wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Kedua-dua Kementerian Kewangan dan Pengangkutan, serta Kerajaan-Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang semuanya tidak tahu menahu tentang khabar sensasi seperti yang dilaporkan di muka hadapan The Star hari ini, yang menyatakan terdapat dua syarikat mencadangkan pembinaan dua projek lapangan terbang di tanah besar Pulau Pinang bernilai belasan bilion ringgit. The Star telah menyatakan bahawa 2 lapangan terbang baharu yang dicadangkan tersebut akan menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulai Pinang (PIA) di Bayan Lepas dan menggugat cadangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dengan dibiayai Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Sehingga kini, laporan The Star tersebut hanya menyebabkan kekeliruan di kalangan industri komunikasi dan pengangkutan kerana mereka tidak menyatakan siapa yang telah menghadiri atau menerima cadangan-cadangan tersebut. Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, dan Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir kedua-duanya telah memberitahu saya bahawa mereka juga tidak tahu langsung tentang kedua-dua cadangan lapangan terbang seperti yang diuar-uarkan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Chow Kon Yeow, juga telah membuat kenyataan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga tidak tahu tentang perkara ini. Kelulusan daripada Pulau Pinang dalam hal ini adalah kritikal kerana ia melibatkan isu tanah. Melainkan akhbar milik MCA, The Star boleh buktikan yang mereka mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab, dan bahawa Kerajaan Persekutuan sedang mempertimbangkan cadangan-cadangan tersebut bukan hanya sekadar hasil khayalan mereka, mereka melakukan ‘fishing expedition’, atau sekadar menyerkap jarang, sesuatu yang tidak bersesuaian dengan kewartawanan profesional.

Spekulasi tidak berasas ini juga sangat tidak adil apabila ia memberikan tanggapan negatif bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara melulu tanpa memikirkan Kerajaan Negeri atau rakyat dengan mempertimbangkan projek sebesar ini yang melibatkan ribuan hektar tanah sawah atau 5,000 hektar tanah yang ditebus guna dari laut.

Saya ingin nyatakan di sini kedudukan Kerajaan Persekutuan berkenaan hal ini seperti dinyatakan dalam Belanjawan 2019, yang secara jelas menyatakan mahu memperbesarkan PIA sedia ada kepada kapasiti 16 juta penumpang setahun daripada 6.5 juta penumpang setahun pada waktu ini. Peluasan PIA akan dilakukan melalui dua fasa. Jumlah penumpang yang dicadangkan sebanyak 16 juta setahun diyakini dapat memenuhi kapasiti semasa PIA sebanyak 8 juta penumpang setahun sehingga tahun 2030. Selepas itu, masih terdapat ruang untuk memperbesarkan lagi PIA di masa hadapan kepada 20 juta penumpang setahun. Manakala untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim pula, Kerajaan Persekutuan masih menyambut cadangan pembinaan melalui PFI, yang tidak memerlukan perbelanjaan daripada Kerajaan Persekutuan.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
10 Jun 2019