wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS)

Kementerian Kewangan Malaysia ingin memaklumkan bahawa sehingga 31 Mac 2019, sejumlah 381,979 pengakuan sukarela telah diterima oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Berikutan sambutan yang sangat menggalakkan daripada pembayar cukai, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) fasa pertama dengan pengenaan kadar penalti 10% daripada amaun cukai yang dikenakan sehingga 30 Jun 2019.

Manakala fasa kedua PKPS dengan pengenaan kadar penalti 15% daripada amaun cukai yang dikenakan pula akan bermula pada 1 Julai 2019 dan tamat pada 30 September 2019. Mulai 1 Oktober 2019, kadar penalti daripada 45% ke atas akan dikenakan bagi mana-mana kesalahan tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan juga kesalahan kurang melaporkan cukai pendapatan.

PKPS memberikan fokus utama kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara serta mempunyai pendapatan yang dijana dari dalam Malaysia tetapi masih belum melaporkannya kepada LHDNM.

Pada masa yang sama Kerajaan juga mengalu-alukan mana-mana pembayar cukai tempatan yang tidak mempunyai akaun bank di luar negara untuk membuat apa juga pengakuan secara sukarela berhubung pendapatan yang berpunca dari dalam Malaysia dan masih belum dilaporkan sekiranya ada.

Kerajaan berharap dengan pelanjutan tempoh yang diberikan ini, lebih ramai pembayar cukai akan menyertai PKPS bagi membolehkan mereka menikmati kadar penalti yang rendah dan seterusnya dapat mengurangkan bebanan cukai mereka. Pengakuan sukarela bagi pembayar cukai kategori individu boleh dibuat sehingga pendapatan tahun berakhir 31 Disember 2017, manakala bagi pembayar cukai kategori syarikat pula, pengakuan sukarela boleh dibuat bagi pendapatan sehingga tempoh perakaunan 31 Mac 2018.

LHDNM juga telah mematuhi arahan Kerajaan pada tahun lepas, agar sebarang siasatan dijalankan tanpa ugutan atau ancaman, termasuk menghentikan semua serbuan ke atas rumah atau pejabat pembayar cukai dengan ditemani oleh anggota yang bersenjata dan memakai topeng muka balaclava. Sekiranya ada mana-mana pihak yang mengingkari arahan ini, pihak yang terkesan diminta membuat aduan kepada pihak LHDNM atau Kementerian Kewangan.

LHDNM akan menerima setiap pengakuan sukarela tersebut dengan suci hati dan tindakan audit serta siasatan tidak akan dilakukan terhadap pengakuan sukarela tersebut. LHDNM juga akan mengeluarkan surat pengesahan bagi setiap pengakuan sukarela yang diterima. Surat kesahihan pelaporan cukai secara sukarela adalah teratur akan diberikan setakat 2017 untuk individu dan 31 Mac 2018 untuk syarikat.

Untuk sebarang keterangan lanjut, sila:

  1. Kunjungi Pejabat LHDNM yang berhampiran;
  2. Hubungi Hasil Care Line LHDNM di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara) ; atau
  3. Menghantar e-mel pertanyaan kepada: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
7 April 2019