wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Kerajaan Persekutuan Telah Meluluskan 49 Projek Pembangunan Bernilai RM2.28 Bilion Di Daerah Sandakan, Sabah Demi Kesejahteraan Rakyat


Kerajaan terus memberi penekanan yang serius ke atas pembangunan di Daerah Sandakan yang merupakan bandar kedua terbesar di Negeri Sabah, meliputi kawasan Parlimen Sandakan, Batu Sapi, dan Libaran, untuk terus mendapat kemudahan terbaik daripada Kerajaan. Kesejahteraan ekonomi yang berterusan adalah sasaran utama yang bakal memanfaatkan hampir 400 ribu penduduk di Daerah Sandakan.

Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan secukupnya di Daerah Sandakan agar pembangunan ekonomi terus berkembang sebagai salah satu pusat perniagaan yang berdaya maju di sebelah timur Negeri Sabah. Peruntukan Pembangunan yang telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM183 Juta bagi tahun 2019 bagi membiayai lebih daripada 49 projek dan program yang sedang dan akan dilaksanakan dengan jumlah kos keseluruhan mencecah RM2.28 Bilion (lihat Lampiran).

Oleh itu, antara projek yang dikenal pasti bagi manfaat rakyat adalah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Anip di Daerah Sandakan yang dianggarkan bernilai RM40 Juta, bakal memperbaiki sistem saliran dan menaiktaraf sungai di Sandakan. Kerajaan juga telah meluluskan projek pembesaran Lapangan Terbang Sandakan bernilai RM80 Juta melibatkan antara lain pemanjangan landasan dan penambahbaikan apron bagi meningkatkan keupayaan lapangan terbang tersebut. Selain itu, beberapa projek lain bagi peningkatan kedudukan ekonomi di Daerah Sandakan terus diberi penekanan merangkumi projek-projek bagi industri berasaskan minyak dan kelapa sawit serta penyediaan kemudahan jaringan pengangkutan yang bakal merancakkan lagi ekonomi setempat.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
23 April 2019


LAMPIRAN PROJEK –PROJEK PEMBANGUNAN YANG DILULUSKAN DI DAERAH SANDAKAN
SEKTOR BIL. PROJEK KOS PROJEK (RM JUTA) PERUNTUKAN 2019 (RM JUTA)
Pembinaan Jalan 7 724 47
Tenaga dan Kemudahan Awam 8 623 39
Perumahan 2 277 8
Pendidikan 14 263 27
Perdagangan dan Perindustrian 4 180 25
Pembinaan Lapangan Terbang 1 81 20
Alam Sekitar 5 88 11
Kesihatan dan Kependudukan 3 25 4
Pembangunan Masyarakat 3 19 0
Keselamatan 1 2 1
Pertanian 1 1 1
JUMLAH 49 2,283 183