wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Status Undang-undang Usaha Memperoleh Semula Wang Yang Dibayar Untuk Kontrak Projek Saluran Paip Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER)


Seperti yang telah dibongkar tahun lepas, RM8.3 Bilion atau 88% daripada kontrak Engineering, Procurement, Construction and Commissioning (EPCC) bernilai RM9.4 Bilion telah dibayar oleh SSER, walaupun hanya 13% kemajuan kerja dicapai. Kontrak tersebut adalah berkaitan dengan projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP). Tambahan lagi, kemajuan kerja sebanyak 13% tersebut masih tidak dapat diaudit dan belum disahkan.

Projek-projek ini sangat menguntungkan para kontraktor kerana pembayaran telah dibuat berdasarkan kepada kemajuan tempoh dan bukannya kepada kemajuan kerja. Ini menjadikan terma kontrak tersebut, yang diluluskan mantan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak, sebagai terlampau memihak kepada para kontraktor dan merugikan Kerajaan kerana kontraktor dibayar walaupun kerja tidak disiapkan.

Status terkini tentang kontrak dan rundingan

Kontrak EPCC bernilai RM9.4 Bilion bagi projek-projek saluran paip serta lain-lain kontrak yang berkaitan telahpun ditamatkan. Secara keseluruhan, kontrak-kontrak ini bernilai RM10.4 Bilion. Kerajaan Malaysia sedang berunding dengan pihak kontraktor bagi menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh SSER, serta jumlah bayaran yang telah dibuat yang perlu dipulangkan semula oleh pihak kontraktor kepada SSER. Jabatan Peguam Negara mewakili Kerajaan Malaysia dalam rundingan ini dan akan mengesyorkan langkah seterusnya.

Kontraktor-kontraktor tersebut adalah China Petroleum Pipeline Engineering Company Ltd (CPPE) dan Huanqiu Project Management (Beijing) Co Ltd (HQPMC). Jadual 1 menyenaraikan nilai kontrak dan jumlah yang telah dibayar.

Jadual 1: Butiran projek MPP dan TSGP setakat 28 Mac 2019
Kontrak Nilai kontrak (RM juta) Jumlah yang telah dibayar SSER (RM juta)
EPCC 9,385 8,252
CSA & Penyelenggaraan 688 106
PMC Service Agreement 312 19
Jumlah 10,385 8,377
Nota: EPCC adalah Engineering, Procurement, Construction and Commissioning. CSA adalah Consultancy Services Agreement. PMC adalah Project Management Consultancy.

Status terkini tentang pinjaman yang dibuat SSER

Daripada nilai kontrak EPCC RM9.4 Bilion tersebut, 85% dibiayai melalui pinjaman CNY12.9 Bilion (RM7.8 Bilion) daripada EXIM Bank of China. Pinjaman tersebut dijamin oleh Kerajaan Malaysia. Jadual 2 menunjukkan butiran pinjaman tersebut.

Jadual 2: Butiran pinjaman EXIM Bank of China untuk kontrak EPCC yang dibuat oleh SSER
Perkara Butiran
Tempoh 20 tahun
Saiz CNY12,877 Juta (kira-kira RM7,814 Juta)
Jumlah yang telah digunakan CNY11,320 Juta (kira-kira RM6,869 Juta)
Faedah 3.25% setahun
Fi komitmen 0.25% ke atas jumlah yang tidak digunakan
Fi pengurusan 0.25% ke atas pinjaman dalam 8 ansuran dwitahunan yang sama
Sekuriti Jaminan kerajaan

SSER juga telah mengambil kredit pusingan bernilai RM1.2 Bilion daripada CIMB Bank. Fasiliti kredit ini sepatutnya dibayar sepenuhnya pada bulan Julai 2019 tetapi SSER dan CIMB sedang berbincang untuk membolehkan SSER membayar hanya RM0.6 Bilion untuk tahun ini dan seterusnya melangsaikan baki pinjaman pada tahun 2020. Jadual 2 menunjukkan butiran tentang kredit pusingan RM1.2 Bilion tersebut.

Jadual 3: Butiran kredit pusingan RM1.2 bilion daripada CIMB yang diperoleh SSER
Perkara Butiran
Saiz RM1.2 Bilion 
Faedah 4.2% setahun
Tempoh 18 bulan

Status terkini tentang tindakan undang-undang terhadap SSER

Pada 15 Januari 2019, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan 2 saman terhadap SSER akibat 6 pelanggaran Seksyen 214 (2) dan (5) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. Pelanggaran tersebut adalah:

  1. Pengeluaran pinjaman sebanyak 88% daripada nilai projek yang tidak berdasarkan kepada kemajuan kerja MPP pada 13%, yang masih tidak dapat disahkan ataupun diaudit.
  2. Kegagalan memastikan tadbir urus yang baik dalam pengurusan dan pelaksanaan MPP.
  3. Kegagalan memperoleh kebenaran BNM sebelum mengubah tempoh masa projek MPP.
  4. Pengeluaran pinjaman yang tidak berdasarkan kepada kemajuan kerja TSGP.
  5. Kegagalan memastikan tadbir urus yang baik dalam pengurusan dan pelaksanaan TSGP.
  6. Kegagalan memperoleh kebenaran BNM sebelum mengubah tempoh masa projek TSGP.

 

Pada 5 April 2019, Mahkamah Sesyen telah mendenda SSER sebanyak RM3 Juta untuk setiap kesalahan. SSER telah membayar semua denda yang dikenakan sebanyak RM18 Juta.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
25 Mei 2019