wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Penubuhan Pejabat Pengurusan Hutang (PPH) Untuk
Memantapkan Sistem Kewangan dan Kedudukan Fiskal Kerajaan


Seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019 pada 2 November 2018, Kerajaan akan mewujudkan Pejabat Pengurusan Hutang (PPH) yang bertanggungjawab untuk menyemak dan menguruskan hutang dan liabiliti Kerajaan. PPH akan memantau penerbitan hutang dan mencadangkan penstrukturan oleh Kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan Syarikat Tujuan Khas (SPV) secara holistik. Kerajaan berhasrat untuk mengelakkan berlakunya bayaran khidmat hutang yang lebih tinggi dan tidak bertanggungjawab akibat kelemahan koordinasi dalam penerbitan pinjaman.

PPH ditubuhkan sebagai salah satu langkah dalam usaha berterusan Kerajaan untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah hutang dan liabiliti kerajaan yang disembunyikan yang telah mencecah RM1 trilion sejak 2017. PPH adalah di antara reformasi institusi yang akan memantapkan sistem kewangan dan fiskal kerajaan yang dilihat sebagai penting oleh syarikat penarafan kredit antarabangsa. PPH akan menjalankan langkah-langkah berikut:

  • Menjadualkan terbitan bon dan pinjaman kerajaan, syarikat-syarikat milik kerajaan dan badan-badan berkanun secara teratur untuk memastikan kadar kupon dan faedah yang paling rendah;
  • Menstruktur semula bon-bon dan pinjaman di mana kos pembiayaan dapat dikurangkan untuk menjimatkan peruntukan pembayaran balik hutang;
  • Merancang strategi-strategi untuk mengurangkan beban hutang kerajaan pada masa akan datang


PPH bertujuan untuk mengawal hutang kerajaan agar tidak terus hilang kawalan dan juga memastikan pinjaman hutang secara sesuka hati tanpa sebab munasabah tidak berulang lagi. PPH dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Malaysia, YB Tuan Lim Guan Eng dan telahpun dipersetujui Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad. Anggota PPH adalah seperti berikut:

  • Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bin Hj Bakar
  • Ketua Setiausaha Perbendahaaran, Datuk Ahmad Badri Bin Mohd Zahir;
  • Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Saiful Anuar Bin Lebai Hussen;
  • Governor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus;
  • Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar;
  • Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz;
  • Akauntan Negara Malaysia, Datuk Saat Bin Esa;
  • Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia, Dato’ Mohammad Faiz Azmi; dan
  • Penasihat Ekonomi Kepada Perdana Menteri Malaysia, Dr Muhammad Bin Abdul Khalid.


PPH akan berkuatkuasa serta-merta bagi membolehkan strategi untuk mengurangkan hutang negara dapat dirangka dan pelan tindakan dilaksana. Strategi dan pelan yang dirangka akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Dasar Fiskal yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Bin Mohamad.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
15 Mei 2019