wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia



Media arus perdana harus membuat laporan secara bertanggungjawab dan tidak digunakan sebagai senjata atau alat untuk mempromosi projek-projek swasta yang belum menerima kelulusan mahupun pertimbangan secara serius oleh Kementerian-Kementerian yang berkenaan, sama ada daripada Kerajaan Persekutuan ataupun Kerajaan Negeri. Sebaliknya, akhbar milik MCA, The Star telah memilih untuk memaparkan berita tersebut semalam di muka hadapannya dengan penuh sensasi, iaitu akan wujudnya dua cadangan pembinaan lapangan terbang besar yang baharu di daerah Utara, sedangkan kedua-dua Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang, dan juga Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan, tidak dimaklumkan akan hal ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menjelaskan bahawa beliau hanya mendapat tahu tentang cadangan-cadangan ini menerusi media. Ini secara terang-terangan menidakkan laporan The Star yang telah membuat beberapa dakwaan bersifat spekulasi, iaitu bahawa penganjur projek tersebut telah membuat penyampaian kepada Pejabat Perdana Menteri pada Januari 14 tahun ini, walaupun mereka telah merancang projek ini selama 4 tahun. Nampaknya hanya The Star yang mempunyai sumber maklumat tentang daya maju projek tersebut, mahupun rekod kewangan atau latar belakang penganjur projek.

Kerajaan menerima pelbagai cadangan yang mengaku punyai sokongan kewangan bernilai puluhan, malah ratusan bilion ringgit. Cadangan-cadangan ini haruslah diteliti secara komprehensif dan mematuhi usaha wajar (due diligence), untuk membezakan antara cadangan tulen yang layak menerima perhatian lanjut, dan yang separuh masak ataupun penipuan. Adakah The Star akan menerbitkan tiap-tiap cadangan ini sebagai eksklusif muka hadapan setiap hari, semata-mata berdasarkan kenyataan pendokong mereka?

Kerajaan menghargai kewartawanan professional, bertanggungjawab dan beretika berdasarkan fakta, dan angka yang menapis keluar dakwaan tidak berasas, membuang masa, dan tidak masuk akal yang hanya menyemai kekeliruan dalam kalangan industri dan masyarakat awam. Kegagalan untuk menepati ciri-ciri tersebut menjadikan mereka tidak lebih daripada penyampai berita palsu atau di atas khidmat pihak berkepentingan tertentu, tanpa menghiraukan akibat daripada membuat dakwaan-dakwaan tersebut.

 

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
11 Jun 2019