wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Pada Hari Wesak Tahun Ini, Kita Diberkati Dengan Pertumbuhan KDNK Setinggi 4.5% Bagi Suku Pertama 2019 Mengatasi Jangkaan Pasaran 4.3%, Yang Berlaku Seiringan Dengan Kenaikan Pelaburan Langsung Asing Ke Tahap Tertinggi Dalam Sejarah Negara Dan Kemasukan Pelancong Yang Paling Ramai Dalam Tempoh 2 Tahun, Tetapi Masih Banyak Lagi Kerja Perlu Dilakukan Untuk Membina Masyarakat Yang Lebih Sempurna Yang Adil, Bersatu dan Makmur


Hari Wesak tahun ini adalah satu peluang untuk kita membuat renungan akan kejayaan yang telah dikecapi setakat ini dan merancang ke arah pembentukan sebuah masyarakat Malaysia yang lebih harmoni, bersatu dan inklusif. Dan kita bersyukur apabila usaha pemulihan nasional melalui pembaharuan institusi mendatangkan hasil yang baik.

Kepastian, kejelasan dan konsistensi dasar yang disediakan Kerajaan telah membolehkan ekonomi negara berkembang setinggi 4.5% dalam suku tahun pertama 2019, lalu mengatasi jangkaan pasaran serendah 4.3%. Pertumbuhan 4.5% ini menunjukkan daya tahan ekonomi Malaysia yang tinggi semasa berdepan dengan ketidaktentuan cabaran luaran yang timbul akibat perang dagang antara Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China. Ini adalah satu permulaan yang memberangsangkan untuk tahun ini.

FDI, lebihan akaun semasa dan kemasukan pelancong yang lebih ramai

Hasilnya jelas kelihatan: lebihan akaun semasa, pelaburan langsung asing (FDI) yang direalisasikan dan kemasukan pelancong untuk suku pertama 2019 telah meningkat secara signifikan (lihat Jadual 1).

Pelaburan langsung asing yang direalisasikan pula naik sebanyak 94.8% kepada RM21.7 Bilion berbanding RM11.2 Bilion setahun lalu. FDI yang direalisasikan adalah pelaburan asing yang telah dibuat untuk tempoh tersebut. Ini membuktikan kekuatan ekonomi negara serta keyakinan tinggi pelabur asing ke atas Kerajaan dan negara Malaysia.

Jadual 1: Lebihan akaun semasa, FDI dan kemasukan pelancong
Suku  Akaun semasa (%daripada GNI)  FDI (RM Bilion)  Pelancong asing (juta orang) 
1Q18  4.0  11.2  6.520 
2Q18  0.8  4.3  6.210 
3Q18  0.9  4.3  6.656 
4Q18 3.0  12.9  6.446 
1Q19  4.7  21.7  6.696 

FDI RM21.7 Bilion ini adalah yang tertinggi dalam sejarah Malaysia bagi satu suku.Pelaburan yang direalisasikan ini akan meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi serta mencipta peluang pekerjaan baharu bagi rakyat Malaysia dalam masa terdekat.

Lebih separuh daripada FDI yang direalisasikan disumbangkan oleh pelaburan RM8.4 Bilion daripada Jepun, RM3.7 Bilion daripada Austria dan RM2.8 Biliondaripada Hong Kong. Kerajaan berharap keyakinan yang ditonjolkan pelabur asing akan membantu meningkatkan pelaburan domestik syarikat tempatan bagi memantapkan lagi pertumbuhan negara.

Pada masa yang sama, lebihan akaun semasa telah naik kepada RM16.4 Bilion, atau 4.7% daripada pendapatan kasar negara (GNI) berbanding 3.0% daripada suku keempat 2018. Ia dijangka akan terus berada dalam keadaan lebihan dalam suku-suku yang akan datang.

Akhir sekali, suku pertama 2019 juga memperlihatkan Malaysia menerima 6.696 juta pelancong asing, iaitu jumlah yang terbesar sejak suku keempat 2016. Ini merupakan peningkatan 2.7% berbanding tahun lepas apabila 6.520 juta orang pelancong asing melawat Malaysia, dan 3.9% berbanding suku keempat 2018 apabila 6.446 juta orang pelancong asing masuk melawat Malaysia.

Agenda Kemakmuran Bersama

Sambil semua penganut agama Buddha merayakan Hari Wesak dengan aman, marilah kita memperingati ajaran yang mengajak manusia untuk sentiasa berbuat baik dengan saling bantu-membantu tanpa melupakan sesiapa.

Perkara yang sama akan dilaksanakan oleh Kerajaan melalui pertumbuhan inklusif bagi memastikan kesejahteraan untuk semua rakyat Malaysia. Ini sejajar dengan konsep “Kemakmuran Bersama” seperti yang diterangkan Perdana Menteri pada 9 Mei 2019 sempena ulang tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan.

Selamat Hari Wesak

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
18 Mei 2019