wrapper

Topik Popular

Search - K2
Carian - Kategori
Carian - Kenalan
Carian - Kandungan
Carian - Berita Suapan
Carian - Pautan Web
Keputusan Carian Pintar

TEKS UCAPAN
YB DATO’ WIRA OTHMAN BIN AZIZ TIMBALAN MENTERI KEWANGAN I KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

SEMPENA
MAJLIS PENUTUP KARNIVAL KEWANGAN KEDAH 2018 ANJURAN BANK NEGARA MALAYSIA


21 Januari 2018 | TH Convention Centre Alor Setar, Kedah


Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Yang Berbahagia Encik Abdul Rasheed Ghaffour Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia

Tan Sri – Tan Sri,
Datuk – Datuk,
Tuan – tuan dan puan – puan sekalian

Kata Aluan

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama dalam majlis penutupan Karnival Kewangan Kedah 2018 di Pusat Konvensyen Tabung Haji ini.

2. Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Bank Negara Malaysia, agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, institusi-institusi kewangan serta semua yang telah terlibat dalam menjayakan penganjuran Karnival Kewangan Kedah selama tiga hari ini. Saya merasa gembira kerana pelbagai lapisan masyarakat telah mendapat banyak manfaat daripada karnival yang berkonsepkan edutainment ini. Program seperti ini perlulah diadakan dengan lebih meluas dan banyak lagi.

3. Pada petang ini, saya berhasrat untuk menyentuh tiga perkara.

  1. Pertama, keadaan ekonomi negara yang mapan akan menjamin kesejahteraan rakyat masa kini dan masa hadapan;
  2. Kedua, rakyat perlu meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran dan memanfaatkan kemajuan teknologi untuk menjadi lebih berdaya saing;
  3. Ketiga, pengurusan kewangan yang berhemat adalah penting untuk diterapkan kepada seluruh rakyat Malaysia.

 

Tuan-tuan dan puan-puan

Ekonomi Negara Yang Mapan

4. Ekonomi Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan yang positif sebanyak 6.2% pada suku ketiga 2017 . Perkembangan ekonomi yang positif ini adalah daripada hasil usaha serta pengorbanan pihak swasta serta kerajaan, para peniaga serta tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Untuk menikmati kesejahteraan lestari, penekanan yang sewajarnya akan terus diberikan kepada pembangunan jangka panjang tanpa mengabaikan pembangunan jangka masa pendek.

5. Seiring dengan itu, Bajet 2018 yang diumumkan adalah bertemakan “Memakmur Ekonomi yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50”. Rakyat di wilayah Utara turut mendapat manfaat daripada pengumuman baru-baru ini. Antaranya, pembangunan Special Border Economic Zone bagi merancakkan lagi ekonomi di wilayah Utara serta pemansuhan kutipan tol di Bukit Kayu Hitam. Malah, industri pelancongan juga dijangka akan menjadi lebih pesat seterusnya meningkatkan lagi potensi pendapatan bagi penduduk setempat.

6. Sejajar dengan perkembangan ini, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia khas di Kedah supaya tidak ketinggalan meraih pelbagai peluang yang tersedia dalam perkembangan ekonomi. Dalam merealisasikan harapan ini, adalah amat penting bagi kita untuk kekal relevan dengan melengkapkan diri dengan skil serta pengetahuan yang terkini terutamanya dari aspek teknologi.

Sidang hadirin sekalian,

Memanfaatkan Kemajuan Teknologi

7. Kita dapat menyaksikan betapa teknologi telah berkembang dengan begitu pesat sejak akhir-akhir ini. Syarikat-syarikat paling bernilai di dunia yang dulunya dikuasai oleh industri minyak dan gas seperti Exxon Mobil dan Shell telah dipintas oleh syarikat-syarikat industri teknologi seperti Apple dan Amazon.

8. Menyedari perkembangan ini, sektor awam dan swasta di Malaysia cenderung untuk mengambil peluang pembangunan teknologi ini bagi memudahkan urusan serta menambah nilai perkhidmatan dan operasi sedia ada. Teknologi ini adalah alat atau medium yang penting bagi menggalakkan inovasi dalam mempertingkatkan mutu kerja kita.

9. Berlandaskan kepada aspirasi ini, suka saya mengambil contoh inisiatif yang diambil oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang telah mencipta sejarah sebagai agensi pertama di Malaysia yang memperkenalkan penggunaan dron secara komersial bagi sektor pertanian iaitu penanaman padi. Dengan teknologi ini, penjimatan masa sebanyak 20% serta penggunaan racun sebanyak 30% telah dapat dicapai.

10. Teknologi juga membolehkan individu untuk melakukan kerja di mana-mana. Warga Kedah boleh menambah pendapatan melakukan kerja secara bebas atau freelance dari merata tempat seperti Kuala Lumpur dan juga luar negara menerusi pelbagai platform di internet. “YouCanDuit” yang dipromosikan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di bawah Kementerian Kewangan banyak menyediakan peluang seperti program e-Rezeki mereka telah memberi manfaat kepada lebih 30,000 orang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pengurusan Kewangan Yang Berhemat

11. Sesuai dengan tema Karnival Kewangan, “Utamakan Keperluan Kewangan Anda”, pengurusan kewangan adalah penting. Tanpa pengurusan kewangan yang cekap dan baik, kehidupan boleh menjadi seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tidak kira berapa banyak pun pendapatan yang diperoleh.

12. Saban tahun, kita menyaksikan tahap keberhutangan individu yang semakin meningkat sehinggakan ramai dikalangan masyarakat Malaysia diisytiharkan muflis. Statistik menunjukkan sekurang kurangnya, 54 kes muflis telah didaftarkan setiap hari di mahkamah dalam tahun 2016.

13. Tambahan pula, kes-kes penipuan di mana individu kehilangan ribuan ringgit kerana terpedaya dengan tipu helah penjenayah kewangan semakin kerap kita dengar. Sepanjang tahun 2017 sahaja, sebanyak 7,716 pertanyaan mengenai penipuan kewangan seperti Macau Scam dengan kerugian lebih RM7 juta telah dilaporkan kepada pihak Bank Negara Malaysia. Justeru, karnival seperti ini merupakan wadah yang sesuai bagi rakyat untuk menambahkan ilmu supaya tidak menjadi mangsa jenayah kewangan.

14. Usaha untuk melahirkan generasi yang celik kewangan tidak berhenti dengan akhirnya Karnival Kewangan Kedah di sini. Saya difahamkan bahawa Bank Negara Malaysia telah menubuhkan Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network) untuk menyelaras dan memacu strategi pendidikan kewangan pada peringkat kebangsaan. Usahasama pelbagai agensi ini telah mula merangka strategi untuk meningkatkan celik kewangan berpaksikan 3 prinsip iaitu visi yang jelas, kerjasama yang erat serta komitmen yang jitu.

15. Disamping itu, Bank Negara Malaysia sentiasa bersedia membantu semua rakyat Malaysia, termasuklah rakyat Kedah dalam hal-hal berkaitan kewangan. Orang ramai bolehlah mendapatkan maklumat serta nasihat kewangan daripada pejabat Bank Negara Malaysia yang terdekat iaitu Pejabat BNM Pulau Pinang ataupun menerusi telefon atau atas talian (online).

16. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Bank Negara Malaysia dan semua pihak yang terlibat secara langsung dalam menjayakan Karnival Kewangan Kedah 2018 ini.

Penutup

17. Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua pihak berusaha mempertingkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran dalam apa jua bidang terutamanya pengurusan kewangan. Semoga rakyat Kedah semua menjadi generasi yang berilmu dan celik kewangan demi masa depan negara yang cemerlang.

18. Dengan lafaz bismillahi rahmani rahim – saya dengan rasminya menutup Karnival Kewangan Kedah 2018.

Kementerian Kewangan
Putrajaya
21 Januari 2018

Template Settings

Color

For each color, the params below will give default values
Blue Green Red Radian
Select menu
Google Font
Body Font-size
Body Font-family