wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Tuntutan Mahkamah Akan Dijalankan Oleh Jabatan Peguam Negara Ke Atas National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. Yang Masih Berhutang RM253.6 Juta Kepada Kerajaan Persekutuan


Pada 9 Januari 2008, National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) telah mendapat kemudahan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM250,000,000 pada kadar faedah 2% dengan tempoh pinjaman selama 20 tahun dan tempoh tangguh (grace period) selama 3 tahun. Pinjaman ini bersandarkan debentur yang ditandatangani bersama perjanjian pinjaman pada 6 Disember 2007.

Berdasarkan laporan usaha wajar (due diligence) syarikat perakaunan PwC, Ahli Lembaga Pengarah NFCorp bagi tempoh 6 Disember 2007 sehingga 31 Disember 2011 terdiri daripada Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail dan anak-anaknya, Izran Salleh, Izmir Salleh, Izzana Salleh bersama wakil-wakil Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, carian SSM pada 17 Mei 2019 merekodkan Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail sebagai satu-satunya Ahli Lembaga Pengarah NFCorp bersama 2 orang Setiausaha Syarikat.

Berdasarkan Penyata Lengkap Pinjaman Kerajaan Persekutuan setakat 30 April 2019 daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia, baki pinjaman NFCorp yang belum selesai kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM253,618,455.03, termasuk faedah dan faedah lewat setakat 30 April 2019. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM110,840,854.28 merupakan jumlah bayaran yang tertunggak kepada Kerajaan Persekutuan setakat tarikh tersebut, iaitu tunggakan pokok pinjaman sebanyak RM81,987,629.65, faedah sebanyak RM22,967,131.55 dan faedah lewat sebanyak RM5,886,093.08.

Pada 4 September 2014, Notis Pengisytiharan Berlaku Keingkaran (Event of Default) selaras dengan klausa 14 Perjanjian Pinjaman di antara Kerajaan Persekutuan dan NFCorp telah dikemukakan kepada NFCorp. Pihak Kementerian Kewangan kini telah mengambil keputusan untuk menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman daripada NFCorp dan perkara ini telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos 2018 untuk tindakan selanjutnya. Perkara ini sedang diuruskan oleh pihak Jabatan Peguam Negara yang akan mengumumkan perkembangan kemajuan selanjutnya.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
20 Mei 2019