wrapper

Topik Popular

Siaran Media
  MENTERI Kewangan Malaysia
YB TUAN LIM GUAN ENG

SETAKAT INI RM925 JUTA DANA BERKAITAN 1MDB SUDAH DIKEMBALIKAN


Sebanyak RM925 juta dana berkaitan 1MDB dikembalikan setakat ini kepada Kementerian Kewangan, hasil usaha pihak berkuasa negara. Pihak berkuasa negara, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Peguam Negara, berserta dengan kerjasama pihak berkuasa luar negara, sedang meneruskan usaha agar dana yang diselewengkan dapat dikembalikan untuk membayar balik hutang 1MDB berjumlah lebih RM51 bilion, termasuk faedah pinjaman akan datang, yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

Setakat ini, jumlah keseluruhan dana berkaitan 1MDB yang berjaya didapatkan kembali adalah berjumlah RM925.1 juta(termasuk RM6.1 juta yang dipulangkan kepada Yayasan 1MDB) dalam mata wang pelbagai denominasi. Pecahan dana tersebut adalah seperti berikut:

Negara sumber Jumlah (RM)
Singapura 92.3 juta
Amerika Syarikat
Park Lane Hotel, Manhattan – RM567.8 juta
Syarikat Pembikinan Filem Red Granite – RM238 juta
805.8 juta
Malaysia
kepada Yayasan 1MDB – RM6.1 juta
kepada 1MDB – RM20.9 juta
27.0 juta
Jumlah 925.1 juta

Organisasi dan parti-parti politik Barisan Nasional (BN) seperti UMNO, MCA, dan SUPP telah menerima dana yang berpunca daripada 1MDB. Kini akaun bank parti-parti politik tersebut telah pun dibekukan oleh SPRM, dalam usaha mendapatkan kembali dana tersebut.

Harus ditekankan bahawa jumlah RM6.1 juta yang diterima kembali oleh Yayasan 1MDB adalah daripada pelbagai pihak. Akan tetapi, Yayasan 1MDB belum lagi menerima sebarang bayaran daripada Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi). Baru-baru ini, SPRM telah mengambil tindakan membekukan akaun bank Kojadi yang berkenaan.

Pada 16 Ogos 2012, satu perjanjian Financial Grant antara Yayasan 1MDB dan Kojadi untuk jumlah sebanyak RM15 juta telah ditandatangani. Selepas itu, dana sebanyak RM15 juta telah diberikan kepada Kojadi oleh Yayasan 1MDB seperti berikut:

Tarikh Jumlah dibayar
17 Ogos 2012 RM 5 juta
22 Okt 2012 RM 5 juta
15 Mac 2013 RM 5 juta
Jumlah RM 15 juta

Jelas sekali, Kojadi dipengaruhi oleh parti politik MCA. Campur tangan MCA dalam urusan Kojadi disahkan sendiri oleh Pengerusi Kojadi, Datuk Ng Peng Hay, yang juga seorang bekas ADUN MCA dari Melaka. Kojadi perlu mengambil iktibar daripada usaha berani Pengerusinya untuk memulangkan semula wang kepada Yayasan 1MDB demi membersihkan nama Kojadi.

Pada akhir bulan Jun, Pengerusi Kojadi menyatakan beliau dihalang oleh Presiden MCA daripada usaha memulangkan RM15 juta kepada Yayasan 1MDB. Pada 3 Julai2019, SPRM telah membekukan akaun bank Kojadi yang berkenaan. Pada 9 Julai, Pengerusi Kojadi digantung jawatannya oleh Lembaga Pengarah Kojadi akibat tindakan beliau yang jujur. Komitmen Pengerusi Kojadi untuk melakukan perkara yang betul dengan berusaha memulangkan wang kepada Yayasan 1MDB, sungguhpun berhadapan dengan pelbagai tindakan ke atasnya, harus dipuji.

Harus ditegaskan bahawa dana berjumlah RM925 juta di atas tidak termasuk hasil jualan Kapal Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd sebanyak USD126 juta (kira-kira RM527.4 juta). Hasil jualan tersebut telah diterima sepenuhnya pada 23 April 2019 dan kini disimpan di dalamSheriff's Stakeholder Account (dalam sebuah syarikat guaman terkemuka di Malaysia) untuk tempoh tiga bulan bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui Perintah Mahkamah.

Baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan yang terlibat dijangka akan didepositkan ke dalamRecovery Account milik 1MDB atau Kementerian Kewangan pada bulan Ogos 2019. Bila diterima USD126 juta ini kelak, wang dana ini akan digunakan untuk melunaskan sebahagian daripada hutang 1MDB.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng

Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

12 Julai 2019