wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Pembangunan Sarawak Diutamakan Dengan Peruntukan Rm4.3 Bilion Untuk Tahun 2019


Kerajaan negeri Sarawak telah mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengabaikan negeri Sarawak daripada segi pembangunan infrastruktur berikutan pengumuman Kementerian Kewangan bahawa 49 projek dilaksanakan di daerah Sandakan bernilai RM2.28 Bilion. Dakwaan tersebut tidak benar dan tidak berasaskan fakta.

Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa memang benar terdapat 49 projek pembangunan yang diluluskan di daerah Sandakan untuk tempoh lima tahun dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.28 Bilion dan peruntukan pembangunan untuk tahun 2019 sebanyak RM183 Juta. Pada masa yang sama, terdapat lebih daripada 550 projek pembangunan di seluruh negeri Sarawak dengan kos keseluruhan mencecah RM41 Bilion.

Peruntukan pembangunan untuk tahun 2019 sahaja bagi projek di Sarawak adalah RM4.3 Bilion, iaitu merupakan peruntukan kedua terbesar antara negeri di Malaysia selepas negeri Sabah. Bagi 2019, Sabah diperuntukkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM5.0 Bilion untuk projek-projek dengan kos keseluruhan sebanyak RM42 Bilion. Peruntukan kepada kedua-dua negeri ini tidak mengambil kira projek seperti Pan Borneo yang dibiayai melalui pinjaman di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan negeri Sarawak tidak seharusnya mempertikaikan pemberian RM183 Juta untuk daerah Sandakan bagi tahun 2019, ketika mana negeri Sarawak diperuntukkan RM4.3 Bilion untuk tahun 2019. Seperti yang dijanjikan, Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan memberikan lebih banyak peruntukan pembangunan di negeri Sarawak dalam Belanjawan 2019 berbanding Bajet 2018 di bawah Barisan Nasional.

Di samping itu, Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM600 pada awal tahun 2019 dan akhir tahun 2018, telah diberikan kepada 275,000 pekebun kecil getah di Malaysia, dengan 58,000 penerima di Sarawak berbanding dengan hanya 6,000 di Sabah. Pengumuman baru-baru ini berhubung tambahan untuk BMT, adalah bertujuan merangkumi 70,000 pekebun kecil getah di Sabah yang tercicir daripada pemberian yang dibuat sebelum ini.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
4 Mei 2019