wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Siri Mesyuarat Musim Bunga

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia

11-13 April 2019, Washington D.C.


Menteri Kewangan, YB Tuan Lim Guan Eng telah mengetuai delegasi Malaysia ke Siri Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia (WBG) yang diadakan pada 11 ke 13 April di Washington D.C. Perbincangan mesyuarat tahun ini bertumpu kepada isu-isu semasa yang memberi kesan terhadap ekonomi global, sistem kewangan antarabangsa, dan kemajuan agenda pembangunan global, termasuk menghapuskan kemiskinan tegar, menangani perubahan iklim, dan mempromosikan perkongsian yang makmur dan terangkum.

YB Menteri sebagai mewakil Kumpulan Mengundi Asia Tenggara (SEAVG) yang dianggotai 11 negara, terdiri daripada Brunei Darussalam, Fiji, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Nepal, Singapore, Thailand, Tonga and Vietnam, menekankan bahawa peranan WBG bukan sahaja untuk membantu menaikkan kualiti hidup negara-negara miskin tetapi juga untuk membangunkan model dan kaedah bagi negara ahli yang berpendapatan pertengahan mengelak dari kembali ke status berpendapatan rendah, atau melonjak keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi seperti Singapura, Republik Korea Selatan dan Chile.

YB Menteri juga dijemput untuk menyampaikan ucap tama di sebuah acara WBG “Unlocking the Potential of the Digital Economy”. Beliau berkongsi pandangan berdasarkan konteks dan aspirasi Malaysia untuk menggunakan teknologi dan ekonomi digital, khususnya penerimaan teknologi 5G secara sepenuhnya, untuk melonjakkan Malaysia supaya menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. Beliau juga menggariskan risiko-risiko daripada gangguan digital yang akan menyebabkan kehilangan peluang pekerjaan bagi sektor tradisional yang tidak dapat diganti dengan peluang pekerjaan sektor baharu ini. Beliau menyatakan bahawa Malaysia tidak menerima pemusnahan kreatif (creative destruction), dan peluang pekerjaan baharu harus dicipta melalui insentif dan bantuan pendapatan bagi menggantikan pekerjaan yang hilang akibat gangguan digital.

YB Menteri juga telah mengadakan beberapa mesyuarat sampingan bersama agensi penarafan antarabangsa seperti S&P, Fitch dan Moody’s untuk memberikan perkembangan terkini tentang keadaan ekonomi dan kewangan Malaysia. Agensiagensi penarafan kredit tersebut berkeyakinan bahawa Malaysia mampu mencapai sasaran fiskalnya, terutamanya defisit fiskal 3.4% berbanding KDNK pada tahun ini, serta berpuas hati dengan prestasi ekonomi Malaysia setakat ini.

Sayangi Malaysiaku!

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
7 Mei 2019