pembayaran faedah, pengambil-alihan tanah dan kos-kos lain). Penjimatan-penjimatan ini dapat dilakukan kerana reka bentuk dan harga model-model terdahulu adalah berlebihan sehingga ia menjadikan pengangkutan awam yang mampu dinaiki semua suatu perkara yang mustahil. Sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin terhadap kos-kos sara hidup yang dihadapi rakyat, ia menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan projek-projek ini mempunyai harga yang berpatutan.

REFORMASI INSTITUSI YANG MENYELURUH

6. Meskipun pelbagai kritikan dilontarkan terhadap kerajaan kerana dianggap lambat penuhi janji-janji pilihanraya kami, kami telah berjaya menyampaikan beberapa reformasi besar dari awal lagi. Sebagai contoh, sebab mengapa saya berdiri di hadapan anda semua hari ini ialah kerana pendirian Pakatan Harapan untuk mengelakkan berlaku perselisihan kepentingan yang timbul apabila jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipegang oleh orang yang sama.

7. Contoh lain reformasi yang telah dilaksanakan ialah pembersihan GLC daripada campur tangan politik. Dalam beberapa bulan sejak memegang tampuk kuasa ini, Kerajaan telah memastikan bahawa semua ahli Lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan terdiri daripada profesional, dan bukannya ahli politik, supaya tadbir urus syarikat-syarikat ini dapat dipertingkatkan. Tanpa usaha pembersihan ini, kita tidak akan mampu menangani masalah salah urus dalam GLC secara langsung.

8. Tambahan lagi, reformasi pasaran dalam industri jalur lebar telah mengurangkan harga perkhidmatan sebanyak separuh dan kelajuan dinaikkan dua kali ganda untuk mempercepatkan perkembangan ekonomi digital. Kejayaan ini yang telah bantu mengurangkan kos sara hidup untuk semua rakyat Malaysia merupakan sebuah lagi janji yang dipenuhi Kerajaan Pakatan Harapan.

9. Kerajaan hari ini juga tidak lagi menguasai media, berbeza dengan zaman dahulu apabila UMNO mempunyai milikan dalam Media Prima, dan MCA pula, The Star, ketika memegang kuasa. Hari ini, jika anda membaca akhbar arus perdana, anda akan dapati bahawa media yang berkaitan pembangkang ini agak berani dalam kritikan mereka terhadap kerajaan. Hakikat bahawa Kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap mereka membuktikan komitmen Kerajaan terhadap kebebasan media.

REFORMASI FISKAL

10. Tetapi sebagai Menteri Kewangan, ia merupakan tugas saya untuk menjalankan reformasi fiskal dan kami memandang reformasi-reformasi ini secara serius. Dalam Kerajaan sendiri, kami telah menerapkan sistem tender terbuka secara meluas dalam sektor awam untuk menghalang daripada berlaku salah guna kuasa dan korupsi. Kami juga telah menerapkan belanjawan berasaskan sifar. Tindakan-tindakan ini dapat meningkatkan efisiensi perbelanjaan Kerajaan dan mengurangkan pembaziran dalam perbelanjaan seperti yang biasa kita baca dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara sebelum ini.

11. Tambahan lagi, kami sedang beralih daripada perakaunan asas tunai kepada asas akruan. Ini akan meningkatkan kadar akauntabiliti dan ketelusan kewangan awam. Peralihan yang dijangka selesai pada 2021 ini pentung kerana ia akan mengambil kira hutang luar penyata kewangan dan perbelanjaan luar belanjawan secara lebih sistematik dalam akaun Kerajaan.

12. Kerajaan terdahulu cenderung melakukan pembiayaan luar belanjawan supaya dapat mencapai defisit fiskal yang rendah. Namun hakikat sebenarnya ialah kadar rendah tersebut tidak mencerminkan keadaan sebenar. Setelah mengambil kira pelbagai perbelanjaan luar belanjawan ke dalam akaun Kerajaan, kami telah menetapkan semula sasaran defisit 2018 pada 3.7% daripada KDNK, daripada sasaran 2.8% yang ditetapkan oleh pentadbiran terdahulu.

13. Kami akan mengurangkan kadar deficit daripada 3.7% pada 2018 kepada 3.4% tahun ini, 3.0% pada 2020 dan 2.8% atau kurang pada 2021, dan kami telah kongsi jangkaan ini kepada Fitch, Moody’s dan S&P. Setelah mendengar rancangan kami, mereka telah memutuskan untuk mengekalkan taraf kredit Kerajaan Malaysia pada A-/A3 walaupun terdapat cabaran fiskal yang kami hadapi akibat pembaziran dan korupsi yang lalu.

14. Inilah tahap keyakinan tiga agensi penarafan kredit utama terhadap Malaysia. Secara ringkasnya, mereka faham bahawa reformasi-reformasi ini mesti dilakukan supaya salah guna dan korupsi lalu tidak akan berulang di masa hadapan. Mereka juga faham bahawa jika sebuah kerajaan yang korup layak menerima A- atau A3, maka kerajaan yang jujur dan lebih bersih sekurang-kurangnya patut dapat penarafan yang sedemikian. Malah saya percaya apabila kerja-kerja pembersihan ini telah selesai 3 tahun daripada sekarang, kemungkinan kita dinaikkan taraf sudah tentu lebih cerah.

KEYAKINAN TERHADAP MALAYSIA

15. Terdapat keyakinan terhadap Malaysia. Selain pengekalan taraf kredit kita, pelabur asing juga masuk secara besar-besaran. FDI diluluskan meningkat 48% kepada RM80.5 Bilion tahun lalu daripada RM54.5 Bilion. Angka FDI diluluskan merupakan petunjuk hadapan yang baik untuk memberi kita gambaran tren pelaburan sebenar dalam masa 1 ke 3 tahun apabila mereka direalisasi.

16. Dan perangkaan FDI diluluskan ini juga memberitahu kita bahawa Malaysia sedang menerima manfaat daripada perang dagangan yang sedang berlangsung. Sebahagian besar daripada FDI diluluskan datang dari negara China dan US, yangmenggambarkan Malaysia sebagai tempat berlindung (safe haven). Malah, FDI pembuatan diluluskan dari negara China kepada Malaysia tahun lalu meningkat 410.8% kepada RM19.7 Bilion manakala dari US, ia meningkat 184.9% kepada RM3.2 Bilion.

PERTUMBUHAN DAN INDUSTRI MASA HADAPAN

17. Kerajaan ini bukan sekadar membersihkan dan reformasi. Kami menyedari keperluan untuk menjana pertumbuhan berkualiti tinggi dan mencipta peluang pekerjaan yang dapat dibanggakan.

18. Kerajaan juga sedang memberi galakan kepada industri Malaysia untuk melakukan pendigitalan dan melakukan lonjakan menuju Industri 4.0. Polisi yang diperlukan telah ditetapkan dan skim bernilai beberapa bilion sama ada dalam bentuk jaminan pinjaman dan juga pinjaman langsung ada disediakan untuk menyokong aktiviti-aktiviti berkait dengan kepintaran buatan (AI), Data Raya (Big Data) dan robotik, tanpa mengira industri.

KESIMPULAN

19. Kerajaan ini mempunyai wawasan untuk menjadikan Malaysia sebuah Harimau Asia seperti dahulu. Empat puluh tahun dahulu, kita pernah bersaing dengan Korea Selatan dan Singapura tetapi hari ini kita risau didahului oleh Filipina dan Vietnam. Kerajaan Pakatan Harapan sedang mengubah ini dengan, sebagai permulaan, mereformasi semula institusi-institusi kita, dan kemudian, membina industri masa hadapan.

20. Saya perlu menekankan sekuat-kuatnya betapa pentingnya untuk kita lakukanreformasi institusi. Malaysia hari ini tidak mampu untuk terus membangun dengan menjalankan lebih banyak projek mega. Kita telah sampai kepada tahap di mana kualiti, dan bukan sahaja kadar, pertumbuhan yang diperlukan. Reformasi institusi yang dijalankan ini akan membantu kita tingkatkan kualiti pertumbuhan ekonomi dan menjadikan ia lebih merangkum supaya semua orang berkongsi kemakmuran Malaysia.

21. Namun, apa yang penting ialah hasil yang positif yang dapat memberikan manfaat kepada rakyat. Warga Malaysia mestilah merasakan bahawa mereka telah mengambil tindakan yang tepat dalam mengubah Kerajaan. Dan pilihan itu hanya tepat apabila mereka merasakan bahawa “bukan sahaja hidup lebih baik di bawah Kerajaan PH berbanding BN, tetapi anak-anak mereka mempunyai masa hadapan yang lebih cerah”. Jika kita tidak dapat membuat rakyat berfikir sedemikian rupa, kita akan menghadapi masalah. Oleh kerana itu, polisi ekonomi kita, konsolidasi fiskal kita, reformasi institusi kita dan tadbir urus bersih berdasarkan prinsip cekap, akauntabiliti, dan telus mestilah berteraskan rakyat dalam menjana pertumbuhanekonomi, mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan kuasa membeli, dan juga mengukuhkan keusahawanan supaya mencapai matlamat yang diimpikan. Itulah juga sebab mengapa kita perlu menerima revolusi Industri 4.0 dan membina sebuah ekonomi digital demi masa hadapan yang cerah untuk anak-anak kita – kita menyediakan orang muda kita untuk masa hadapan dan masa hadapan untuk orang muda kita.

22. Hanya melalui menyediakan asas yang kukuh dan tepat sahaja dapat kita mengambil kembali tempat kita sebagai Harimau Asia.

Terima kasih.