wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


121 Buah Projek Infrastruktur Bernilai Rm13,932 Juta Di Seluruh Negara Yang Ditawarkan Secara Rundingan Terus Dan Tender Terhad Oleh Kerajaan BN Akan Diteruskan Selepas Rundingan Semula Harga Oleh Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan Dengan Penjimatan Kos Sebanyak RM805.99 Juta


121 buah projek infrastruktur bernilai RM13,932 Juta di seluruh negara yang ditawarkan secara rundingan terus dan tender terhad oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan diteruskan selepas rundingan semula harga oleh Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan, dengan penjimatan kos sebanyak RM805.99 Juta. Perlu ditegaskan bahawa 121 buah projek infrastruktur tersebut tidak termasuk projek mega seperti projek LRT3 dengan kos sebanyak RM31.65 Bilion dan MRT2, dengan kos sebanyak RM39.35 Bilion, yang masing-masing dikurangkan harga kepada RM16.63 Bilion, dan RM30.53 Bilion. Ini telah secara sekaligus menjimatkan kos keseluruhan sebanyak RM23.84 Bilion untuk kedua-dua projek ini.

Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pada 29 Jun 2018 telah mengumumkan beberapa langkah awal untuk meningkatkan tadbir urus perolehan Kerajaan dan pengurusan kewangan negara. Antara langkah yang diperkenalkan adalah kajian semula projek-projek yang ditawarkan secara tender terhad dan rundingan terus yang diputuskan oleh Kerajaan terdahulu.

Berdasarkan kajian semula tersebut, Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan tender terbuka bagi projek-projek tender terhad dan rundingan terus yang belum dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST). Manakala, bagi 121 projek tender terhad dan rundingan terus yang telah dikeluarkan SST, perjanjian tambahan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya penghujung bulan Mac 2019 setelah harga dirunding semula sebagai usaha rasionalisasi kos projek tersebut sekaligus mengurangkan tekanan kepada kedudukan fiskal Kerajaan (lihat Jadual 1). Kini semua perkara terperinci akan diuruskan oleh Kementerian masing-masing yang kendalikan projek tersebut dan tidak membabitkan Kementerian Kewangan lagi.

Mengambil kira perkembangan semasa ini, MOF yakin bahawa pelaksanaan perolehan Kerajaan secara tender terbuka pada masa akan datang akan memberi penjimatan kos dan nilai faedah terbaik kepada Kerajaan dan rakyat. Kaedah lama pemberian kontrak dikekalkan, perbezaannya hanya tender terbuka dijalankan untuk menggantikan penganugerahan secara rundingan terus atau tender; terhad melainkan ada faktor-faktor kecemasan, kepakaran tertentu yang diperlukan ataupun sebab-sebab khas.

JADUAL 1: Unjuran Penjimatan Rundingan Harga Kontrak Projek/Perolehan
RINGKASAN PROJEK/PEROLEHAN YANG TERLIBAT DENGAN RUNDINGAN HARGA    
STATUS RUNDINGAN HARGA BILANGAN PROJEK JUMLAH KESELURUHAN NILAI KONTRAK (RM JUTA) UNJURAN JUMLAH KESELURUHAN NILAI KONTRAK BAHARU (RM JUTA) UNJURAN JUMLAH PENGURANGAN SELEPAS RUNDINGAN HARGA (RM JUTA
Rundingan harga mencapai pengurangan harga 121 13,932.26 13,126.27 805.99

Contohnya, kaedah untuk tawaran kontrak kepada kontraktor Gred G1 (dahulunya dikenali sebagai Kontraktor Kelas F) masih sama, hanya ia dijalankan secara saingan terbuka di kalangan kontraktor Gred G1 dan bukan seperti dahulu, iaitu menerusi rundingan terus ataupun dengan keperluan mendapat tandatangan persetujuan daripada Ketua Bahagian parti politik. MOF akan sentiasa mengambil inisiatif yang komprehensif dalam memastikan pelaksanaan perolehan Kerajaan selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
31 Mac 2019