wrapper

Topik Popular

 

Ucapan Perasmian Oleh
Yang Berhormat Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan
di pelancaran

‘BELANJAWANKU’ – PANDUAN PERBELANJAAN UNTUK INDIVIDU & KELUARGA DI MALAYSIA

EPF Learning Campus, Bangi
4 Mac 2019


Yang Berbahagia Tan Sri Samsudin Osman,
Pengerusi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Yang Mulia Tunku Alizakri Alias
Ketua Pengarah Eksekutif, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Yang Berbahagia Datuk Ir. (Dr) Abdul Rahim Hashim
Naib Canselor, Universiti Malaya

Yang Berbahagia Professor Emeritus Datuk Dr Norma Mansor
Pengarah, Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya

Selamat pagi dan Salam Harapan,

PENGENALAN

1. Saya berbesar hati berada di sini hari ini bagi melancarkan ‘Belanjawanku’, iaitu satu panduan perbelanjaan yang diterbitkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) daripada Universiti Malaya.

2. Panduan Belanjawanku memudahkan orang ramai memahami corak perbelanjaan dan penggunaan isi rumah yang mungkin kompleks. Dengan memudahkan pemahaman, panduan ini mampu meningkatkan tahap kecelikan kewangan dan kemahiran pengurusan kewangan peribadi di kalangan rakyat Malaysia.

3. Belanjawanku juga boleh membantu kita memahami kuasa membeli serta pemarkahan kredit peribadi dengan mendalam. Bagi pembuat dasar pula, ia boleh dijadikan panduan untuk mengkaji garis kemiskinan sambil mereka mekanisme bantuan pendapatan bagi membantu golongan yang memerlukan.

KECELIKAN KEWANGAN DI KALANGAN RAKYAT ADALAH RENDAH

4. Untuk menggelakkan diri daripada terjerumus ke dalam masalah kewangan yang besar, kita perlu jelas akan keperluan perbelanjaan kita. Bagi setiap peringkat kehidupan kita, sama ada semasa menyertai alam pekerjaan, alam perkahwinan, menjadi seorang ibu atau bapa, ataupun semasa memasuki alam persaraan, kita memerlukan pengetahuan yang relevan bagi membolehkan kita membuat keputusan kewangan yang tepat.

5. Malangnya, kajian S&P Global Literacy Financial pada tahun 2014 melaporkan bahawa tahap kecelikan kewangan di Malaysia hanya berada pada tahap 36% berbanding sekitar 59% di negara-negara maju.

6. Kadar kecelikan kewangan yang rendah ini adalah antara faktor yang menyumbang kepada tahap keterhutangan yang tinggi serta masalah kebankrapan yang membimbangkan di kalangan belia. Antara tahun 2013 dan 2017, 100,610 rakyat Malaysia telah diisytiharkan muflis dan 60% daripada mereka berusia dari 18 ke 44 tahun.

7. Bukan golongan belia sahaja yang menghadapi cabaran kewangan yang serius. Bakal pesara juga perlu mengambil berat tentang rancangan perbelanjaan mereka. Ini terutama sekali apabila pihak KWSP percaya bahawa setiap rakyat Malaysia pada tahun 2019 memerlukan simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 apabila mencapai usia 55 tahun supaya kita boleh bersara dengan selasa.

8. Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada Laporan Tahunan KSWP 2017, pencarum aktif berumur 54 tahun secara purata hanya mempunyai RM214,000 sahaja dalam akaun mereka. Lebih merunsingkan lagi, dua pertiga daripada pencarum berusia 54 tahun hanya memiliki RM50,000 dan ke bawah dalam akaun KWSP mereka pada tahun 2015, iaitu jauh lebih rendah daripada tahap yang disyorkan. Jumlah yang rendah ini dijangka habis dibelanjakan dalam masa 5 tahun selepas hari persaraan. Ini adalah satu tempoh yang singkat memandangkan jangka hayat bagi rakyat Malaysia sekarang adalah 75 tahun.

9. Walaupun Kerajaan akan terus membantu mereka yang memerlukan dengan pelbagai cara termasuk melalui program sosial seperti BSH, peningkatan peluang pekerjaan dan pengawalan kos sara hidup, kita perlu memperkasakan diri sendiri dengan mempertingkatkan pengetahuan kewangan supaya kita mampu membuat keputusan yang tepat dalam apa-apa perbelanjaan dan pelaburan.

MENGAWAL INFLASI DAN KOS SARA HIDUP

10. Selain usaha meningkatkan kecelikan kewangan di kalangan orang awam, pihak kerajaan sedar akan keperluan untuk memastikan supaya kenaikan kadar gaji dapat menampung peningkatan kos sara hidup. Inilah sebabnya Kerajaan telah meningkatkan dan menyelaraskan gaji minimum kepada RM1,100 mulai Januari 2019 di seluruh negara. Kerajaan akan meningkatkan lagi kadar gaji minimum kepada RM1,500 secara beransur-ansur dalam masa beberapa tahun seperti yang dijanjikan sebelum ini.

11. Pada masa yang sama, dasar Kerajaan dalam menggantikan GST dengan SST serta mengawal harga minyak telah sedikit sebanyak berjaya meringankan beban rakyat. Ini terbukti apabila kadar inflasi bagi tahun 2018 telah menurun ke 1.0% berbanding 3.8% pada tahun 2017. Di sini tentulah kita boleh lihat bahawa SST memainkan peranan untuk mengurangkan kenaikan harga kalau dibandingkan dengan GST.

12. Di bawah SST, hanya 7,000 perkara sahaja boleh dikenakan cukai berbanding lebih 12,000 perkara semasa era GST. Tambahan lagi, perkara yang dikecualikan daripada cukai telah meningkat 10 kali ganda daripada 500 kepada 5,000 perkara.

13. Penurunan jumlah barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai dapat dibuktikan melalui pengurangan pendapatan Kerajaan di mana kutipan tahunan bagi SST adalah hanya sebanyak RM21 bilion berbanding kutipan tahunan GST sebanyak RM44 bilion. Pengurangan ini bermakna beban cukai rakyat telah diturunkan dengan ketara.

TAHAP HUTANG ISI RUMAH

14. Tahap hutang isi rumah juga adalah satu lagi isu yang perlu ditangani dengan baik. Walaupun tahap hutang isi hutang masih terurus, kita perlu bersama-sama berusaha supaya tahap keterhutangan rakyat Malaysia tidak menjadi lebih serius.

15. Pada akhir bulan Jun 2018, keterhutangan isi rumah berada pada paras RM1.17 trilion atau 83.8% daripada KDNK. Paras ini sedang menyederhanakan sejak tahun 2015 ekoran langkah-langkah berhemat makro yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia. Langkah-langkah tersebut juga telah disokong oleh langkah berterusan yang diambil oleh Kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik isi rumah mengenai perancangan dan pengurusan kewangan.

KESIMPULAN

16. Masih banyak yang perlu dilakukan. Pihak Kerajaan tidak akan dapat mencapai matlamatnya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa kerjasama daripada pelbagai sektor, termasuk daripada badan berkanun seperti KWSP, sektor kewangan, pendidikan, komuniti dan juga media.

17. Hanya melalui sinergi dan kerjasama yang erat akan kita dapat menangani pelbagai cabaran dan kelemahan dalam landskap sosio-ekonomi semasa.

18. Dengan ini, saya melancarkan ‘Belanjawanku’ – Panduan Perbelanjaan Untuk Individu dan Keluarga di Malaysia.

Terima kasih.