wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


RM17.1 BILION DARIPADA RM37 BILION PEMBAYARAN BALIK

CUKAI GST DAN CUKAI PENDAPATAN TELAH DIBUAT

SETAKAT 30 APRIL 2019


Dalam ucapan Belanjawan 2019 pada 2 November 2018, Kementerian Kewangan telah mengumumkan bahawa Petronas akan membayar dividen khas sebanyak RM30 Bilion kepada Kerajaan untuk digunakan dalam pembayaran tunggakan bayaran balik cukai GST dan cukai pendapatan sebanyak RM37 Bilion pada tahun ini.

Dividen khas Petronas secara one-off ini telah mula dibayar kepada Kerajaan secara beransuran, dan bayaran balik cukai-cukai tersebut kepada pembayar cukai telah bermula sejak bulan Januari. Bagi tahun 2019 sehingga 30 April 2019, dividen khas sebanyak RM16 Bilion telah diterima daripada Petronas manakala jumlah sebanyak RM17.1 Bilion telah dibayar balik kepada pembayar cukai GST dan cukai pendapatan seperti berikut:

 

  Bayaran Dividen Khas Petronas  Bayaran Balik Cukai GST  Bayaran Balik Cukai Pendapatan
Syarikat Selain Syarikat
1 Januari 2019 - 30 April 2019 RM16 Bilion RM9.5 Bilion RM5.2 Bilion  RM2.4 Bilion
Bilangan kes - 76,002 70,205 1,186,288

 

Untuk bayaran balik cukai pendapatan, sebanyak RM7.6 Bilion telah dibayar balik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) sehingga 30 April 2019. Daripada RM7.6 Bilion tersebut, sebanyak RM5.2 Bilion untuk 70,205 kes syarikat dan RM2.4 Bilion untuk 1,186,288 kes selain syarikat telah dibayar balik oleh LHDNM. Manakala untuk bayaran balik cukai GST pula, sebanyak RM9.5 Bilion telah dibayar balik kepada 76,002 registran GST oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sehingga 30 April 2019.

Tunggakan pembayaran balik cukai pendapatan selama 6 tahun dan cukai GST selama 3 tahun yang berjumlah RM37 Bilion ini merupakan kegagalan pengurusan kewangan negara oleh kerajaan terdahulu yang telah menahan wang pembayar cukai tanpa sebab munasabah agar kerajaan lama boleh menggunakan wang ini dahulu. Seperti yang diumumkan pada tahun lepas, tunggakan bayaran balik cukai GST dan cukai pendapatan ini melibatkan sebanyak 121,429 registran GST dan 1,653,786 kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan masing-masing setakat 31 Mei 2018.

Pembayaran balik cukai-cukai ini menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak menyelewengkan pulangan dividen daripada Petronas, dan ikhlas menunaikan janji memulangkan tunggakan pembayaran balik cukai kepada rakyat dan syarikat Malaysia. Lagipun, ini ialah satu lagi beban yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Pakatan Harapan sungguhpun kerajaan semasa tidak menggunakan wang tersebut. Sebaliknya, tindakan ini akan memberi satu impak yang positif kepada perniagaan-perniagaan Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng

Menteri Kewangan Malaysia
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
10 Mei 2019