wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Majlis Menandatangan Perjanjian Utama Icp Antara Kerajaan Malaysia Dan Bombardier Hartasuma Consortium


Kerajaan Malaysia komited untuk terus meningkatkan daya saing Malaysia di pasaran antarabangsa dengan membangunkan sektor teknologi dan industri selaras dengan matlamat nasional untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Untuk menyokong agenda ini, Program Kolaborasi Industri (Industrial Collaboration Programme – ICP) merupakan salah satu strategi Kerajaan untuk mencipta peluang kepada pemain industri tempatan untuk menyertai dan bersaing secara kompetitif dalam rantaian bekalan dan pasaran antarabangsa. Program ICP ini adalah satu proses yang berkesan untuk merapatkan jurang dalam industri tempatan terutamanya dalam keupayaan dan kapasiti mereka untuk memenuhi keperluan piawaian antarabangsa, dan seterusnya membantu mereka maju ke peringkat yang lebih tinggi. ICP juga dilihat sebagai satu strategi pelaburan jangka panjang oleh syarikat- syarikat yang telah menerima kontrak perolehan Kerajaan untuk membangun dan memperkasa perniagaan mereka di Malaysia.

Program ICP dicetuskan bagi mana-mana perolehan bekalan, perkhidmatan dan kerja Kerajaan yang melebihi nilai ambang tersebut:

  1. setiap perolehan bernilai RM50 juta dan ke atas yang dianugerahkan kepada syarikat asing; atau
  2. setiap perolehan bernilai RM100 juta dan ke atas yang dianugerahkan kepada syarikat tempatan.

 

Dasar semasa program ICP menetapkan bahawa bagi setiap RM1 yang Kerajaan belanja untuk perolehan yang telah mencetuskan program ICP, Kerajaan akan menerima balik nilai ICP Credit Value (ICV) sebanyak RM1 menerusi pelaksanaan program tersebut. Nilai ICV ini boleh direalisasikan melalui pemindahan teknologi, latihan industri, akses pasaran global, pembangunan rantaian bekalan tempatan, penggunaan kandungan bahan tempatan dan sebagainya. Keutamaan diberikan kepada aktiviti-aktiviti yang menyumbang kepada aspirasi nasional untuk mencapai status negara maju.

Technology Depository Agency (TDA) merupakan satu agensi di bawah Kementerian Kewangan yang telah diberi mandat untuk menguruskan pelaksanaan program ICP dan memastikan pulangan nilai (value-for-money) untuk perolehan Kerajaan.

Pada hari ini, kita menyaksikan satu lagi contoh pelaksanaan ICP di Malaysia berkaitan dengan kontrak Bombardier Hartasuma Consortium (BHC) untuk membekalkan dan memperbaharui kereta api bagi pihak Prasarana Malaysia Berhad, seperti berikut:

  1. mid-life refurbishment untuk set kereta api 2-koc Laluan Kelana Jaya (MLR); dan
  2. 27 set kereta api baharu untuk Laluan Kelana Jaya (KLAV-27). Kedua-dua perolehan ini melebihi nilai ambang yang ditetapkan maka telah mencetuskan pelaksanaan program ICP.

 

Bagi program ICP untuk kontrak perolehan KLAV-27 yang bernilai RM1.7 bilion, pihak BHC komited untuk memaksimumkan penggunaan kandungan bahan tempatan pada kadar sekurang-kurangnya 35% yang dianggarkan berjumlah RM600 juta. Pendekatan ini boleh menjadi pemangkin bagi syarikat-syarikat tempatan untuk terlibat dalam kerjasama strategik dengan syarikat Bombardier di peringkat antarabangsa dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan industri negara. Selain itu, ratusan peluang pekerjaan bagi warga tempatan akan tercapai dalam tempoh 4 tahun akan datang melalui pelaksanaan program ICP ini.

Bagi program ICP untuk kontrak perolehan MLR yang bernilai RM473 juta pula, BHC telahpun menambah bilangan pengilang tempatan dalam pangkalan data bagi skop rolling stock. Pembekalan bahan tempatan dan perkhidmatan melalui 14 syarikat-syarikat tempatan ini dianggarkan berjumlah RM100.7 juta. Syarikat-syarikat tempatan terbabit akan membekal komponen dan perkhidmatan pada harga yang berdaya-saing dan ini akan memastikan kesinambungan serta kemampanan sektor rel.

Pelaksanaan program ICP ini tentu akan memberi manfaat kepada pertumbuhan Malaysia dalam industri rel dan secara tidak langsung, membolehkan Malaysia melangkah ke arah negara maju. Kejayaan ini adalah hasil daripada rundingan projek ICP diketuai oleh TDA yang turut mengambil kira keperluan industri tempatan untuk kekal berdaya saing dari perspektif teknologi dan penyesuaian pasaran. Ini tentunya merupakan salah satu contoh kejayaan dalam pelaksanaan ICP sebagai satu kaedah untuk menggalakkan kerjasama yang membawa manfaat menyeluruh kepada pihak-pihak berkepentingan.

Program ICP untuk kedua-dua perolehan ini kini dipantau dan diuruskan oleh TDA. Penandatanganan perjanjian utama ICP antara Kerajaan Malaysia dan BHC merupakan salah satu tonggak utama dalam rangka kerja pengurusan ICP dan saya berharap untuk menyaksi lebih banyak pelaksanaan ICP pada masa hadapan.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
23 April 2019