wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Skim Mysalam RM2 Bilion Diperluaskan Kepada Hospital Perubatan Universiti Dan Hospital Angkatan Tentera

Skim mySalam yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Januari 2019 merupakan skim perlindungan kesihatan percuma untuk golongan berpendapatan rendah atau B40 yang menjalani rawatan di hospital kerajaan. Skim mySalam ialah hasil kerjasama dengan syarikat insurans, Great Eastern Holdings yang telah menyumbang caruman dana permulaan sebanyak RM2 Bilion ke dalam dana amanah mySalam.

Atas dasar keprihatinan Kerajaan Pakatan Harapan terhadap golongan B40 dan seterusnya memberi impak yang tinggi kepada rakyat, skim mySalam kini turut merangkumi rawatan yang diterima di Hospital Perubatan Universiti dan juga Hospital Angkatan Tentera. Ini setelah pesakit mendapatkan pengesahan doktor pakar untuk menerima manfaat skim mySalam.

Kerajaan Pakatan Harapan mengambil langkah inovatif dengan memperluaskan jumlah hospital bagi memudahkan para pesakit dapatkan rawatan lanjut dari doktor pakar. Skim mySalam merupakan perlindungan takaful yang disediakan kepada golongan B40 melalui kerjasama awam swasta antara Kerajaan Persekutuan dan Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dengan memberi bayaran bantuan tunai sekaligus (one-off) sebanyak RM8,000 bagi mereka yang disahkan menghidap salah satu daripada 36 penyakit kritikal termasuk penyakit kanser, serangan jantung, dan penyakit alzheimer; dan elaun hospital harian RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun.

Senarai hospital tambahan terkini bagi mendapatkan rawatan adalah seperti berikut:

Nama Hospital  Alamat Lokasi
Pusat Perubatan Universiti Malaya Lembah Pantai, Kuala Lumpur, 59100, Kuala Lumpur
Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras, 56000, Kuala Lumpur
Hospital Universiti Sains Malaysia Jalan Raja Perempuan Zainab 2, Kampus Kesihatan, Kota Bharu, 16150, Kelantan
Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia P.O. Box 10, Kuala Lumpur, 50728, Kuala Lumpur
Hospital UiTM Sungai Buloh Jalan Hospital, Sungai Buloh, 47000, Selangor
Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur 3, Jalan 4/27a, Seksyen 2 Wangsa Maju, Kuala Lumpur, 53300, Kuala Lumpur
Hospital Angkatan Tentera, Lumut Pengkalan TLDM, Lumut, 32200, Perak
Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, Melaka Kem Terendak, Terendak, 76200, Melaka
Hospital Tentera Darat, Gemas Gemas, Negeri Sembilan, Gemas, 73400, Negeri Sembilan
Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu Jalan Universiti, Kota Kinabalu, 89200, Sabah

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan
Putrajaya
8 Jun 2019