wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Pemulangan Aset 1MDB USD 322 Juta Daripada Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat Dan SGD 50 Juta Daripada Singapura Akan Digunakan Untuk Membayar Hutang 1MDB Sebanyak RM51 Bilion


Kementerian Kewangan (MOF) menyambut baik pengumuman Jabatan Peguam Negara bahawa sejumlah USD322 Juta (RM1.3 Bilion) daripada aset-aset 1MDB dapat dikembalikan ke Malaysia berikutan Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat. Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah USD4.5 Bilion yang DOJ dapati diseleweng daripada 1MDB (lihat Jadual 1). Keputusan DOJ ini merupakan kedudukan terkini setelah mahkamah Singapura mengarahkan dana berkaitan 1MDB sebanyak SGD50 Juta dipulangkan ke Malaysia (lihat Jadual 2).

 

Jadual 1: Pemulangan Aset 1MDB Daripada Amerika Syarikat
Aset 1MDB Dipulangkan Dari Amerika Syarikat   Nilai Aset
USD ‘Juta  RM ‘Juta @USD1:RM4.10 
Jumlah yang akan diterima:
    Park Lane Hotel, Manhattan 
139  570 
Jumlah yang telah diterima:
    Syarikat Pembikinan Filem Red Granite
    Kapal Layar Mewah ‘Equanimity’ 
57
234 
126
517 
    Jumlah Kecil  183  751 
Jumlah Keseluruhan  322  1321 
 
Jadual 2: Pemulangan Aset 1MDB dari Singapura
Aset 1MDB Dipulangkan dari Singapura   Nilai Aset  
SGD ‘Juta  RM ‘Juta @SGD1:RM3 
Jumlah telah diterima  15  45 
Jumlah akan diterima  35  105 
Jumlah Keseluruhan  50  150 

 

Dana daripada pemulangan aset 1MDB ini akan digunakan untuk membayar hutang 1MDB sebanyak RM51 Billion. Jumlah ini adalah termasuk faedah yang perlu ditanggung sebanyak RM10.8 Billion dan pinjaman MOF yang telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB setakat ini sebanyak RM8.6 Bilion (lihat Jadual 3). Dana ini juga akan digunakan untuk membayar kos guaman dan perbicaraan yang terbit daripada usaha memulangkan dan melupuskan aset-aset 1MDB di seluruh dunia.

 

Jadual 3: Senarai Hutang 1MDB Semasa
Hutang 1MDB  Prinsipal RM ‘Juta  Faedah RM ‘Juta  Jumlah RM ‘Juta
Terbitan Bon USD 6.5 bilion @ USD1:RM4.10  26,650  4,906  31,556
Terbitan Sukuk RM5.0 bilion  5,000  5,894  10,894
Jumlah telah dibayar oleh MOF  8,564    8,564
Jumlah Keseluruhan  40,214  10,800  51,014

 

Pemulangan aset-aset ini merupakan langkah awal ke arah penyelesaian isu 1MDB dan pemulihan reputasi Malaysia supaya tidak lagi dikenali sebagai negara kleptokrasi. Pemulangan aset-aset ini menerusi proses undang-undang juga membuktikan salah laku yang telah berlaku berkaitan dengan 1MDB.

Kerajaan akan meneruskan usaha-usaha untuk mendapatkan kembali aset-aset 1MDB yang lain, dan pada masa yang sama akan memperkukuhkan kawalan dalaman dan inisiatif anti-rasuah supaya perkara sebegini tidak dapat berlaku lagi di masa hadapan.

Sayangi Malaysiaku!

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
8 Mei 2019