wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia

Kerajaan Persekutuan Bersedia Menggunakan Bayaran Balik Hutang Kerajaan Negeri Sarawak Sebanyak Rm1 Bilion Untuk Projek Membaik Pulih Sekolah Daif Di Sarawak Tertakluk Kepada Mekanisme Perundangan Kerajaan Persekutuan


Kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara dasarnya untuk menerima sebahagian daripada bayaran balik pinjaman hutang Kerajaan Negeri Sarawak sebanyak RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan untuk diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah daif tertakluk kepada mekanisme perundangan yang ditetapkan. Pada waktu semasa, Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2,375 juta. Sekiranya RM1 bilion ini dibayar balik oleh Kerajaan Negeri Sarawak, maka Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,375 juta. Mekanisme perundangan yang ditetapkan adalah seperti berikut:

Pertama, Kerajaan Negeri Sarawak hendaklah membayar balik sehingga RM1 bilion daripada jumlah hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan. Ini adalah selaras dengan penetapan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.


Kedua, Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh Kerajaan Negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak.


Ketiga, kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka, bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan (value for money) berdasarkan tatacara kewangan Kerajaan Persekutuan semasa.


Keempat, Kerajaan Persekutuan bersedia mengambil kira keutamaan Kerajaan Negeri Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih.

Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa cadangan Kerajaan Negeri Sarawak menggunakan bayaran balik pinjaman untuk membaik pulih sekolah daif, sebenarnya adalah wang pendahuluan Kerajaan Persekutuan kerana melibatkan penggunaan dana yang dipinjamkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebelum ini. Jika disifatkan sebagai bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan, ianya bermaksud dana RM1 bilion tersebut sebenarnya merupakan wang milik Kerajaan Persekutuan sendiri, yang digunakan untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung kaedah pelaksanaan membaik pulih sekolah daif di Sarawak seperti yang dinyatakan di dalam empat perkara di atas telah dijelaskan kepada Kerajaan Negeri Sarawak semasa mesyuarat di Kementerian Kewangan pada 11 Mac 2019 dan disusuli dengan surat bertarikh 20 Mac 2019. Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang maklum balas rasmi diterima daripada Kerajaan Negeri Sarawak.

Sayangi Malaysiaku!

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

6 Julai 2019