wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Eksport Malaysia Bagi April 2019 Meningkat 1.1% Kepada Rm85.2 Bilion, Mengatasi Konsensus Pasaran Terbitan Bloomberg Yang Menjangkakan Penurunan Sebanyak 2.1%, Manakala Import Bagi April 2019 Pula Meningkat 4.4%, Mengatasi Jangkaan Pasaran Terbitan Bloomberg Yang Mengunjurkan Penurunan Sebanyak 0.3%


Selepas mengalami penurunan selama dua bulan berturut-turut, eksport Malaysia bagi bulan April 2019 telah meningkat sebanyak 1.1% kepada RM85.2 bilion, berbanding RM84.2 bilion setahun lalu (Jadual 1). Peningkatan ini mengatasi konsensus pasaran terbitan Bloomberg yang menjangkakan penurunan sebanyak 2.1%.

Kenaikan eksport bagi bulan April ini disumbangkan oleh peningkatan permintaan asing untuk barangan elektrikal dan elektronik (E&E) buatan tempatan, serta barangan petroleum, barangan kimia dan gas asli cecair (LNG). Pertumbuhan eksport, yang berlaku semasa perang dagang sedang berlangsung antara dua ekonomi terbesar dunia, menonjolkan daya saing Malaysia yang tinggi di persada dunia.

Jumlah perdagangan Malaysia juga meningkat sebanyak 2.6% kepada RM159.5 bilion bagi bulan April 2019 daripada RM155.5 bilion setahun lalu.

Jadual 1: Perdagangan luar negara bagi Malaysia untuk bulan April 2019

  Nilai (RM bilion) Pertumbuhan (tahun-ke-tahun)
Eksport 85.2 1.1%
Import 74.3 4.4%
Jumlah perdagangan 159.5 2.6%

Tanda awalan menunjukkan pertumbuhan KDNK suku ke-2 2019 yang kukuh

Import bagi bulan April 2019 pula tumbuh 4.4% tahun-ke-tahun. Ia juga mengatasi jangkaan pasaran terbitan Bloomberg yang mengunjurkan kemerosotan 0.3%. Perangkaan import adalah penting kerana ia menggambarkan permintaan domestik, dan kenaikan import bererti penggunaan swasta serta KDNK akan turut berkembang. Peningkatan import dalam bulan April bermakna permintaan domestik pada suku ke-2 akan berkembang, dan ini adalah setelah KDNK negara meningkat 4.5% pada suku pertama tahun 2019 sambil mengatasi konsensus pasaran terbitan Bloomberg serendah 4.3% bagi suku tersebut.

Terdapat beberapa petanda awalan lain yang memberangsangkan dalam statistik import. Import barangan penggunaan bagi bulan April 2019 telah meningkat 18.9% tahun-ke-tahun, selepas tumbuh dengan kukuhnya pada kadar 10.5% dalam bulan Mac 2019. Selanjutnya, import barangan pengantara bagi bulan April melonjak 20.3% tahun-ke-tahun, setelah naik hanya 3.2% dalam bulan Mac. Barangan pengantara digunakan bagi membuat barangan akhir untuk pengguna. Pertumbuhan kukuh bagi import barangan penggunaan dan pengantara menggambarkan pertumbuhan KDNK suku ke-2 tahun 2019 yang sihat.

Perkembangan positif ini berlangsung semasa kadar inflasi stabil pada 0.2% tahunke-tahun dalam bulan April, kadar pengangguran kekal rendah pada 3.4% pada bulan Mac, dan jangkaan bahawa pengeluaran perindustrian akan terus berkembang dalam suku ke-2 tahun 2019. Pada masa yang sama, Indeks Keyakinan Pengguna yang diterbitkan oleh Nielsen telah meningkat 11 mata kepada 115 mata pada suku pertama 2019 berbanding 104 setahun lalu. Peningkatan indeks tersebut menunjukkan bahawa para pengguna di Malaysia yakin akan prospek ekonomi mereka dalam 12 bulan yang akan datang.

Lebihan akaun semasa yang berterusan untuk tahun ini

Peningkatan eksport ini telah membolehkan Malaysia mencatatkan lebihan dagangan setinggi RM10.9 bilion pada bulan April 2019. Ini menjadikan lebihan dagangan untuk 4 bulan pertama tahun 2019 sebanyak RM47.8 bilion, berbanding hanya RM46.4 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Lebihan besar setakat April 2019 ini akan membantu memastikan supaya imbangan akaun semasa tahunan negara akan berada dalam keadaan lebihan. Ia akan melindungi Malaysia daripada pelbagai risiko luaran seperti perang dagang yang memburuk.

Malaysia mendapat manfaat daripada perang dagang setakat ini

Setakat ini, Malaysia mendapat manfaat daripada perang dagang hasil daripada lencongan perdagangan dan penempatan semula perniagaan. Nomura, iaitu sebuah institusi kewangan dari Jepun, telah mengenal pasti Malaysia sebagai penerima manfaat yang ke-4 terbesar di dunia selepas Vietnam, Taiwan dan Chile. Selain daripada lencongan perdagangan yang membantu pertumbuhan eksport, Malaysia berkemungkinan besar akan menerima faedah daripada penyusunan semula rantaian bekalan global. Ini dapat dilihat apabila pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan telah meningkat 48% dalam tahun 2018 kepada RM80.5 bilion daripada RM54.4 bilion pada tahun 2017.

Walaupun begitu, Malaysia berharap supaya perang dagang akan berakhir dengan segera. Ini kerana tiada siapa akan memenanginya jika ia bertambah buruk. Sebaliknya, ia akan merugikan semua. Semua pihak perlu bekerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa bagi membolehkan ekonomi dunia berkembang dengan mampan.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan
Putrajaya
7 Jun 2019